Thursday, May 30, 2013

Menikmati Catan


Catan berbicara dengan warna. 
Puisi berbicara dengan kata. 
Catan adalah dunia kata dengan warna. 
Puisi adalah dunia warna dengan kata

Maka itu tidak hairan 
jika 
pemuisi mengakrabi warna 
dan pelukis menyenangi kata. 


Saya bangga andai catan  terus dijadikan penghias kulit majalah, lebih-lebih lagi majalah seperti Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Untuk menikmati catan makanya kita harus menghormati karya itu sendiri. 
Dan saya fikir penikmatan visual agak terganggu jika catan dihadirkan dengan tempelan huruf-huruf pada wajahnya. 

Bukankah lebih baik catan itu itu dibiarkan dalam bingkai tak terusik seperti yang dilakukan pada tiga naskah majalah di sebelah kiri? (rujuk foto iringan di atas)

Kecualilah jika yang dikatakan 'catan' itu hanyalah tempekan/tempelan/percikan/lontaran warna yang tiba-tiba diperakui sebagai catan.....

Ya, saya berharap agar catan (dan sebarang karya visual yang lain) terus dimanfaatkan sebagai penghias kulit majalah atau buku, dalam keadaan yang tidak terganggu dengan tindanan teks.

Pengkarya yang diabadikan karyanya pada majalah dalam foto di atas:
Bermula dari paling kiri bawah:

  •  Mastura Abdul Rahman - House of Flwer, House of Harmony (Dewan Sastera Disember 2007)
  •  A Latiff Mohidin - Pago-pago (Dewan Budaya Januari 2013)
  •  Jalaini Abu Hassan - Teratai dan Sarang Burung Tempua (Dewan Sastera Februari 20130
  •  Rafiee Abd Ghani - Still life in Red (DS Dewan Sastera Mac 2013)
  •  Awang Damit - Intipati Budaya (DS Dewan Sastera Mei 2013) 



Tuesday, May 7, 2013

Cikgu Shahnon


Saya membaca Ranjau Sepanjang Jalan sewaktu saya berada dalam darjah enam. Rasa-rasanya demikianlah perkenalan pertama dengan sasterawan ini.

Apabila saya mendaftar kursus Rancangan Sijil Penulisan Kreatif di USM, dua puluh tahun selepas 'perkenalan' itu; saya menjadi sangat teruja menghadiri kelas pertama dengan beliau. Dan sewaktu beliau memberi kuliah, saya tidak dapat menahan diri daripada melakar potret beliau pada buku catatan saya. Kelas tutorial itu kecil sahaja, saya pula duduk di barisan hadapan; saya tahu dia perasan apa yang saya buat, tapi saya tidak dapat berhenti. Ya, saya tidak ada sebarang catatan untuk kelas pertama itu!

Menatap kulit buku yang baru sahaja saya peroleh ini, tiba-tiba sahaja ada rindu yang meruntun pada cikgu saya ini. Semoga beliau dalam peliharaanNya.

Sunday, March 31, 2013

Serpihan Kenangan

Pulang ke kampung bererti mengutip serpihan kenangan dan kerinduan. Mengenang kesayuan pada almarhum ayah bonda. Kenangan pada zaman anak kecil meniti usia remaja, kerinduan pada masakan istimewa yang tidak terdapat di daerah lain, juga meratapi kehilangan wajah asal kampung yang lebih saya mesrai daripada wajah yang ditatap kini.

Sebahagian kenangan pula seperti tidak sudi untuk dilayani. Rumah pusaka yang asal, yang kini sudah disewakan, yang punya banyak ingatan manis, tidak mampu untuk dikenang-kenang lagi. Saya harus akur apabila emak hendak mendirikan rumah lain setelah ayah meninggal. - rumah yang lama terlalu besar untuk dia diami sendirian. Saya pulang ke rumah baru arwah emak yang kini menjadi milik abang, tetapi hal itu tidaklah menjadi kejanggalan. Abang masih menyimpan sebahagian yang kami miliki di rumah pusaka yang asal. Dan paling istimewa, abang masih mempamerkan hasil kerja saya sewaktu bergelar pelajar seni halus.


