Tuesday, March 27, 2012

Buat Puteri-puteriku


Puteri-puteriku yang tumbuh dari cinta kasih kami
doa yang terucap oleh ibumu
adalah harap dan pesan yang mekar dari
janji kami menyempurnakan mimpi
setelah mengait impian
kini kutahu, hanya kedewasaan yang mengajar kita
bahawa hidup bukan untuk memintal
mimpi di ranjangan mawar
tetapi 
meniti hakiki
kita harus bersedia
menyirat jala keberanian
keresahan hanyalah akar kegalauan
yang membatasi jalan kita
puteri-puteriku, harus kau sirati makna kejadian
hidup tidak sekadar mencipta impian.



Setiap kali menemani anak mengambil keputusan SPM, saya sentiasa terbayang wajah mereka sewaktu mendaftar tahun satu! Saya yakin setiap ibu-bapa sentiasa berperasaan demikian.

Dan setiap kali membawa mereka mendaftar IPT, saya teringatkan saat-saat saya sendiri, ditemani orang tua mendaftar di ITM Dungun.

Sewaktu membawa Amna, anak kedua kami, mendaftar sebagai pelajar Seni Halus di UiTM Melaka, kami tidak dapat berlama-lama. Kami harus bergegas ke Kuala Trengganu, kerana yang sulung, Ilham; setelah tamat matrikulasi di Kuala Pilah- diterima masuk ke UMT. Ilham sudah tamat belajar kini. Amna di semester akhir. Adibah dan Fathanah juga sedang bergelut dengan peperiksaan akhir kursus persediaan. Hanya doa yang mengiringimu, anak-anakku....

Friday, February 24, 2012

Kumpulan Wirama Tari

Memimpin pasukan tarian menuntut pengorbanan masa yang banyak. Namun saya gembira. Bidang ini merupakan bidang yang saya minati sejak zaman persekolahan. Kebetulan pula, sewaktu saya sibuk dengan pasukan tarian sekolah saya, anak saya juga turut aktif dengan pasukan tarian di sekolahnya.Apabila melihat mereka membuat persembahan terhimbaulah kenangan lalu sewaktu bersama rakan-rakan membuat persembahan dan menyertai pertandingan. Namun bukan soal nostalgia ini yang menjadi pertimbangan utama untuk memajukan pasukan tarian ini. Sebaliknya saya mahu anak-anak sekolah tahu menghargai keindahan gerak tari warisan. Hal ini sukar sebenarnya. Sesuatu yang berbentuk seni tradisi sering saja harus mendepani (dan menyaingi) unsur-unsur hiburan semasa.

Kelab kami adalah anggota Kelab Giat Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian. Dan sebagai ahli KGB, anak-anak ini bukan sahaja memahami lenggok dan gerak tarian Melayu, malah mampu mengajarnya.


Inilah wajah-wajah yang teguh bersama kelab kebudayaan sekolah sejak mula-mula penubuhannya. Wajah-wajah yang menyenangkan hati guru-guru kerana sahsiah yang terpuji. Saya bangga kerana mereka jugalah yang memijak pentas untuk menerima hadiah pencapaian akademik, walaupun saat-saat menjelang pertandingan, mereka harus meninggalkan kelas untuk mengikuti sesi latihan bersama koreografer.  Harapan saya, keputusan SPM mereka nanti tetap membanggakan. Dan ya...saya merindui mereka....



Sunday, February 12, 2012

Kenangan

Untuk rakan-rakan yang mengenali arwah Zizalina, inilah sajak saya buat kenang-kenangan terhadap Allahyarhamah.

Al fatihah buat sahabat.

Terima kasih, editor...


Sebaris Doa dalam Getar Hiba

Apakah yang dapat kubaca
Tentang sederet derita
Yang kau diamkan.

