Tuesday, October 4, 2011

Cerita Buku lagi

Buku ini saya baca sewaktu berada di bangku sekolah rendah - buku pinjam. Saya memesrainya kembali sewaktu dalam tingkatan tiga di perpustakaan sekolah.

Panjang jodoh saya dengan novel ini!
Di sebuah gerai buku terpakai, wajahnya menyambut salam saya. Saya perolehnya dengan harga RM 5.00!

Sunday, October 2, 2011

Terima kasih, tuan editor......

Hati berbunga-bunga pagi ini.... maklumlah, saya penulis anak bilis....jadi jika sajak mendapat tempat di akhbar atau majalah, rasanya bagai menerima kejutan yang manis!

Terima kasih, tuan editor!

Sajak ini terhasil setelah membaca kisah sedih anak-anak mangsa kekejaman - peperangan, perkosaan, dan sebagainya.

Saturday, October 1, 2011

Cerita Buku ii

Saya yakin, ramai yang memang kenal Oliver Twist! Menarik pula apabila watak ini muncul dalam bentuk komik yang cantik lukisannya. Tentu sahaja yang lebih menarik lagi adalah harganya!

Wednesday, September 28, 2011

Cerita Buku

Saya seronok mengajar sejarah seni di dalam kelas. Saya suka dapat menyampaikan kepada murid saya tentang kepelbagaian cara ekspresi pelukis yang dapat dilihat dalam karya seni tampak.

Sekadar berkongsi dengan rakan-rakan guru PSV - saya kira buku di atas baik juga ditempatkan pada sudut bacaan di bilik seni.

Buku di atas diperoleh di sebuah kedai buku terpakai. Dibeli waktu anak-anak masih kecil. Menarik cara penceritaannya. Bersahaja, dan mudah difahami. Suatu bentuk apresiasi yang santai. Saya juga menggunakan buku ini untuk mengajar apresiasi seni kepada pelajar menengah atas. Tetap sesuai.

Ilustrasinya cantik diselangi dengan gambar foto.

Koleksi buku 'Siri mengenal Seni ITNM' yang saya beli semasa PBKL ini juga sangat menarik. Tajuk-tajuk lain dalam siri ini adalah 'Bangunan', Impresionisme', Lukisan dan Kartun', dan 'Tekstil'


Teksnya mudah, layoutnya menarik.

Sunday, July 10, 2011

Mari makan...

Hari minggu - mahu rehat-rehat, baca akhbar dan majalah. Tak mahu jenguk dapur. Tak mahu lap habuk. Tak mahu tengok mesin basuh. Tak mahu! Tak mahu!

Tapi tertengok juga timbunan pakaian yang perlu dibasuh. Tertengok juga meja kopi yang berselerak dengan buku dan akhbar. Ternampak juga ruang yang perlu dibersihkan. Ternampak juga objek-objek yang menuntut disusun kembali. Terlihat itu, terlihat ini. Hmm...inilah dilema suri separuh masa (atau suri hujung minggu lebih tepat, agaknya).

Akhirnya hasrat berehat tak tertunai...Keletihan, saya perlu fikirkan juadah yang mudah!

OK anak-anak, kita sediakan juadah ringkas. Dalam fridge ada kentang rebus yang sudah dilenyek bersama susu, garam dan lada putih. Baki bahan shepherd's pie yang saya sediakan untuk hari jadi anak buah hari sebelumnya. Ada sos spagheti yang Amna sediakan semalam. Kita ulangi lagi shepherd's pie ya!

Saturday, June 11, 2011

Terkenang-kenang ii

Saya mengenalinya lewat puisi.

Arwah Pak Engku mencadangkan saya menghantar sajak saya kepadanya untuk dimuatkan ke dalam antologi 'Anti Perang'. Dan sejak itu dia akan menghantar ucapan tahniah lewat sms jika puisi saya mendapat siaran.

Kami bertemu dalam dua majlis sastera (Saya jarang hadiri majlis sastera). Dan begitulah persahabatan itu terjadi.

Saya mendapat kabar tentang sakit yang dideritainya menerusi blog seorang penulis. Saya teringat ceritanya dalam suatu perbualan telefon, "Waktu i bercakap dengan you ni, i tengah menahan sakit. Muka terasa macam dicakar-cakar, macam digigit binatang bisa pun ada," Demikian ceritanya.