Monday, March 18, 2013

Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita


Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk berkenal-kenalan dengan penulis-penulis yang kebanyakan sudah saya tahu dan baca karyanya. Selalu terasa diri ini kerdil bila berada dalam majlis-majlis sastera - mungkin saya tidak punya keyakinan diri, atau mungkin juga kerana saya bimbang dengan label penulis. Ya, saya tidak konsisten, dan inilah puncanya kebimbangan itu.


 Majlis Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita - 18 mac 2013

Saturday, March 16, 2013

Yang Aku Kagumi....

Tulisan beliau adalah yang pertama saya tuju setiap kali memperoleh Dewan Sastera. Sajak-sajak beliau saya hafal sewaktu usia awal belasan. Sehingga kinipun masih terasa pilihan kata-kata beliau untuk mengungkapkan pemikiran dan renungannya punya kuasa sakti yang luar biasa. Beliau seorang yang genius. Tepat sekali penobatannya sebagai sasterawan negara!

Tuesday, March 12, 2013

Buku

Sebulan dua ini, saya menerima kiriman sejumlah buku daripada beberapa rakan penulis. Menambahkan jumlah buku terbaru saya yang akhir-akhir ini diperolehi daripada pesta buku dan jualan murah. Rak buku saya yang separuh runtuh itu sudah tidak sudi lagi menerima sebarang warga baru. Maka buku-buku baru terpaksa mencuri ruang di atas meja kerja di sekolah, rak kecil di atas meja kopi, terselit sebuah dua di dalam beg kerja, rak kecil di atas meja studi di ruang kerja melukis;  malah di atas bangku kopitiam yang bertukar fungsi sebagai meja sisi. 

Walau bagaimanapun jumlah ini sebenarnya tidaklah begitu banyak - saya sedar kemampuan membaca saya kini - mata mudah penat, dan mudah pula diserang sakit kepala. Pembacaan sering terhenti-henti. Kerap kali saya membaca dua, tiga buah buku pada satu-satu masa, berselang ganti. Saya tidak lagi gagah membaca seperti suatu ketika dulu - membaca berjam-jam sehingga 'terlupa' kerja-kerja rumah tangga! (Mmmm... tentu kalut-ribut kalau suami tidak memahami...)

Kerap juga saya mengatakan kepada diri sendiri, agar berhenti sementara daripada mendapatkan buku baharu sehingga buku-buku yang sudah dibeli habis dibaca semuanya. Tapi peringatan ini tidak pernah menjadi.  Minggu hadapan, pada majlis Pelancaran Buku 10 Penulis Wanita, pasti koleksi saya bertambah lagi!

Saturday, March 9, 2013

Penulis?

I
Penulis adalah orang yang menghasilkan karya penulisan dan memenuhi kehidupannya dengan aktiviti selayaknya sebagai seorang penulis. Demikian yang saya fahami. Dan tidak sedikit kekaguman saya terhadap mereka yang sangat ahli menggunakan rangkai kata berseni buat menzahirkan pemikiran sehingga menimbulkan kesan rasa kepada pembacanya. 

II
Semalam saya menerima panggilan telefon daripada ITBM - memaklumkan jemputan ke majlis pelancaran buku. Ya, antologi saya 'Bunga di atas Meja' akan dilancarkan dalam majlis "Pelancaran Buku Sepuluh Penulis Wanita". Tidak sedikit beban yang terhumban ke bahu saya andai dengan hanya sebuah buku saya dilabelkan sebagai penulis!

III
Ya, saya menulis sedikit sajak - hasil permainan kata yang terawangan dalam fikiran jika ada perkara-perkara di sekitar saya mengusik rasa. Permainan kata yang ada kalanya terlepas oleh kesibukan yang lain. Rasa yang terlupakan kerana ada perkara yang lebih mendesak tindak. Rentak kehidupan saya adalah kelaziman yang tidak punya apa-apa keistimewaan untuk digelarkan sebagai penulis!

