Wednesday, November 28, 2012

Catatan Ibu

Tanyalah sesiapapun, saya sangat pasti bahawa semuanya akan mengalami setidak-tidaknya secebis perasaan sebak takala menghadiri majlis konvokesyen anak.

Dua puluh enam tahun yang lalu saya melangkah ke pentas menerima ijazah seni halus, kini anak kedua menapak pada jejak yang sama. Syukur ke hadrat Ilahi.


Dan yang lebih istimewa adalah kerana pada hari yang sama, anak sulung menyarung jubah berlainan warna di tempat yang berbeza. Ya, itu bererti dalam kedua-dua majlis ini kami tidak dapat berkumpul sebagai sebuah keluarga. Namun saya merasai limpahan rezeki daripadaNya. Itulah keistimewaan yang jarang-jarang sekali berlaku.


Puteri sulung dan puteri kedua kini melangkah ke alam kerjaya. Mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari.

Puteri ke tiga dan keempat juga melangkahi lawang rumah ibu sesudah menamatkan kursus persediaan dalam negara. Istimewa juga kerana juga berlaku dalam tahun yang sama, kerana si kakak menjalani kursus selama dua tahun, dan si adik pula setahun.



Manis kenangan kedua-dua majlis ini adalah kerana dapat dirai oleh kesemua ahli keluarga. Dan hal itu tidak mengurangkan keistimewaan majlis konvokesyen kedua-dua kakak mereka yang jatuhnya pada hari yang sama. Dan doa kami sebagai orang tua, tentu saja tidak berbeza dengan doa ibu bapa lain....

Wednesday, November 21, 2012

Cerita Puisi, Cerita Catan



Sewaktu mula 'gila' menulis puisi, saya fikir puisi adalah rangkaian kata-kata yang indah. Maka saya pun merangkailah kata demi kata. Hanya sesudah bacaan demi bacaan saya mesrai, saya mulai terasa betapa sukarnya menulis puisi.

Demikian juga dengan lukisan. Saya kira sekadar mencalit warna maka lengkaplah suatu ekspresi. hanya sesudah mengenali bahasa visual, barulah terasa melukis itu suatu kerja yang sukar.

Ya, sekadar jalinan kata belum lengkap sebagai puisi. Sekadar calitan warna tidak berdiri sebagai catan.

Dan sesudah dua minggu saya hanya merapi ruang studio, saya belum juga melakar sebarang getar warna.....

Wednesday, October 24, 2012

Yang Popular, yang Serius, yang Berseni....

Ada orang membaca novel kerana 'mahu dipukaukan' oleh keasyikan tragedi dalam jalinan plot. Mereka tenggelam dalam debaran yang ditimbulkan oleh pengarangnya. Dan golongan seperti ini ramai. Maka itu novel-novel popular; seperti istilahnya- kekal popular.

Novel-novel serius, yang membawa seni kepengarangan, yang menghidangkan buah fikiran, yang meninggalkan kesan terhadap pembacanya - jika dibandingkan dengan novel popular, khalayaknya tentu sekali tidak semeriah novel popular.

Novel popular, oleh kerana sifatnya memang sudah popular, pada saya tidak perlulah dicanang-canangkan lagi. Tidak perlulah dibawa penulisnya ke institusi pendidikan untuk memperkatakan novelnya. Institusi pendidikan (sekolah atau universiti) seharusnya mendidik pelajarnya terhadap nilai seni dalam karya sastera. Maka wajarlah institusi pendidikan memilih dengan cermat siapa yang seharusnya diperkenalkan kepada pelajarnya.

Suatu ketika, sebuah unit di sekolah saya menjemput seorang pengarah yang menghasilkan filem-filem yang mendapat sambutan hebat, istilahnya box office; untuk menyampaikan ceramah tentang peluang melanjutkan pelajaran dan bidang kerjaya berkaitan dengan filem. Oleh kerana dia bertugas di IPT, maka skop itu memanglah sangat wajar. Dia juga bercakap tentang filem-filemnya mendapat sambutan hebat, juga bintang-bintang kelahirannya yang terkenal dan bergemerlapan dalam dunia seni (seni?). Dalam hal khalayak, filem samalah seperti novel - yang berseni khalayak pembaca/penontonnya lebih kecil. Kecil kerana khalayak ini bersifat selektf dan tidak mudah terpesona dengan kerlip bintang.

