Thursday, August 27, 2009

Nasi Kerabu, sajian negeri Kelantan

Nasi kerabu buat berbuka
juadah diramu cara tradisi
Sesama dikongsi saudara tetangga
Limpah rezekimu mohon diberkati


Tidak lengkap hidangan nasi kerabu andai ulamnya tidak diramu bersama pucuk serai kayu ini. Rasanya sedikit kelat, tapi kelat yang sedap. Apa lagi jika teradun bersama bunga kantan, kacang panjang dan timun, dan saya suka kalau ada sekali daun salad Cameron. Di Selangor, hirisan daun kubis pun turut dicampur beserta taugeh.

Pokok serai kayu ini ada sejarahnya.

Semasa tinggal di Gombak, seorang kawan membawa anak pokok yang kecil. Saya membawanya balik dan menanamnya. Subur tumbuhnya walaupun saya memiliki yellow fingers(!), iaitu lawan green fingers!

Bila berpindah ke Puncak Alam, pokok itu dibawa bersama tapi hayatnya tidak lama. Saya lalu meminta emak saudara bawakan anak pokok ini. Mak Su bawa dua, yang kekal hayatnya satu. Yang satu inipun saya dapati telah diserang kulat.

Di Kelantan, pokok ini tidak ditanam orang. Tumbuhnya subur saja antara semak-samun.

Nasi Kerabu, nasinya ada tiga warna. Warna kuningnya daripada kunyit, dicampur dengan daun limau purut. Yang berwarna biru diperoleh dari bunga telang. Pokok ini pun ada di rumah saya. Senang saja tumbuhnya. Dan ada yang berwarna asalnya, iaitu putih. Saya lebih suka yang putih.

Lauk nasi kerabu ada pelbagai. Agaknya yang paling sinonim dengan budaya Kelantan adalah solok lada dan ikan goreng celup tepung. Lain-lain lauk - daging bakar, ayam goreng, telur asin, keropok... Pada saya cukup ikan goreng celup tepung, telur asin dan keropok.

Tapi tidaklah nasi kerabu namanya kalau tidak ada sambal tumisnya beserta kelapa parut bergaul isi ikan, bawang, serai dan lada hitam.

Tuesday, August 25, 2009

membaca Sajak Zurinah

Zurinah Hasan, penyair yang ku kenali lewat puisi-puisinya yang tersiar dalam Dewan Sastera. Waktu itu aku dalam tingkatan satu, dan baru berjinak-jinak membaca Dewan Sastera.

Dewan Sastera senang ditemui di pekan kecilku dalam tahun-tahun 70an. Kedai Buku Melati, kedai buku yang paling maju kukira di pekan kecilku waktu itu, sentiasa ada terbitan majalah dan buku terbaru. Manakala jika hendak cari Dewan Sastera keluaran yang lepas-lepas, aku akan menyusuri kedai buku kecil, Pustaka Buku Marhan (di situ kutemui Sayang Ustazah Sayang, Salmi Manja). Dan kerap juga aku membelek-belek majalah di Pustaka Setia Raya. Di situ aku terjumpa sajak-sajak Lim Swee Tin. Tidak sangka pula, penyairnya bertugas di sekolahku selepas dua tahun aku hanya mengenali namanya lewat sajak.

Dari perpustakaan sekolah ku temui 'Sesayup Jalan'. Dalam tekun menghayati Sesayup Jalan, aku mengakrabi juga Dalam Pelarian Zaihasra dan Nyanyian Malam Siti Zainon. Selain mendekati puisi karya penulis wanita lain seperti Habsah Hasan dan Siti Zaleha Hashim.

Membaca sajak Zurinah kita akan mendapat kesan bahawa permainan katanya tidak sekadar menyedapkan bunyi agar kedengaran enak bila dibaca; tapi membawa erti dan pemikiran. Pemilihan kata yang sederhana, namun membawa pemikiran yang bermakna.

Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
ada bunga yang tidak dapat digubah
sesedap titah.
Seorang perempuan pun ada kalanya
berhak memiliki kebebasan
seorang sultan pun ada kalanya
harus tunduk kepada kesalahan.

(Zurinah Hasan ;'Pesanan Puteri gunung Ledang kepada Sultan Mahmud')

A
ku titipkan di sini sebuah coretan kecil yang aku tuliskan setelah mengulang baca beberapa antologi beliau yang ada dalam koleksiku.

SAJAK-SAJAK ZURINAH

Semakin dibaca
semakin tertikam sukma
lunak bahasa tidak dibumbui bunga-bunganya
tapi jalur pemikiran
dan renungan
menebar ke luas kehidupan.