Ada sesekali (waktu dia terasa kuat sedikit), dia mengabarkan keadaan dirinya melalui sms. Memang dugaan itu datang dalam berbagai wajah.
Semalam, dia dijemput Illahi. Al Fatihah.

Saya perturunkan sajaknya di sini.

Munajat iv

Pada bisik yang lirih
ku apungkan doa ke dada langit:

Luluhkan tompok dendam
dari membiak dalam saraf resahku
dan kembalikan diam itu
agar aku bisa mendengar suara-Mu.

Thursday, June 9, 2011

Terkenang-kenang...

Ya... pada lewat malam begini, apabila mata sukar memancing kantuk, terkenang-kenanglah puisi lama yang saya pernah baca sewaktu kecil-kecil dulu.

Alamat Hari Nak Siang

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang tua berkalih tidur
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting kuang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung, merak mengigal
Fajar sadik menyingsing naik
Kicau-kicau bunyi murai
Taptibau melambung tinggi
Menguku balam di ujung bendul
Terdengut puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang.


Rujukan:
Kuntum Pertiwi
Buku 3
Anwar Ridhwan
Rahman Shaari




Friday, June 3, 2011

Transformasi...

Sudah sebulan tak up date blog... Entri ini pun sudah agak basi!

Tertangguh-tangguh kerana tidak memiliki koleksi gambar sendiri.

Kemudian tertangguh-tangguh lagi kerana beberapa peristiwa yang meruntun hati kita semua.

Tapi untuk catatan peribadi, saya masukkan juga. Gambar-gambar untuk entri blog ini saya 'pinjam' daripada fb kawan-kawan.

Judul entri juga tidak ada kaitan dengan tema hari guru tahun ini, tapi dalam menepati tema pakaian yang ditetapkan Kelab Guru, berlakulah tranformasi yang tidak disangka-sangka!

Tema kami pada tahun lepas - etnik tempatan.

Tema tahun ini fesyen retro mengikut tahun kelahiran.

Guru yang lahir pada tahun 70-an paling ramai, dan fesyen mereka 'pukul habis'!



Hippi sesat mana ni?

Kombinasi 70-an dan rock 80-an.

Yang paling hadapan tu bukan budak sekolah...





Para jejaka kami yang tahun lepas segak tampan berbaju melayu.

Nasib baik ada juga wanita melayu yang santun ayu...

Ina dan As menjadi pengapit ustazah kita yang vogue belaka.

Selepas sambutan Hari Guru, kerja menunggu seperti biasa. Dan dalam kesibukan itu, foto-foto yang dimuat-naik ke laman FB menjadi bahan tawa yang meredakan ketegangan kerja.

Dan sepanjang cuti sekolah ini, rakan-rakan guru bergelut dengan timbunan kertas peperiksaan yang perlu ditanda.

Thursday, April 28, 2011

Kek dan Buku

Hmm....kek keju lapis kiwi....hasil eksperimen yang pada mulanya saya fikir tidak menjadi. Lapisan jelinya lambat sekali membeku. Lalu tidak sempat dihidang kepada suami sebelum dia berangkat ke luar negara (maaf, kanda!).

Sudah lama tidak bereksperimen dengan kek. Sesudah menemui beberapa resepi yang disukai oleh keluarga dan teman-teman, saya sering sahaja mengulangi resepi yang sama. Tetapi baru-baru ini tergerak hati hendak mengubah-suai resepi yang sudah saya mesrai.


Kek keju ini adalah paduan lapisan kek sponge kiwi, dibakar kemudian dilapis diatasnya resepi kek keju Boston, dibakar sekali lagi. Sesudah sejuk dituang adunan kek keju tanpa bakar, dibiar mengeras kemudian disusun potongan buah kiwi lalu dituang lapisan jeli. Aduh... penatnya!

Anak-anak suka, tapi untuk tekak saya terasa agak manis (saya kurangkan gula daripada resepi saya yang memang sudah sedia kurang gulanya). Sedikit manis dan sedikit masam kiwi, bergabung lemak lapisan keju.

Bekas ini pernah saya isikan kek untuk teman yang baik. Ho... ho... dan dia membalas pemberian saya dengan tiga buah buku! Saya tidak mengharapkan sebarang 'balas bekas', tetapi pemberian buku tidak dapat saya tolak! Sukanya!!

Tiga buah buku ini bergabung bersama beberapa buku baru dari Pesta Buku Antarabangsa KL.