Filem popular -  seperti juga novel popular; oleh kerana sifatnya memang sudah popular, maka tidak perlulah dicanang-canangkan lagi!

Dalam sesi soal-jawab, saya mengambil kesempatan untuk menyatakan pendirian - filem yang baik bukan diukur dari segi berapa ramai penontonnya, tapi berapa kuat kesan yang ditinggalkan ke atas penontonnya. Untuk soalan saya jawapannya adalah sebagai pengajar perfileman, dan pembuat filem, dia bertanggung jawab untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajarnya. Saya jadi malas hendak berkata apa-apa lagi - seorang pengajar IPT lebih mementingkan nilai komerial untuk kelangsungan hidup. Hal inikah yang diajar di sebuah sekolah filem? Bagaimana dengan nilai? (Oh! Nilai hanyalah sebuah ungkapan yang tercetak pada halaman buku Pendidikan Moral!! Hah!)

Wednesday, October 17, 2012

Cerita Biasa Tentang Buku....

Saya tidak mampu hendak menempah rak buku pasang siap, jadi saya beli saja beberapa buah rak buku daripada kedai perabot dengan harga sekira-kira mampu, dan berharap dapatlah saya menyusun koleksi saya dengan kemas.


Rupa-rupanya rak saya tidak cukup kuat untuk menampung beban!


Juga tidak kecukupan ruang....



Bagaimana kalau saya jual buku anak-anak yang saya belikan untuk mereka sewaktu mereka kecil dahulu? (Oh! Tidak boleh, saya tetap sayang!)


Mmmm......



Sunday, October 7, 2012

Kembali ke Gema Dikir



Satu kejutan yang manis! Saya menerima jemputan ke majlis Penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Exxonmobil lewat telefon. Hanya sesudah menerima surat jemputan rasmi barulah tahu bahawa saya memenangi salah satu kategori hadiah sastera tersebut. Dan satu-satunya sajak saya yang tersiar di Mingguan Malaysia pada tahun 2011, "Kembali Ke Gema Dikir", kembali menggemakan getar makna dalam diri. Syukur, Alhamdulillah. 

Sungguh saya terasa kecil berada dalam kelompok penulis-penulis lain yang sememangnya telah berkali-kali menerima pengiktirafan. Jujur juga saya berasa takut dengan momentum menulis saya yang tidak konsisten ini....

Monday, September 17, 2012

kerja kursus


(Foto di atas adalah hasil kerja PEKA Sains seorang murid - saya ulang: SEORANG murid! Berapa jenis tulisan tangan yang dapat kita lihat?)

Guru-guru mata pelajaran yang terlibat dengan kerja kursus sebenarnya berhadapan dengan tekanan yang bukan sedikit. Jumlah murid besar. Murid corot, murid kaki tuang - adalah golongan yang memberi tekanan. Oh! Guru tidak boleh diberi tekanan? Guru tidak sanggup menghadapi cabaran? 

Bukan! 

Sebenarnya apakah untungnya kerja kursus kepada murid corot dan kaki tuang? Untuk memenuhi kehendak sistem penilaian, guru harus memaksa murid jenis ini menyiapkan kerja kursus, walau dengan apa cara sekalipun . Maka terhasillah laporan yang disalin bulat-bulat dari kawan, dan lebih teruk lagi, kerja kursusnya adalah 'hasil kerja ko-operasi' rakan-rakan! Hal sebegini berlaku dalam semua mata pelajaran. Foto di atas hanyalah salah satu contoh. Nasib baik juga kes ini tidaklah mencecahpun 10 peratus.


Friday, September 7, 2012

Terbanglah rama-rama kecilku...


