Saturday, November 30, 2013

Menjadi Guru

Arwah orang tua saya hendak sangat anak-anaknya menjadi guru. Kata arwah emak, eloklah orang perempuan menjadi guru. Kerja separuh hari, waktu selebihnya boleh bersama anak-anak. Benar, sewaktu mula-mula menjadi guru, saya sudah berada di rumah menjelang jam 2 petang, kecuali sekali atau dua kali seminggu kerana kegiatan ko kurikulum atau mesyuarat. Dan di rumah saya gunakan sepenuhnya untuk waktu berkualiti bersama anak-anak. 

Kini tidak lagi. Mungkin guru pada masa kini boleh juga balik ke rumah sebaik tamat waktu persekolahan, tetapi balik untuk mengadap komputer. Zaman canggih - segala-galanya perlu key-in. Tapi malangnya server KPM sangat lembap, sehingga guru selalu sahaja menyumpah-nyumpah.

Kalau dulu guru-guru merangka program dan melaksanakannya begitu sahaja tanpa perlu sebarang dokumentasi. Tanpa perlu ada  senarai perancangan yang begitu cantik tercetak, kerana yang dilihat bukan proses tetapi hasilnya.

Kini semua perancangan perlu ada hitam putih dalam kerangka yang tersedia. Memikirkan program untuk memenuhi kerangka rupa-rupanya kerja yang memakan masa. Semakin banyak kita menggunakan komputer rupa-rupanya semakin banyak kertas yang perlu diisi di dalam berbagai-bagai fail. Segala proses sesebuah program harus jelas dapat dilihat di atas kertas. Ada rakan-rakan yang sudah mengalami stress sepanjang cuti hujung tahun ini. Manakan tidak, kalau kerja pengawasan SPM sedang berjalan, dalam masa yang sama perlu menyiapkan pelan strategik, KEBAT, FROG, dan kerja-kerja berpangkalkan huruf  'e' yang mengjengkelkan itu! 

Menjadi guru waktu kini tidak cukup jika sekadar atas dasar keseronokan menyampaikan ilmu.

Tiba-tiba saya menjadi cemburu kepada rakan-rakan guru yang sudah dan akan pencen tidak lama lagi!!!


Friday, November 29, 2013

Putih

Kami menerimanya sebagai ahli baru!

Si Keini bunting. Sudah sarat nampaknya. Tapi dia datang dan pergi. Adatlah. Dia memberi ruang unuk anaknya, A B, yang sudah beranak pinak di rumah kami. Pada kelahiran yang lepas, kedua-duanya beranak pada jarak waktu yang tidak jauh. Dan bagai berebut tempat. Dia pernah cuba menghalau A B.

Sesudah anak A B besar sedikit, Keini pula melahirkan anaknya di rumah kami. Malangnya, anak A B tidak panjang usia seperti yang lepas-lepas. Hanya seekor yang bertahan, Guli; sudah besarpun. Keini pula, setelah anak-anaknya besar sedikit, mengalih anak-anaknya entah ke mana.Hal ini adalah kebiasaannya. Apabila anak-anak lepas susu, sesekali dia akan membawa anak-anaknya 'bertandang' ke rumah kami. Bagai mahu memperkenalkan mereka kepada saudara-mara!

Yang terbaru, Keini dan A B bunting serentak lagi. Belum pun nampak sarat A B sudah melahirkan, tapi ketiga-tiganya mati selepas satu atau dua hari. Kami syak kelahiran yang tidak cukup bulan. Dua tiga hari ini, si Keini pula sudah tidak kelihatan. Telahan saya dia sudah menemui tempat baru untuk melahirkan anak.

Waktu ini muncul seekor anak kucing yang sudah lepas susu. Suami menemuinya di atas roda kereta suatu pagi. Barangkali dibuang orang. Kami namakannya putih, seperti warnanya. Matanya berwarna biru jernih. Jinak dan comel. 

Putih terpaksa diletakkan ke dalam sangkar kerana A B dan Guli enggan menerima kehadiran ahli baru. Sangkarnya pula diletakkan di dalam bilik khas saya - ruang saya menempatkan buku-buku, juga melukis. sesekali. Saya kerapnya membaca atau melukis sebelum masuk waktu subuh di sini. Tapi kehadiran Putih melekakan saya daripada rutin ini. Saya berharap hal ini cuma sementara. A B dan Guli harus diajar menerima Putih!





Friday, November 22, 2013

Catatan-catatan Tertinggal

i.
Lama sungguh tidak mencatat apa-apa di ruangan ini. Hidup bagai diatur kesibukan terus menerus. Kadang-kadang terabai getar yang seni. Kerap jua tercicir frasa yang bermain dalam ruang fikir.

ii.
Scoliosis bukan suatu penyakit, tetapi satu keadaan. Bukan jua oleh sebarang kemalangan tetapi sebuah ketentuan. Hal inilah yang harus saya jelaskan kepada pelawat-pelawat; sama ada pelawat kami atau pesakit lain di wad orthopedik itu.

