Thursday, January 30, 2014

Kanvas dan Fail


Hah! Fail dan kanvas! Ini pertentangan yang sungguh hebat! 

Antara fail-fail yang membosankan tetapi harus dipikul dengan tanggung jawab dengan kanvas besar yang membuakkan semangat.

Sempena cuti tahun baru Cina yang berangkai dengan hujung minggu, saya mengusung ke rumah fail-fail yang perlu dibereskan. Jika pada hari persekolahan memang sukar untuk mencari waktu untuk kerja-kerja begini. Dan pada hari yang sama juga kanvas yang saya tempah khas beberapa hari lepas dihantar ke rumah! Saya sudah lama tidak berkarya dengan bidang kanvas yang besar kerana ruang kerja yang sempit (dan semakin sempit). Oleh itu saya teruja sungguh dengan saiz baru ini. Tetapi tentu sekali saya harus menyiapkan fail-fail pengurusan yang sudah lama saya lengah-lengahkan. Sejak pelaksanaan SPSK, saya menjadi 'bodoh' dengan jawatan saya! Barangkali jika aspek pengurusan fail seperti ini dilaksanakan sejak dahulu, tentu dua helai sijil APC yang pernah diterima tidak menjadi milik saya!

Fail-fail dan segala kandungan yang entah diteliti entah tidak oleh pihak atasan ini sungguh memenatkan. Saya bukan orang yang boleh berkerja dengan kertas. Kepenatan ini membuat saya kerap mengerling pada kanvas besar dan tiub akrilik. Ya Allah, saya mohon kekuatan!


Sunday, January 26, 2014

Sesayup Masa


Seorang kawan editor menemui buku ini di USM. Saya lalu pinta dibelikan untuk saya juga. Alhamdulillah. Buku ini akhirnya saya dakap.

Sewaktu saya dalam tingkatan tiga (1979), saya membaca buku Sesayup Jalan di perpustakaan sekolah. Saya temui juga Dalam Pelarian Zaihasra dan Nyanyian Malam Siti Zainon Ismail. Saya sudah 'gila' membaca puisi lama sebelumnya, dan apabila buku-buku ini saya temui, maka hampir lengkaplah kegilaan itu! Saya katakan hampir lengkap kerana buku-buku puisi ini dan yang lainnya, bukan milik saya sendiri. Di Kota Bharu, sebuah kedai buku yang besarpun, sukar hendak ditemui buku puisi, kecuali yang dijadikan teks sekolah.

Dalam Pelarian Zaihasra mengasyikkan saya kerana sajak-sajaknya diselangi dengan foto penyairnya. Tentu lebih enak membaca sajak seseorang yang kita kenal (walaupun sekadar dari jauh!), bukan?!
Nyanyian Malam saya miliki kerana sepupu saya meninggalkan buku itu di rumah saya. Dalam Pelarian Satu saya dapatkan di DBP bertahun-tahun kemudian.

Saya temui buku-buku puisi Zurinah yang lain, tapi tidak Sesayup Jalan. Dan masapun juga semakin sayup!

Barangkali koleksi pertama saya adalah Dari Kertas Catatan Tengah Malam (Baha Zain) dan Azalea (Sutan Sharil Lembang). Kedua-duanya buku itu baru saja dibeli oleh seorang kawan yang tiba-tiba berubah fikiran. Dia menawarkan kepada saya. Oleh sebab sudah ada kegilaan itu, maka tawaran itu saya ambil. Kebetulan ayah baru saja memberi saya sejumlah wang kerana ketika itu ada pesta buku di Kota Bharu.

Waktu itu saya berazam hendak memiliki kesemua buku penyair yang saya minati. Sedikit demi sedikit koleksi saya bertambah. Tetapi tahun-tahun selepasnya ada waktu-waktu yang sukar lalu memaksa saya menjadi selektif. Ah! Sehingga kinipun azam itu masih ada!

Saya juga baru saja membeli buku-buku puisi yang memenangi Sayembara Penulisan Novel, Cerpen, dan Puisi anjuran ITBM-PENA-BH. Itupun tidak lengkap. Masih ada yang ingin didapatkan. Barangkali di PBAKL nanti.

Azam terkini, menyimpan sedikit wang untuk PBAKL!

Saturday, January 4, 2014

Alangkah....