Dari ulat jadi kepompong
tidur lena dalam kelongsong
cukup masa kelongsong pecah
jadilah rama-rama yang indah!

Inilah antara dendangan anak-anak sewaktu mereka kecil dulu. Melodi mudah dan senang untuk memikat ibu mereka menyanyi bersama. Secara tidak langsung dendangan itu menjadi suatu bentuk pembelajaran tentang hidupan.

Ya, melodi ini terngiang-ngiang kembali sewaktu seorang demi seorang saya peluk dan cium untuk melepaskan mereka ke benua asing....

Monday, August 6, 2012

Lasykar Pelangi


Saya terlewat memiliki dan membaca buku ini. Awalnya saya fikir novel popular yang biasa, lalu tidak tertarik minat untuk memilihnya. Sesudah terlalu kerap diperkatakan, saya menyusur toko buku yang selalu saya kunjungi tapi novel ini sudah tidak berada di raknya lagi. Saya malah menonton filemnya terlebih dahulu. Filem yang baik dan cantik visualnya. Saya mencarinya lagi di toko buku, masih tidak menemuinya. Yang saya temui adalah dwiloginya, Cinta di Dalam Gelas-Padang Bulan.

Kebiasaannya saya kurang berminat membaca novel yang saya  telah tontoni sebagai filem. Membaca karya kreatif melibatkan pemikiran, juga daya visualisasi. Pembaca mencipta gambaran dalam bayangannya, dan pasti saja gambaran setiap pembaca itu berbeza-beza meski ayat yang dibaca adalah ayat yang sama. Menonton filem ibarat membaca ayat yang daya visualisasinya telah dibina, jadi saya selalu terganggu untuk mencipta visual sendiri. Tapi ternyata novel ini punya tarikan yang lain. Hati saya terlonjak apabila terlihat novel ini di sisi karya Andrea Hirata yang lain, iaitu dwiloginya yang telah saya milikinya. Tanpa berlengah, saya mencapainya - dan terasa puas! 

Thursday, July 12, 2012

Catatan Biasa


Sewaktu saya kanak-kanak, saya mengira-ngira hari hendak menyambut hari raya kerana terbayangkan baju dan sepatu baru. Tetapi Najaa, pada usia 11 tahun, tidak sabar hendak menyambut puasa kerana hendak bersama-sama menyediakan biskut (walaupun kerjanya hanyalah meletakkan 'perhiasan' sahaja). Dia sudah mengambil buku resipi kegemarannya dan sudah mula merengek-rengek agar saya segera membeli bahan-bahannya. Saya belum sempat melayani permintaannya. Saya lebih memikirkan keperluan dua orang anak yang akan berangkat untuk belajar di luar negara. Adibah, anak ke tiga saya akan bertolak ke US pada minggu ke tiga Ramadhan, dan adiknya, Fathanah, ke Kanada pada minggu kedua Syawal. Kedua-duanya akan berada di sana selama 4 tahun.

Saya sudah biasa dengan keberangkatan seorang demi seorang anak meninggalkan rumah kerana memasuki kolej atau universiti. Anak-anak saya rapat jarak umurnya, maka itu hampir setiap tahun kami menghantar mereka mendaftar di kolej atau universiti. Kecuali yang sulung, yang lain kesemuanya berhampiran, dan boleh dijengah hampir setiap minggu. Setakat ini, saya tidak merasakan perpisahan itu sesuatu yang berat untuk ditanggung. 

Sehingga ke saat ini saya agak kabur tentang bagaimanakah nanti saya hadapi perpisahan dalam jarak waktu yang panjang, dengan jarak geografi yang jauh. Mungkin kerana saya lebih sibuk bertanyakan anak-anak perkara yang harus mereka uruskan - paspot, visa, pemeriksaan kesihatan, pakaian, dan lain-lainnya. Barangkali saya juga seperti Najaa - belum mengalami perasaan sebenar sehingga waktunya nanti tiba. Sementara itu eloklah saya layani permintaan si kecil ini - diapun sudah sibuk mencatat bahan-bahan untuk resipi biskut pilihannya!