Saturday, June 11, 2011

Terkenang-kenang ii

Saya mengenalinya lewat puisi.

Arwah Pak Engku mencadangkan saya menghantar sajak saya kepadanya untuk dimuatkan ke dalam antologi 'Anti Perang'. Dan sejak itu dia akan menghantar ucapan tahniah lewat sms jika puisi saya mendapat siaran.

Kami bertemu dalam dua majlis sastera (Saya jarang hadiri majlis sastera). Dan begitulah persahabatan itu terjadi.

Saya mendapat kabar tentang sakit yang dideritainya menerusi blog seorang penulis. Saya teringat ceritanya dalam suatu perbualan telefon, "Waktu i bercakap dengan you ni, i tengah menahan sakit. Muka terasa macam dicakar-cakar, macam digigit binatang bisa pun ada," Demikian ceritanya.

Ada sesekali (waktu dia terasa kuat sedikit), dia mengabarkan keadaan dirinya melalui sms. Memang dugaan itu datang dalam berbagai wajah.
Semalam, dia dijemput Illahi. Al Fatihah.

Saya perturunkan sajaknya di sini.

Munajat iv

Pada bisik yang lirih
ku apungkan doa ke dada langit:

Luluhkan tompok dendam
dari membiak dalam saraf resahku
dan kembalikan diam itu
agar aku bisa mendengar suara-Mu.

Thursday, June 9, 2011

Terkenang-kenang...

Ya... pada lewat malam begini, apabila mata sukar memancing kantuk, terkenang-kenanglah puisi lama yang saya pernah baca sewaktu kecil-kecil dulu.

Alamat Hari Nak Siang

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang tua berkalih tidur
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting kuang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung, merak mengigal
Fajar sadik menyingsing naik
Kicau-kicau bunyi murai
Taptibau melambung tinggi
Menguku balam di ujung bendul
Terdengut puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang.


Rujukan:
Kuntum Pertiwi
Buku 3
Anwar Ridhwan
Rahman Shaari




Friday, June 3, 2011

Transformasi...

Sudah sebulan tak up date blog... Entri ini pun sudah agak basi!

Tertangguh-tangguh kerana tidak memiliki koleksi gambar sendiri.

Kemudian tertangguh-tangguh lagi kerana beberapa peristiwa yang meruntun hati kita semua.

Tapi untuk catatan peribadi, saya masukkan juga. Gambar-gambar untuk entri blog ini saya 'pinjam' daripada fb kawan-kawan.

Judul entri juga tidak ada kaitan dengan tema hari guru tahun ini, tapi dalam menepati tema pakaian yang ditetapkan Kelab Guru, berlakulah tranformasi yang tidak disangka-sangka!

Tema kami pada tahun lepas - etnik tempatan.

Tema tahun ini fesyen retro mengikut tahun kelahiran.

Guru yang lahir pada tahun 70-an paling ramai, dan fesyen mereka 'pukul habis'!



Hippi sesat mana ni?

Kombinasi 70-an dan rock 80-an.

Yang paling hadapan tu bukan budak sekolah...





Para jejaka kami yang tahun lepas segak tampan berbaju melayu.

Nasib baik ada juga wanita melayu yang santun ayu...

Ina dan As menjadi pengapit ustazah kita yang vogue belaka.

Selepas sambutan Hari Guru, kerja menunggu seperti biasa. Dan dalam kesibukan itu, foto-foto yang dimuat-naik ke laman FB menjadi bahan tawa yang meredakan ketegangan kerja.

Dan sepanjang cuti sekolah ini, rakan-rakan guru bergelut dengan timbunan kertas peperiksaan yang perlu ditanda.