Monday, August 30, 2010

Ohh!

Sewaktu membelek-belek kotak yang menyimpan hasil penulisan selama mengikuti kursus Penulisan Kreatif (RSSK) di USM tahun 1987-88, saya mendapati sehimpunan sajak telah dimakan anai-anai. Rasanya baru sebulan dua (iaitu kali terakhir saya membelek-belek kotak itu) helaian-helaian ini masih berada dalam keadaan baik. Segera saya menaip dan menyimpan sajak-sajak itu dalam komputer.

Saya kemudiannya memeriksa fail-fail lain. Oh! Rupa-rupanya hanya failnya sahaja kelihatan elok. Isinya sudah lebur! Tamatlah 'riwayat' cerpen-cerpen yang tidak pernah saya hantar ke mana-mana penerbitan. Fail itu juga berisi penulisan kritikan sastera, iaitu kelas Cikgu Shahnon, semasa mengikuti RSSK - hasil penulisan yang saya sayangi kerana terdapat ulasan dengan tulisan tangan SN Datuk Shahnon Ahmad (Saya ingat, hari pertama mengikuti kelas beliau, saya melakar potretnya sewaktu beliau menerangkan keperluan kursus!)

Dua tahun dahulu, anai-anai sudah mengerjakan banyak karya suami. Lalu kami bertindak mengambil khidmat pest-control.

Sehari suntuk saya mengosongkan rak buku di kamar utama. Memeriksa sarang anai-anai. Empat petak daripadanya terpaksa saya kosongkan kerana sudah menjadi rumah sang anai-anai. Nasib baik buku yang rosak cuma lima buah. Tetapi mengosongkan empat petak rak menimbulkan masalah lain - di mana pula harus saya tempatkan isinya! Kesemua petak sudah bersesak-sesak, malah melimpah! Kalau buku-buku itu boleh bersuara, tentu saja mereka sudah berteriak meminta saya sediakan ruang yang lebih selesa. Saya selalu terbayangkan, bagaimanalah agaknya himpunan buku rakan-rakan penulis...koleksi saya barangkali tidak lebih daripada 1/4 buku-buku mereka!

Buku kesayangan suami, tulisan Pablo Neruda; buku panduan kesihatan ibu hamil yang saya kutip sewaktu seorang guru hendak menghapus-kira buku-buku lama; novel sulung kakak ipar, Salmiah Alias: Cowrie Emas, bekas peguam yang kini membuka sekolah agama persendirian; novel kanak-kanak Gadis Bunga Teratai karya Hassan Ali, lelongan Dawama yang berharga RM1 (saya beli juga; rugi kalau tak beli sebab terlalu murah! Boleh simpan untuk Najaa), dan novel klasik Jane Austen, Northanger Abbey.

Hanya Cowrie Emas yang masih boleh diselamatkan. Residence of Earth Neruda sudah hancur...aduh! Memang buku ini masih terjual di Kinokuniya, tapi harganya...aduh...!

Ralat sungguh kalau buku yang dipinjam orang, dikembalikan dalam keadaan lusuh. Ralat lagilah kalau kehilangannya. Lebih sepuluh tahun dahulu, saya terpaksa membuang koleksi majalah Dewan Sastera tahun 70an yang saya simpan/tinggalkan di kampung. Waktu itu kami masih tinggal menyewa dan tidak kecukupan ruang - maklumlah rumahnya kecil (kereta pun kecil!). Jadi untuk memunggahnya harus difikir berkali-kali.

Betullah kata orang, rumah tinggal akan 'merajuk'. Rumah peninggalan arwah ibu yang kosong tidak berpenghuni rosak di sana-sini. Bilik saya bocor, mengorbankan koleksi Dewan Sastera yang saya kumpul sejak dalam tingkatan dua.

Kini kami berdepan dengan masalah anai-anai. Kalau dibiarkan akan banyak lagi buku yang rosak. Lukisan-lukisan suami yang ditempatkan di rumah bersebelahan, belum diperiksa. Harap-harap selamat.

Ohhh...pest -control...kenalah cari mereka!

Thursday, August 26, 2010

Sajak-sajak Kecil

Antara lembaran usang buku-buku catatan yang masih tersimpan, rupa-rupanya ada mainan kata. Seperti foto lama yang mengembalikan kenangan, coretan mainan kata ini juga seperti menghantar saya ke suatu daerah lampau. Dengan sifatnya sebagai mainan kata, sajak-sajak kecil ini kekal sifatnya sebagai 'sajak kecil' - kecil kerana pendeknya ungkapan, kecil kerana tidak membawa makna kepada sesiapapun!

(i)
Di luar Hujan sedang Turun...

Sebelum Subuh
hujan melontar desirnya
ke dasar sepi
dingin yang lumba- berlumba
mencumbui kamar
membolosi jendela terbuka
sehingga ia reda
tak henti kusalami
dingin mimpi tersisa.

(ii)
tanpa judul


Ada yang hadir
bersama embun luruh
antara desir alam
kudengar nyanyian suci
sayup-sayup
menghantar makna.

(iii) tanpa judul

Ada yang lupa kucatat
kala malam turun dengan senyap
dan menghantar desir angin yang perlahan
diam-diam ada yang ingin dimaknakan
antara ingatan yang banyak terlepas.

Sunday, August 8, 2010

Sekadar Mengenang...

Saya terjumpa sebuah buku nota lama milik saya semasa tinggal menyewa kamar di Minden Height. Buku nota itu penuh dengan coretan sajak. Ada yang selesai digarap dan ada yang tergantung. Banyak sajak yang merakamkan kesunyian....

Di Minden Height, saya memang kesunyian kerana teman saya, Rehan Yaacob, selalu saja sibuk. Dan bila dia pulang, selalunya teman-teman kursus lakonannya, Ema Sulai dan Amy Rhapor, ikut mendatangi, menghalau kesunyian saya dengan jenaka dan tawa.

Kerana selalu kesunyian, terhasillah sajak ini.

Sepi Gugur di Kaca Jendela

Menangkap bayangmu
melintasi rumput
sedang harum cempaka tidak
menyebarkan apa-apa berita,

Khabar, kudakap hampa
rindu yang lintas-melintas
di ruang ingatan
sarat, tidak tereja maknanya
tidak tertangkap gemanya.

Di pintu, kunantikan ketukan
siapalah yang bakal datang
mengusir sepi di kaca.

07.07.87
Minden Height