Rositah Ibrahim
30.03.06
Puncak Alam

Monday, August 24, 2009

Buku Oh Buku

Hari ke tiga puasa. Tahun ini aku hanya membalas dua 'sms puasa' (ucapan selamat menyambut Ramadhan), dan mengirim ucapan via sms kepada seorang teman, dengan tujuan lebih untuk bertanya kabar tentang sakitnya.

Hari ke tiga puasa dan hari pertama cuti sekolah (tolaklah Sabtu dan Ahad - itu cuti hujung minggu!). Aku merenung habuk pada buku-buku di atas rak sewaktu kucari buku yang diperlukan oleh anakku. Sudah tiba waktu untuk mengemas dan menyusun kembali. Sudah ada buku-buku yang berpindah tempat (berpindah ke rak buku kecil di tingkat bawah, atau tergeletak di atas meja kopi di ruang tamu). Buku yang dikehendaki anak jenuh kucari, akhirnya terjumpa terselit antara koleksi novel. Buku biografi Tun Abdul Razak itu sepatutnya berada di bahagian lain. Bagaimana boleh tersesat ke bahagian novel. Pasti sudah, waktu untuk kembali menyusun dan membersihkan habuk!

Dalam Dewan Sastera Disember 2006, ada tulisan Baha Zain berjudul 'Buku oh Buku! Aku cinta kamu, beri aku ilmu'. Katanya setiap kali berkemas kerana pindah rumah, bukulah satu-satunya yang tidak dibuang (selain isteri(!) kerana isteri bukan barang, dan sangat diperlukan). Menariknya pengalaman berpindah rumah dengan buku yang banyak ini mungkin sedikit sebanyak punya persamaan dengan kami sekeluarga. Cuma pasti sekali buku-buku kami tentu saja tidak sebanyak buku beliau- barangkali sekitar 1/10 sahaja daripada jumlah buku yang beliau miliki. Dan koleksi kami itu terasa banyak kerana kami tidak miliki barang-barang berharga yang lain (kecuali lukisan). Itupun koleksi kecil kami sudah cukup mengagumkan beberapa tetamu (yang bukan terdiri daripada teman-teman sepengajian dulu).Belum lagi melihat jumlah yang ada di tingkat atas, atau yang terpaksa kusorong ke bawah katil kerana tidak cukup ruang!

Kini setelah mempunyai rumah sendiri, dapatlah kubuat ruang yang khusus untuk buku, walaupun tempatnya terpaksa berkongsi dengan perabot asas di bilik utama. Tiada lagi yang terpaksa kusorong ke bawah katil.

Aku percaya golongan penulis adalah golongan yang memiliki paling banyak buku. Aku bukan penulis, tapi kesenangan terhadap bahan bacaan ini sangat mengasyikkan. Setiap kali mengemas buku-buku di atas rak, sama ada di bilik atau di ruang tamu, kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh 1 jam itu berlarut menjadi hampir setengah hari! Kenapa? Kerana setiap kali mengemas, setiap kali itulah aku aku membelek-belek dan mengulang-baca beberapa bahagian muka surat, seolah-olah buku itu baru sahaja dimiliki.

Harus diakui juga ada novel yang tidak habis dibaca kerana tidak suka, atau dibaca langkau-langkau untuk mengetahui penghujungnya saja. Dan ada yang dibaca berulang kali kerana sukakan ayat-ayatnya yang terjalin. The Soul Mountain karya Gao Xinjian, kuulang-ulang beberapa muka surat yang sama kerana ayat dan gambaran suasananya sangat indah - akhirnya novel yang tebal itu tidak dapat dihabiskan!

Sewaktu membaca buku itu pada waktu senggang di sekolah, seorang guru matematik berbangsa cina menegurku, "Wa! You read that book aa! Very difficult you know! My friend read in chinese also don't understand!" Kami pernah juga berbual-bual tentang beberapa judul buku, dan aku mendapat kesan dia membaca juga karya sastera. "But my wife don't read la!"

Ada novel yang kubaca kerana jalinan ceritanya. Waiting karya Ha Jin, awalnya terasa sangat konvensional (terlalu konvensional kadang-kadang agak membosankan), tapi kugagahi kerana teringat Pak Samad mengatakan, "That book is very good!" Dalam satu pertemuan dengan beliau aku nyatakan bahawa aku 'tidak berani' membeli Waiting walaupun setiap kali ternampak buku itu di MPH, aku rasa tergoda untuk memilikinya. Aku jadi tidak berani kerana mengenangkan The Soul Mountain yang tidak habis kubaca. Rupa-rupanya Waiting mempunyai daya tarikan yang mendesak kita untuk menghabiskannya, dan mengulangi bacaan juga.