Manakala bagi mereka yang mengenali keluarga kami cenderung pula untuk menganggapnya sebagai keturunan kerana terdapat kes yang sama dalam kalangan ahli keluarga.

Berada di rumah sakit, saya mendapat kesan bahawa scoliosis yang tidak diketahui oleh banyak orang itu sebenarnya bukanlah kes terpencil. Pada hari anak saya menunggu giliran ke kamar bedah, di sana seorang anak gadis  juga sedang menjalani pembedahan yang sama.

Seorang jururawat di hospital tersebut ( yang ketika itu bertugas di unit lain) datang melawat anak saya atas dasar perkongsian rasa. Dia scoliosis tetapi memilih untuk menjalani rawatan secara berurut sewaktu berusia awal belasan.

Melalui FB saya mendapat tahu dua orang rakan lama mempunyai anak yang senasib dengan anak saya. Yang seorang memilih rawatan dengan chiropractor dari Jerman, dan seorang lagi terus menjalani kehidupan biasa tanpa sebarang rawatan.

Dalam era perhubungan maya ini, pengidap scoliosis mempunyai kelompok sendiri. Syukur, kewujudan kelompok yang saling berkongsi tahap scoliosis masing-masing ini memberi ruang untuk anak saya membina kekuatan untuk menghadapi pembedahan. Dan saya menyaksikan kecekalan anak saya menghadapi saat sukar post-operation; lebih-lebih lagi diberitakan harus menjalani pembedahan kali kedua, dua minggu kemudiannya kerana terdapat sedikit komplikasi.

Alhamdulillah. Segala-galanya telah selesai. Proses penyembuhan dipermudahkan olehNya.

iii.
Saya makan nasi sekali sehari. Kerap juga selang sehari, atau sekali dalam masa dua hingga tiga hari. Bukan kerana saya berdiet untuk menurunkan berat badan, tetapi kerana sejak kecil saya terbiasa demikian.
Saya tidak tahu kenapa pola makan saya jadi begitu walhal dalam keluarga kami, nasi, seperti keluarga lain; adalah hidangan harian. Pernah juga selama satu minggu saya tidak memakan nasi. Saya jadi tidak 'lalu' memandang nasi selepas kembali dari menziarahi saudara mara suami di daerah Bangkinang di Riau pada bulan Syawal baru-baru ini. Selama lima hari di sana kami disajikan nasi dengan lauk-pauk masakan Minang yang sangat enak untuk ditolak. Sementelahan pula memang tidak ada pilihan makanan yang lain!

Hampir dua bulan berada di kampung kerana menjaga anak yang menjalani pembedahan dan proses penyembuhannya, saya makan nasi lebih dari kebiasaan. Abang saya suami isteri adalah pengusaha restoran. Selama berada di rumah mereka, saya dimanjakan dengan hidangan nasi yang sentiasa tersedia. Mana mungkin menolak nasi dagang paling sedap kakak ipar saya!

Kembali ke rumah sendiri, barangkali hal yang sama seperti selepas kunjungan ke Riau; akan berulang!

iv.
          "Umi baca novel macam tu?"
          Anak saya mengungkapkan rasa terkejutnya. Faham dengan maksud 'macam tu' yang diujarnya, saya menutup buku yang dibaca. Lalu jari telunjuk saya menggarisi nama pengarang, seraya menerangkan latar belakangnya sepintas lalu.
          Anak saya mengangguk. Dia tahu saya bukan pengemar novel popular.
          "Ooo...tengok pada covernya ingatkan novel-novel terbitan penerbit X...."
          Contoh klasik untuk peribahasa Inggeris, 'don't judge a book by it's cover'!

~ Oktober - November 2013 ~





Saturday, July 20, 2013

Rindu


Entah kenapa, selepas subuh saya terhimbau oleh ingatan lalu, ketika anak-anak masih kecil dan berebut perhatian. Saya tidak mampu memberikan mereka kemewahan berbelanja - keperluan sentiasa mengatasi keinginan. Walaupun keinginan sering juga dipenuhi, tetapi tentu sahaja dengan usaha. Mungkin kadang-kadang oleh pencapaian tertentu atau kerap juga usaha mereka menabung yang kami genapkan di mana perlu.

Saya ibu yang kadang-kadang dikawal oleh kebimbangan yang agak berlebihan. Sewaktu anak-anak dalam usia sekolah rendah saya cukup risau untuk melepaskan mereka menyertai rombongan sekolah, lebih-lebih lagi jika bermalam. Sehingga pernah anak saya mengumpul wang untuk bayaran rombongan. Harapannya agar saya tidak sampai hati untuk menghalangnya! Dan perbuatannya sedang mengira jumlah wang yang dikumpul, dirakam pula oleh si kakak dengan lakaran!