Saya melukis.  Saya melukis bila ada gerak rasa untuk melukis. Saya juga melukis selayaknya tuntutan sebagai seorang pengajar seni visual. Dan hal ini tentu saja tidak melayakkan saya untuk bergelar pelukis!

IV
Sekadar merangkai kata demi kata tidaklah sajak namanya.
Sekadar mencalit garis, melontar warna, tidaklah catan namanya.

Wednesday, February 13, 2013

Kelahiran


Alhamdulillah. Kelahiran yang dinantikan. Terima kasih kepada rakan-rakan pembaca blog yang menggalakkan saya agar menyusun koleksi sajak saya menjadi sebuah antologi. Tanpa galakan mereka, sungguh, saya tidak punya keyakinan untuk melihat hasil tulisan saya serupa ini.

Lebih menggembirakan kerana editor memahami hasrat saya hendak mengabadikan catan saya sebagai kulitnya. Ya, persembahan yang sungguh saya senangi.

Seorang rakan penulis menghantar SMS (membalas SMS saya sebenarnya), 'Semoga sajak-sajaknya memberikan duga dan cabaran, bukan hanya kata-kata yang dideretkan sebagai sajak'. Suatu peringatan yang bermakna. Masih banyak yang perlu dipelajari. Dalam usia sebegini senja, saya umpama bayi yang baru bertatih. Semoga rakan-rakan terus hadir memberi semangat dan dorongan.

Saturday, January 5, 2013

Laksa Siam


Saya terasa hendak menyediakan laksa kerana 'geram' kan daun kesom yang nampak cantik dan segar di pasar besar Giant!

Sekadar berkongsi - resepi asalnya laksa siam yang saya 'google'. Tapi teringat juga laksa asam nyonya yang resepinya saya pelajari dari seorang teman. Seorang kawan yang mengendalikan restoran pernah memberitahu petuanya menyediakan sebarang jenis kuah laksa, iaitu memasukkan sedikit udang hidup untuk mendapatkan manis air udang. Oleh kerana tidak dapat putuskan resepi mana yang hendak diikut, saya akhirnya terfikir hendak ubah-suai sahaja resepinya. Hmm... apa salahnya bereksperimen!

Saya kongsikan 'hasil eksperimen' saya di sini!

Kisar halus bahan berikut:
  • 10 ulas bawang merah
  • 8 hiris lengkuas
  • 2 biji buah keras
  • 3 batang serai
Bahan-bahan di atas saya campurkan dengan 3 sudu besar campuran bahan tumisan yang sudah dikisar, yang memang sentiasa tersedia  di dalam peti sejuk - bawang merah, bawang besar, bawang putih, halia. (Asingkan sedikit bahan kisar untuk menumis udang kering).

Bahan-bahan di atas ditumis sehingga wangi, kemudian ditambah cili giling (lebih kurang lapan camca besar) dan sedikit belacan. Apabila sudah pecah minyak, masukkan air asam jawa yang diramas bersama air rebusan ikan. Tunggu sehingga mendidih, masukkan sedikit santan pekat, kacau lagi. Apabila santan pekat sudah hampir mengering, tambahkan sedikit lagi santan pekat. Buat begini tiga atau empat kali, baru dimasukkan lebihan santan dan air rebusan ikan. Tambahkan asam keping. Kemudian masukkan sedikit udang hidup, isi ikan yang telah direbus dan ditumbuk halus, serta satu tin kecil ikan sardin yang dilenyek dengan garfu (ambil sekali sosnya).

Seterusnya masukkan bunga kantan dan daun limau purut. Kacau sesekali sehingga mendidih sekali lagi.

Sebagai penyedap hidangan saya tambahkan tumisan udang kering:

Tumis bahan kisar. Kemudian masukkan udang kering yang telah dikisar bersama cili api. Masak sehingga kering.

(Ha....saya tidak masukkan pun daun kesom ke dalam kuah laksa! Setahu saya laksa siam memang tidak guna daun kesom, sebaliknya diganti dengan daun limau purut. Daun kesom yang saya 'geramkan' itu saya hiris halus sebagai ulaman laksa.)

Cubalah!