Kau bagai pemain watak
Meyakinkan dengan setiap laku dan tindak
Lembut mata yang melimpahkan ria
Sulam kata bertingkah tawa
Sering aku kalah menerka
Gelodak jiwamu.
Tidak tersingkap sengsara
Yang kaubenam jauh ke batas sukma
Jari-jari azab kanser yang mencengkam
Kautabir dengan lunak ucapan.

Akulah yang silap menafsir
Mencatat waja semangat pada relung harapan
Sebagai titik-titik cahaya
Menyuluhi lorong hayat.

Tapi laut masa akhirnya menyurut
Kasur rumah sakit yang tidak upaya menampung
Menyerah pada tabung oksigen
Mendenyutkan detak jantung
Dan usia bagai bertubir di juring derita.

Dinihari sunyi, gelita langit memanggung nestapa
Kau dipanggil Pencipta
Aku luluh menyeka hiba.

Takdir menuliskan riwayatmu
Dengan pena bertinta embun
dingin dan segar
Dalam ingatan merimbun.

Aku mengeja luka
Yang tidak dapat kubaca
Temaram oleh titis airmata.

Pertemuan, maut, rahsia Yang Maha Esa
Hanya ku kenangi
Pohon hayatmu merendang budi
Aku selami makna abadi
Dan sebaris doa, dengan getar hiba
Menggiring salam pamitan.




Wednesday, February 8, 2012

Sastera dan kita


Dua orang anak saya yang sedang mengikuti pengajian persediaan harus mengkaji beberapa novel, walaupun kursus yang akan mereka ikuti setelah tamat pengajian persediaan nanti bukannya kursus kesusasteraan.

Dalam sistem pendidikan kita, kesusasteraan terpinggir dan dan dipinggirkan....



Monday, February 6, 2012

Sajian -Apple crumble


Adibah, anak saya yang suka memasak itu, lebih suka menyebutnya sebagai 'deraian epal'. Hah! memang resipi saya kali ini berderai betul! Ya, saya lebih suka sukatan resipi yang pernah saya cuba sebelum ini, dengan sedikit ubah-suaian - saya tambahkan mentega. Jika sebelum ini saya saya sediakan epal dan nenas (tin) sebagai inti, kali ni saya cuba epal dan pic (tin) pula. 


Hasilnya tetap sedap di tekak anak-anak......

Sunday, February 5, 2012

terima kasih, editor....


Terima kasih, editor, kerana menyiarkan sajak saya.....

Ketika Mencatat Rindu Lalu di Perbukitan

Ketika rembes gerimis pantas melebat menjadi titis hujan
Ketika aku lalu terburu mencari teduhan
Mengecap enak strawberi dalam lemak coklat,
Apa lagi yang tinggal padamu, wahai perbukitan?
Dingin berakhir sehabis lebat hujan dan alammu
menghawakan tropika.

Ketika aku kenanaran mendongak pandang
Pada bangunan yang bercerancangan
Ketika sepatuku terpalit lumpur di bawah rumputan telanjang
Mencicipi teh di ladang saujana sambil menikmati mekar bunga,
Apa lagi yang tinggal padamu, wahai perbukitan?
Dingin meminggir di sebalik pohon-pohon yang terpongkah
Dan matahari tidak silu melontar sinar.

Ketika kujelujuri perbukitan
Dengan lukisan peta silam
Ketika kulafaz puisi dengan rindu berkecaian,
Apakah lagi yang ada padamu?
Daerahmu terpanggang oleh kehendak dagang
Dingin bayu tertewas oleh kehijauan yang menghilang
aku terluka dalam panas membahang.

Rositah Ibrahim
Tanah Tinggi Cameron

Saturday, February 4, 2012

Sebuah Catatan Biasa...

Hati kita boleh tersentuh dengan perkara-perkara yang kadang-kadang tidak diduga.

Hari saya bermula dengan  sakit kepala yang berdenyut-denyut.  Sebenarnya sudahpun berdenyut sejak semalam, tapi saya tidak endah untuk mengambil ubat.