The God of Small Things dan Angela's Ashes adalah antara novel yang kerap kuulang. Novel melayu? Novel melayu tentulah yang paling banyak kuulang-baca! Aku bermula dengan novel-novel berbahasa Melayu!

Seorang guru matematik semasa darjah enam (dia pernah mengajar kami Ilmu Alam semasa kami darjah empat), Cikgu Awang Mohamad namanya; adalah individu yang banyak mempengaruhi kami untuk membaca novel. Dia selalu menyebutkan judul-judul novel, antara yang kuingat adalah Ranjau sepanjang Jalan, Srengenge, Tenggelamnya Kapal Ven der Wick, Di bawah Lindungan Kaabah; dan menceritakan keseronokan membaca buku-buku yang disebutkannya itu. Kami lalu berlumba-lumba mencari buku-buku yang disebutkannya dan sering bertukar-tukar buku sesama teman.

Di rumah seorang teman pula, kebetulan bapanya pernah mengajarku semasa aku darjah satu, aku temui Angin Timur Laut, Sandera, Juara dan beberapa novel lagi; yang kemudiannya ku ketahui sebagai karya-karya penting dalam sejarah sastera. Waktu itu budak-budak lagi! manalah aku tahu kesemua itu merupakan karya penting!

Sewaktu zaman kanak-kanak juga, aku sering menghabiskan cuti persekolahanku di rumah ayah di Dabong atau Gua Musang. Ayah selalu ditugaskan ke kawasan 'ulu'. Kami adik beradik tidak ikut berpindah mengikut ayah bertugas kerana ayah tidak mahu mengganggu persekolahan kami. Lagi pula kawasan-kawasan itu masih mundur, jauh dari kemudahan asas. Tapi sebagai pekerja kerajaan, rumah ayah lengkap berpili dan ada kuasa elektrik dari generator.

Tempat-tempat itu pada waktu itu hanya mempunyai jalan keretapi saja sebagai bentuk perhubungan(murid-murid sekolah di kawasan itu, nak ke sekolah terdekat pun terpaksa menaiki keretapi!). Tiada kemudahan elektrik, jadi tiada TV. Maka buku cerita menjadi syaratku kepada ayah sekiranya ayah mahu aku dan adikku mengikutinya semasa cuti sekolah panjang. Masih kuingat sebuah antologi drama yang kubeli di stesen keretapi Kuala Krai, 'Memburu Bulan Sabit'. Sewaktu membaca buku itu sementara menanti keretapi bergerak, seorang kenalan ayah berbangsa cina tertarik pada buku itu dan memintanya dariku. Dia membelek-belek buku itu. Ada nama watak 'Malisa', lalu dia bertanya dengan pelat cina, "Apa itu Malisa? Malaysia ka?" Ayah menjawab dengan pelat cina juga, "Bukan, itu perempuan punya nama!"

Kalaulah aku memiliki buku-buku yang pernah kubaca/ pinjam semasa zaman kanak-kanak dulu..

Kadang-kadang kerja mengulang-baca semasa mengemas ini terlalu mengasyikkan sehingga matlamat mengemas itu sendiri tidak tercapai!

Dan alangkah bahagianya melihat buku-buku tersusun cantik! Kebahagiaannya berlarutan. Kadang-kadang tercegat di hadapan susunan buku beberapa ketika sambil membayangkan aku memiliki rumah yang lebih besar dan koleksi yang lebih banyak!

Ada sebilangan kecil buku yang lesap kerana berpindah tangan - menjadi koleksi anak-anak! Itu tidak mengapa. Yang dipinjam oleh kawan-kawan 'kirim salam' sajalah. Tidak akan kembali lagi lah jawabnya. Oh! tak juga! Kawan yang meminjam Wi dan William tulisan Azizi telah memulangkan buku tersebut. Tapi buku Glenn Dorman, Bagaimana Meningkatkan Kecerdasan Anak Anda (buku terjemahan yang dilelong dengan harga RM10 saja), rasanya tidak ternampak bayang untuk kembali ke rak bukuku. Telah masuk TUJUH tahun kawanku meminjam (MEMINJAM?) buku itu!

Ada buku yang sama kubeli dua kali. Antara yang kuingat, Salina, Hujan Pagi, Saga - terpaksa kubeli lagi untuk menggantikan buku-buku yang 'dipinjam-ambil' oleh teman-teman. Ada waktunya, jika dalam kemampuan pada waktu-waktu tertentu, kubeli buku yang pernah kumiliki atau baca semasa zaman anak-anak atau semasa bersekolah menengah. Misalnya antologi cepen 'Benda Ajaib di Bilik Tertutup' yang pernah kumiliki semasa aku dalam darjah tiga.