Waktu melayah - rasanya begitu cepat. Mereka sudah melangkahi lawang untuk memenuhi tuntutan kehidupan. Untuk beberapa tahun pada hujung minggu kami ke sana ke mari menjenguk anak-anak di asrama IPT, dan tahun lepas, seorang demi seorang melangkahi lawang untuk memenuhi tuntutan pengajian dan alam pekerjaan. Ya, pada Aidil Fitri lepas kami tidak disertai oleh anak ke tiga yang berangkat ke Amerika beberapa hari sebelum hari raya. Disusuli pula adiknya tiga minggu kemudian. Aidil Adha kami kekurangan ahli lagi kerana si sulung baru sahaja melapor diri bertugas di Sarawak. Hampir serentak yang nombor dua juga mendapat pekerjaan.

Saya lalu teringat kepada arwah kedua orang tua. Saya sedang melalui tempoh yang mereka pernah lalui. Sebuah demi sebuah bilik di rumah agam mereka kosong kerana anak-anak harus berjauhan. Oh! beginilah rupanya rindu mereka!

Syukurlah, dengan segala kemajuan teknologi komunikasi menjadi pantas. Tetapi skyppe tetap tidak boleh menyamai kahadiran anak-anak di sisi! Alhamdulillah, sesudah hari raya dan beberapa percutian yang kekurangan ahli, beberapa hari lagi kami akan berkumpul sebagai sebuah keluarga lengkap!

Tuesday, June 11, 2013

Ke Ho Chi Minh City

Vietnam, kini sinonim sebagai pusat membeli belah bagi rakyat Malaysia. Barangkali sudah mengatasi Bandong. Jadi apabila kawan-kawan mengajak saya ikut serta trip ke Vietnam, pertanyaan pertama saya ajukan adalah 'sight seeing or shopping?'

"sight-seeing la...shopping comes later!"

Saya sertai trip tersebut setelah meneliti itinerinya. Aktiviti membeli-belah tidak termasuk dalam senarai. Hal itu boleh dilakukan secara sendiri-sendiri setelah selesai lawatan ke tempat-tempat yang ditawarkan. Membeli-belah tidak perlulah menjadi agenda utama. Berjalan-jalan, melihat-lihat, merasa-rasa tempat asing tentu sahaja lebih menarik. Tentunya saya lebih sebagai pelancong daripada pengembara. Saya fikir saya tidak berbakat pun sebagai pengembara! Saya cuba menjadi ringkas, tetapi ternyata tidaklah seringkas kawan-kawan yang lain. Losyen tanganpun saya tidak boleh tinggalkan!


Sungguhpun demikian, apabila balik, beg saya kekal ringan kerana saya tidak 'gila' membeli-belah, walaupn murah -  malah boleh pula meminjamkan beg saya kepada rakan yang terlebih had berat bagej! Saya lebih menyenangi kraf tangannya, walaupun hanya membeli yang kecil-kecil sahaja sebagai cendera mata untuk teman-teman. Saya menahan diri daripada membeli kraf yang berat walaupun cantik. Rumah saya kecil, tidak perlulah saya menambahkan semak dengan mempamerkan perhiasan!


Telekong, baju kurung, kain kapas, beg kulit, dan kasut sukan; adalah pilihan kaki shopping.

Saya lebih enak menikmati suasana di tempat asing. Bertuah juga kerana sempat menikmati pertunjukan water puppet di sebuah panggung yang kelihatan begitu sederhana (Hanya seorang rakan sahaja yang menyertai saya untuk aktiviti ini). Malang sekali kamera saya kehabisan bateri ketika itu.


Saya tertarik kepada taman awam yang agak banyak di tengah-tengah kota. Pokok-pokok tua tidak ditebang, malah berganding dengan tumbuh-tumbuhan yang ditanam secara terancang untuk membentuk lanskap. Selain taman awam, tugu juga boleh dilihat di banyak tempat di ibu kotanya dan di tempat-tempat tumpuan pelancong.

Berdua dengan rakan yang ikut menyaksikan water puppet show, kami menjelajahi bandar untuk mencari kedai buku. Tetapi tidak ketemu! Bukan rezeki kami - kami ternampak sebuah kedai buku yang besar sewaktu berada di dalam bas!


Mekong adalah nadi bumi ini. Tidak lengkap kalau ke Vietnam jika tidak mengunjungi Mekong. 
Mekong pada saya tidak sekadar  menikmati pemandangan daripada sampannya.



Mekong membawa saya kepada sajak A Latiff Mohidin yang saya akrabi sejak sekian lama.....Dan itulah kesan yang lebih berbekas berbanding dengan terowong Chu Chi, Muzium Perang, dan bangunan-bangunan dengan seni bina gaya Peranchis tinggalan penjajah. 