Di sekolah, denyutannya semakin menjadi. Segera bersarapan dan mengambil ponstan, saya berharap sangat agar sempat lega sebelum kelas saya bermula. Malangnya hal itu tidak terjadi. Jadi saya berterus terang saja dengan  murid saya bahawa saya sedang melawan sakit kepala. Selepas memulakan sedikit tunjuk cara, saya minta mereka meneruskan latihan. Seorang murid berkata, "cikgu, cikgu rehat la, biar kita orang buat kerja," Aduh! tidak mampupun untuk menghadiahkannya senyuman buat murid itu. Saya membayangkan mana mungkin boleh rehat kalau kelas tidak dikawal!

Oh! Jujur rupanya pernyataan murid yang belum sempat saya kenali itu. Memang saya tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengawal kelas. Mereka tekun saja melukis. Tidak berbuat bisingpun. Begitu juga dengan kelas berikutnya.

Mungkin hal ini perkara kecil bagi kebanyakan orang, tapi saya tersentuh kerananya.

Friday, January 27, 2012

Angka

Arwah ayah suka angka 6 dan 9. Plet nombor keretanya DD6999 dan yang terkemudian DH 5999 (tapi yang ini tidak kekal).

6 angka kelahiran saya. 6 Januari lalu saya menerima banyak ucap selamat hari lahir - ya, zaman FB, begitulah! Sehari selepasnya, saya mengujarkan pada dinding FB rasa gembira saya (dan terima kasih) kerana menerima begitu banyak ucapan. Saya tidak nyatakan, apa yang saya simpan di dalam hati, yang saya pendamkan diam-diam, adalah kegundahan saya. Saya gundah kerana menerima kabar sahabat saya yang diuji kanser tiga tahun yang lalu, kini semakin kritikal. Seorang lagi sahabat baik pula dimasukkan ke hospital kerana stroke (Alhamdulillah, beberapa hari lepas dia telah boleh berjalan semula).

Pada 9 Januari, sahabat saya koma. Kali ini saya tidak lagi dapat membenam pedih dengan senyum tawa. Lebih-lebih lagi kerana kami telah terpisah sempadan geografi. Dan pada jam 2 pagi, saya dikejutkan dering telefon bimbit. Tertera nama adik ipar sahabat saya itu. Tidak ada orang yang akan menghubungi orang lain pada waktu begini jika tidak membawa kabar tertentu. Benar, sahabat baik saya , Zizalina Abu Bakar, telah berangkat pulang ke daerah keabadian, beberapa minit yang lalu.

Hanya doa mengingi perjalananmu sahabat...

Sehingga kini, mata saya masih basah jika terkenangkannya. Dua kali sudah saya cuba menulis tentangnya, tapi saya terhalang oleh sebak. Saya tidak pasti apakah tulisan ini mampu saya habiskan.

6 dan 9. Angka kegemaran arwah ayah kini menjadi angka suka dan luka.

Al Fatihah untuk orang tuaku, dan sahabat yang mendahului kami.

Tuesday, January 3, 2012

warna


Alhamdulillah....terlaksana sasaran lima buah catan mengisi cuti hujung tahun, walaupun kesemua catan tersebut masih memerlukan sentuhan dan kemasan akhir.

Wanita tidak mungkin memisahkan dirinya dengan tuntutan tradisional. Tuntutan ini sebenarnya datang dari dalam diri wanita itu sendiri yang berasa puas jika dapat menyediakan hidangan serta menyiapkan keperluan rumah tangga. Tapi dalam menekuni warna, saya akui tuntutan tradisional ini sesekali terabai jua...Terima kasih dan syukur saya kerana mereka yang mengelilingi saya faham, bahkan suka melihat saya kembali bermain warna.

Dengan beberapa catan yang terdahulu, dan bara bernyala untuk terus berkarya, mungkinkan buat saya mengangankan sebuah pameran....
Teringat pula sekumpulan sajak yang sudah saya serahkan kepada seorang rakan dengan hasrat yang hingga kini masih tertangguh untuk sebuah antologi...
Hmmm.....