Jualan murah buku-buku DBP di Dawama mengasyikkan dan menyeronokkan kami sekeluarga. Bayangkan ada buku berharga RM1.00! Seronoknya memborong!

Tapi terdetik juga sedikit kecewa di sudut hati, melihat buku yang terpaksa dilelong dengan harga yang sebegitu rendah. Terasa tidak padan jika dibuat perbandingan antara isinya dengan harganya, lebih-lebih lagilah dengan nama penulisnya, walaupun setahuku royalti kepada penulisnya tidak ada 'discount' seperti harga bukunya dijual. Tetapi DBP perlu menghabiskan stoknya (ya la, buku-buku DBP susah ditemui dalam pasaran, jadi cukup tahun kena lah lelong!), dan aku pengguna perlu mengira setiap sen yang kubelanja. Tolak tepilah harga itu! Boronglah banyak-banyak!

Aku kagum pada orang yang banyak membaca. Stamina orang seperti ini sungguh luar biasa sebenarnya. Stamina orang yang banyak membaca ini sebenarnya lebih banyak daripada stamina orang yang mendaki gunung! Bagaimana hendak kuperoleh stamina seperti ini?

Dua tiga hari sebelum puasa, aku menerima kiriman hadiah yang akan kusimpan sampai bila-bila! Seorang teman telah menitipkan dua buah antologi puisi. Terima kasih, Aris!

Dan hasrat hendak mengemas rak buku hari ini masih tidak tercapai!

Thursday, August 20, 2009

Mmmm..... yummy......

Anybody favour cheese cake? I LOVE cheese cake! And I would like to share with you the recipe, which is taken from Jelita July 2004. It was featured in Langkah Demi Langkah column, by chef Anuar .

This is normally called as Boston Cheese Cake. I've tried it for several times and it never fail to please the cheese cake lovers - my hubby, kids and friends. And I love to experiment too. Some times I replace the whip cream with fruit-flavoured yoghurt. I prefer to use fresh lemon juice instead of lemon paste. And I always reduce the amount of sugar.

Try it! If you are not into baking, then let me know. I will be please to bake it for you...


Thursday, August 13, 2009

Tentang Usia

Saya gemarkan sajak Allahyarham T Alias Taib, atau mesra dipanggil Pak Engku. Sajak di atas adalah sajak dari antologi beliau dengan tajuk yang serupa. Antologi beliau yang lain adalah Pemburu Kota, Seberkas Kunci, Opera, Piramid, Pasar Pengalaman; setakat yang saya tahu dan miliki. Ingin sekali saya miliki Laut tak Biru di Seberang Takir, terbitannya tahun 1972- tempoh masa yang terlalu jauh, dan hal inilah yang barangkali menyukarkan perolehannya.

Sajak-sajaknya ekonomis kata tapi cukup mengesankan rasa. Permainan bahasa yang tidak dibuat-buat tapi menjadi indah pengucapannya, hasil keupayaan penyair yang tinggi daya intelektualnya dan tajam pengamatannya.

Sewaktu percutian di KT beberapa lama dahulu, dan kemudiannya tahun lalu menghantar Ilham untuk mendaftar di UMT, tidak dapat tidak patah-patah katanya serasa menyelit di celahan deru ombak dan desir angin pantai.

Tentang usia (oh, teringat sajak Leo A.W.S dalam antologi Bulan Senja) banyak kita temui dalam puisi-puisi penyair, dan kerapnya puisi tentang usia ini terhasil apabila umur mencecah 40an. Dan apabila bicara tentang usia, orang kerap kali akan menyebut soal 'perpindahan abadi'.

Saya ingin berkongsi dengan teman-teman lagi sebuah sajak T Alias Taib:

Lain penyair lain pula gaya yang memikat saya. Saya turut menggemari Baha Zain. Antologi beliau Dari Kertas Catatan Tengah Malam dan Sepuluh Sajak / Ten Poems adalah antara koleksi terawal milik saya sendiri. Sebelumnya hanya buku-buku kumpulan sajak yang saya temui di perpustakaan sekolah, juga Penjuru Matamu milik abang (waktu itu yang saya cukup hafal, 'di penjuru matamu yang ungu lalu membiru...!)
Masih ingat, setiap kali ke pantai, saya akan melakarkan IRMA pada pasir lembap, sambil dalam hati saya tuturkan 'Irma, hanya satu kata yang terguris di pasir / penulisnya tak bernama dan sudah pergi/ Irma, kabarnya masih muda dan manis/ air yang ia mandi masih jernih...' (Fragmen sajak beliau yang berjudul 'Nama yang kutemui di Pasir')

Dan sewaktu merindu kehilangan oleh perpindahan abadi, saya dapati sajak ini memberi kesan yang sangat bermakna.