Thursday, May 30, 2013

Menikmati Catan


Catan berbicara dengan warna. 
Puisi berbicara dengan kata. 
Catan adalah dunia kata dengan warna. 
Puisi adalah dunia warna dengan kata

Maka itu tidak hairan 
jika 
pemuisi mengakrabi warna 
dan pelukis menyenangi kata. 


Saya bangga andai catan  terus dijadikan penghias kulit majalah, lebih-lebih lagi majalah seperti Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Untuk menikmati catan makanya kita harus menghormati karya itu sendiri. 
Dan saya fikir penikmatan visual agak terganggu jika catan dihadirkan dengan tempelan huruf-huruf pada wajahnya. 

Bukankah lebih baik catan itu itu dibiarkan dalam bingkai tak terusik seperti yang dilakukan pada tiga naskah majalah di sebelah kiri? (rujuk foto iringan di atas)

Kecualilah jika yang dikatakan 'catan' itu hanyalah tempekan/tempelan/percikan/lontaran warna yang tiba-tiba diperakui sebagai catan.....

Ya, saya berharap agar catan (dan sebarang karya visual yang lain) terus dimanfaatkan sebagai penghias kulit majalah atau buku, dalam keadaan yang tidak terganggu dengan tindanan teks.

Pengkarya yang diabadikan karyanya pada majalah dalam foto di atas:
Bermula dari paling kiri bawah:

  •  Mastura Abdul Rahman - House of Flwer, House of Harmony (Dewan Sastera Disember 2007)
  •  A Latiff Mohidin - Pago-pago (Dewan Budaya Januari 2013)
  •  Jalaini Abu Hassan - Teratai dan Sarang Burung Tempua (Dewan Sastera Februari 20130
  •  Rafiee Abd Ghani - Still life in Red (DS Dewan Sastera Mac 2013)
  •  Awang Damit - Intipati Budaya (DS Dewan Sastera Mei 2013) 



Tuesday, May 7, 2013

Cikgu Shahnon


Saya membaca Ranjau Sepanjang Jalan sewaktu saya berada dalam darjah enam. Rasa-rasanya demikianlah perkenalan pertama dengan sasterawan ini.

Apabila saya mendaftar kursus Rancangan Sijil Penulisan Kreatif di USM, dua puluh tahun selepas 'perkenalan' itu; saya menjadi sangat teruja menghadiri kelas pertama dengan beliau. Dan sewaktu beliau memberi kuliah, saya tidak dapat menahan diri daripada melakar potret beliau pada buku catatan saya. Kelas tutorial itu kecil sahaja, saya pula duduk di barisan hadapan; saya tahu dia perasan apa yang saya buat, tapi saya tidak dapat berhenti. Ya, saya tidak ada sebarang catatan untuk kelas pertama itu!

Menatap kulit buku yang baru sahaja saya peroleh ini, tiba-tiba sahaja ada rindu yang meruntun pada cikgu saya ini. Semoga beliau dalam peliharaanNya.

Sunday, March 31, 2013

Serpihan Kenangan

Pulang ke kampung bererti mengutip serpihan kenangan dan kerinduan. Mengenang kesayuan pada almarhum ayah bonda. Kenangan pada zaman anak kecil meniti usia remaja, kerinduan pada masakan istimewa yang tidak terdapat di daerah lain, juga meratapi kehilangan wajah asal kampung yang lebih saya mesrai daripada wajah yang ditatap kini.

Sebahagian kenangan pula seperti tidak sudi untuk dilayani. Rumah pusaka yang asal, yang kini sudah disewakan, yang punya banyak ingatan manis, tidak mampu untuk dikenang-kenang lagi. Saya harus akur apabila emak hendak mendirikan rumah lain setelah ayah meninggal. - rumah yang lama terlalu besar untuk dia diami sendirian. Saya pulang ke rumah baru arwah emak yang kini menjadi milik abang, tetapi hal itu tidaklah menjadi kejanggalan. Abang masih menyimpan sebahagian yang kami miliki di rumah pusaka yang asal. Dan paling istimewa, abang masih mempamerkan hasil kerja saya sewaktu bergelar pelajar seni halus.


Monday, March 18, 2013

Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita


Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk berkenal-kenalan dengan penulis-penulis yang kebanyakan sudah saya tahu dan baca karyanya. Selalu terasa diri ini kerdil bila berada dalam majlis-majlis sastera - mungkin saya tidak punya keyakinan diri, atau mungkin juga kerana saya bimbang dengan label penulis. Ya, saya tidak konsisten, dan inilah puncanya kebimbangan itu.


 Majlis Pelancaran 10 Buku Penulis Wanita - 18 mac 2013