Sunday, March 31, 2013

Serpihan Kenangan

Pulang ke kampung bererti mengutip serpihan kenangan dan kerinduan. Mengenang kesayuan pada almarhum ayah bonda. Kenangan pada zaman anak kecil meniti usia remaja, kerinduan pada masakan istimewa yang tidak terdapat di daerah lain, juga meratapi kehilangan wajah asal kampung yang lebih saya mesrai daripada wajah yang ditatap kini.

Sebahagian kenangan pula seperti tidak sudi untuk dilayani. Rumah pusaka yang asal, yang kini sudah disewakan, yang punya banyak ingatan manis, tidak mampu untuk dikenang-kenang lagi. Saya harus akur apabila emak hendak mendirikan rumah lain setelah ayah meninggal. - rumah yang lama terlalu besar untuk dia diami sendirian. Saya pulang ke rumah baru arwah emak yang kini menjadi milik abang, tetapi hal itu tidaklah menjadi kejanggalan. Abang masih menyimpan sebahagian yang kami miliki di rumah pusaka yang asal. Dan paling istimewa, abang masih mempamerkan hasil kerja saya sewaktu bergelar pelajar seni halus.


Monday, March 18, 2013

Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita


Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk berkenal-kenalan dengan penulis-penulis yang kebanyakan sudah saya tahu dan baca karyanya. Selalu terasa diri ini kerdil bila berada dalam majlis-majlis sastera - mungkin saya tidak punya keyakinan diri, atau mungkin juga kerana saya bimbang dengan label penulis. Ya, saya tidak konsisten, dan inilah puncanya kebimbangan itu.


 Majlis Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita - 18 mac 2013

Saturday, March 16, 2013

Yang Aku Kagumi....

Tulisan beliau adalah yang pertama saya tuju setiap kali memperoleh Dewan Sastera. Sajak-sajak beliau saya hafal sewaktu usia awal belasan. Sehingga kinipun masih terasa pilihan kata-kata beliau untuk mengungkapkan pemikiran dan renungannya punya kuasa sakti yang luar biasa. Beliau seorang yang genius. Tepat sekali penobatannya sebagai sasterawan negara!

Tuesday, March 12, 2013

Buku

Sebulan dua ini, saya menerima kiriman sejumlah buku daripada beberapa rakan penulis. Menambahkan jumlah buku terbaru saya yang akhir-akhir ini diperolehi daripada pesta buku dan jualan murah. Rak buku saya yang separuh runtuh itu sudah tidak sudi lagi menerima sebarang warga baru. Maka buku-buku baru terpaksa mencuri ruang di atas meja kerja di sekolah, rak kecil di atas meja kopi, terselit sebuah dua di dalam beg kerja, rak kecil di atas meja studi di ruang kerja melukis;  malah di atas bangku kopitiam yang bertukar fungsi sebagai meja sisi. 

Walau bagaimanapun jumlah ini sebenarnya tidaklah begitu banyak - saya sedar kemampuan membaca saya kini - mata mudah penat, dan mudah pula diserang sakit kepala. Pembacaan sering terhenti-henti. Kerap kali saya membaca dua, tiga buah buku pada satu-satu masa, berselang ganti. Saya tidak lagi gagah membaca seperti suatu ketika dulu - membaca berjam-jam sehingga 'terlupa' kerja-kerja rumah tangga! (Mmmm... tentu kalut-ribut kalau suami tidak memahami...)

Kerap juga saya mengatakan kepada diri sendiri, agar berhenti sementara daripada mendapatkan buku baharu sehingga buku-buku yang sudah dibeli habis dibaca semuanya. Tapi peringatan ini tidak pernah menjadi.  Minggu hadapan, pada majlis Pelancaran Buku 10 Penulis Wanita, pasti koleksi saya bertambah lagi!

Saturday, March 9, 2013

Penulis?

I
Penulis adalah orang yang menghasilkan karya penulisan dan memenuhi kehidupannya dengan aktiviti selayaknya sebagai seorang penulis. Demikian yang saya fahami. Dan tidak sedikit kekaguman saya terhadap mereka yang sangat ahli menggunakan rangkai kata berseni buat menzahirkan pemikiran sehingga menimbulkan kesan rasa kepada pembacanya. 

II
Semalam saya menerima panggilan telefon daripada ITBM - memaklumkan jemputan ke majlis pelancaran buku. Ya, antologi saya 'Bunga di atas Meja' akan dilancarkan dalam majlis "Pelancaran Buku Sepuluh Penulis Wanita". Tidak sedikit beban yang terhumban ke bahu saya andai dengan hanya sebuah buku saya dilabelkan sebagai penulis!

III
Ya, saya menulis sedikit sajak - hasil permainan kata yang terawangan dalam fikiran jika ada perkara-perkara di sekitar saya mengusik rasa. Permainan kata yang ada kalanya terlepas oleh kesibukan yang lain. Rasa yang terlupakan kerana ada perkara yang lebih mendesak tindak. Rentak kehidupan saya adalah kelaziman yang tidak punya apa-apa keistimewaan untuk digelarkan sebagai penulis!

Saya melukis.  Saya melukis bila ada gerak rasa untuk melukis. Saya juga melukis selayaknya tuntutan sebagai seorang pengajar seni visual. Dan hal ini tentu saja tidak melayakkan saya untuk bergelar pelukis!

IV
Sekadar merangkai kata demi kata tidaklah sajak namanya.
Sekadar mencalit garis, melontar warna, tidaklah catan namanya.