Sajak Baha Zain ini saya ambil dari antologi Dari Kertas Catatan Tengah Malam. Saya paparkan untuk kita sama-sama hayati. Sebagai mana penyair menghantar kepada kita keindahan makna lewat kata, saya sampaikan kepada teman-teman keindahan itu. Andai teman-teman sudahpun menemui keindahan itu terlebih dahulu, marilah kita sama-sama menikmatinya.
Saya paparkan juga sebuah sajak yang juga cukup indah dan mengharukan, karya Rahimidin Zahari lewat antologi Sekepal Tanah.

Sajak-sajak tentang 'perpindahan abadi' ini tunda-menunda mengasak ingatan oleh berita kepulangan beberapa tokoh yang kita cukup tahu. Sabar Bohari, Yasmin Ahmad, dan dari negara seberang Rendra dan Mbah Surip.

Minggu lepas saya terima sms dari teman sekolah, 'Lina Tomboy koma kerana barah otak'. Lina, teman seasrama sewaktu bersekolah dulu - penampilannya, biarpun dari rambut hingga pakaian persis budak lelaki (lalu terlekatlah gelaran tomboy), tetapi sopan-santunnya sangat terjaga dan menyenangkan sesiapa saja. Pagi tadi saya menghantar sms kepada teman, bertanyakan kabar tentang Lina Tomboy. Rupanya dia telah kembali kepada pencipta Jumaat lepas. Al Fatihah.

Tuesday, August 4, 2009

Kata dan Warna



Sang Penari

Menyusun gerak makna
menyusup makna duka
di awan suara lukaku
mengiring tari sumbang
langkahku seakan terhenti.

Sebiru warna cinta
kutenun jemalur rindu
selendang yang tiada lagi alunnya
pada gemalai tari
melafaz puisi sepi.

Hentak lembut ujung kaki
melentik segenap jemari
sang penari menyusun sembah
gementar rindu masa silam.

Berita Minggu
24.08.1986

Aku teringatkan sajak di atas apabila kembali mengakrabi gerak tari. Juga catan yang kuhasilkan di Pulau Pinang, setelah tamat Seni Halus di ITM Shah Alam. Dan kata-kata sering bertebaran, meminta untuk dirangkaikan.


Kata dan Warna
Menyerak warna
menukangi kata
sehimpun resah menduga
selaut bicara
hendak kuselam maknanya.

Puncak Alam
4 Ogos 09

Sunday, August 2, 2009

Hari Minggu



After reading (or browsing?) some weekly newspapers, I begin to think of the meal I should prepare for lunch even though I don't feel like cooking. There is the school work load that I have to attend to, but I don't feel like doing it either. Time to laze around, I guess, but oh I feel guilty!

So I browse the kitchen shelf. There is a can of carbonara sauce. The girls don't like it. It is a mistake to buy it during one of our grocery shopping trip. Yesterday I was thinking of making mac n cheese, like the one they have at Kenny Roger's outlet. But I ended up cooking sambal tumis udang and ikan pelaling goreng instead. Served with steaming hot rice, off course!

A few days ago, a friend of mine taught me how to prepare mac n cheese. Easy - melt the butter, add in cheddar cheese and toss in the cooked macaroni.

Well, there is no cheese in our fridge. So I drive to a nearby shop. It is a quiet Sunday. As it always is in my neighbourhood. A poem by A. Latiff Mohidin, entitled Hari Minggu comes to my mind:

Hari minggu
hari kelabu
tiang lampu

miring
satu persatu

I get the cheese. And carbonara.... what should I do with it? And there is a packet of mince chicken too in our freezer.

So here it goes:
Blend the onion, garlic and ginger. Heat a little oil, fry the onions until fragrant. Add in the mince chicken. When it is cooked, pour in the carbonara sauce. Sprinkle a dash of salt and pepper to your taste. Done.
Cook the macaroni. Add in a little bit of butter and salt. Drained.
Melt the butter. Add in the sliced cheddar cheese. Then add in a little of moza cheese.
Lastly mix the carbonara sauce, cooked mac and the melted cheese. Voila! Lunch in a jiffy!

The girls like it. And my carbonara don't go wasted. But to add colour and taste, sprinkle some parmeesan cheese and serve it with steamed brocolli and carrot.