Saya tidak berada di sekolah pada hari pertama persekolahan. Tugasan rasmi menuntut saya berada di tempat lain. Dunia FB, meski tidak berada di sekolah, saya dapat ikuti jua perjalanan hari pertama di sekolah saya bertugas. Melalui FB juga saya mengetahui beberapa kes murid tahun satu yang terlekat kepala pada palang kerusi. Dalam saya berharap agar guru tidak dipersalahkan, terbaca kenyataan seseorang yang mengatakan mungkin sebab guru asyik melayani candy crush! Walaupun saya percaya itu hanya komen jenaka, tertoreh jua hati ini. Alangkah bodohnya kami kalau melayani candy crush pada saat yang cukup sibuk itu. Dan alangkah bangangnya (erghhh! saya benci perkataan ini!) si pelontar komen ini kerana hendak berjenaka tidak kena tempat!

Selain pengurusan kelas, kesibukan awal tahun biasanya didahului dengan melengkapkan buku rekod mengajar kami. Seminggu atau dua minggu sebelum persekolahan bermula, kami sudahpun sibuk menyiapkan perancangan tugasan yang kami terima semasa mesyuarat tahunan sebelum penggal persekolahan bermula. Saya kerap terfikir alangkah baiknya jika pihak pentadbiran sekolah dapat menetapkan tugasan tahun berikutnya sebaik cuti bermula supaya kami punya masa yang panjang dan tidak terkejar-kejar untuk menyiapkan serba serbi dalam masa dua minggu.

Dalam zaman segala-galanya memerlukan komputer, alangkah baiknya jika KPM menjadi lebih canggih. Kalau kami guru boleh menggunakan komputer untuk mencatat rekod mengajar, mengapa tidak KPM menyediakan buku rekod mengajar yang khusus untuk hal itu? Tidaklah kami harus menampal catatan rekod mengajar yang kami buat menggunakan komputer ke dalam buku konvensional, yang apabila tiba ke pertengahan tahun ketebalannya menjadi berganda.

Saya tidak mengeluh. Cuma berharap beberapa hal yang remeh tidak terus-menerus mencuri waktu. Zaman serba pantas ini, kami guru dikehendaki bergerak pantas. Alangkah baiknya kalau server KPM yang lambat dan sering kali tergendala itu pada tahun ini menjadi sepantas FB!

Wednesday, January 1, 2014

Warna


Warna baru untuk tahun mendatang? 

Oh! Bukan untuk bicara tentang kisah-kisah dalam tahun masihi yang menutup pintunya, tetapi hanya gesaan hati yang meronta untuk mencalit warna!

Biarpun dihambat oleh tugasan rasmi, saya tidak dapat menghindar gerak hati. Tugasan rasmi tidak akan selesai selagi saya makan gaji, maka turuti saja rasa hati. Ya, saya menebar warna sebebas kehendak, dan melupakan keutamaan yang mendesak!







Monday, December 23, 2013

Gubahan Hantaran


                                                           

















Saya menghasilkan gubahan hanya apabila diperlukan. Gubahan adalah sejenis kraf dan kepuasannya tidak sama dengan penghasilan catan. Ya, tentu saja lebih puas bermain warna, namun keseronokan menghasilkan kraf tentunya ada juga.

Untuk anakanda, tentu saja lebih puas jika dibuat sendiri.

Ini beberapa gubahan hantaran untuk yang tersayang.



Bunga selalu hadir untuk menyerikan majlis. Saya suka sesuatu yang ringkas, tidak terlalu berhias - dan sebenarnya lebih gemar gubahan bunga hidup. Tetapi waktu dan kos membuat saya memikirkan pilihan lain. Ya, bunga artifisial kurang artistik....

Saya memilih frangipani merah (Oh! Saya diberitahu ini adalah pumera!). Kuntumannya saya biarkan terapung dalam vas kaca. Barangkali gubahan ini boleh membangkitkan kesegaran!


Fasa Kehidupan


Kehidupan berlangsung mengikut fasa-fasanya. Saya tiba pada saat saya akan melepaskan permata hati saya untuk berkongsi dengan bakal keluarga baru....

Monday, December 16, 2013

Kepulangan

Saya membuka FB lewat petang dan rupa-rupanya terlewat 10 jam menerima berita bahawa guru yang disayangi ramai murid, telah berpulang. Ralat sekali kerana pada detik terakhirnya beliau rupa-rupanya berada di rumah anaknya yang hanya berjarak 20 minit berkereta daripada rumah saya. Ralat juga kerana sejak tahun lepas, saya dan dua, tiga orang rakan, menyebut-nyebut dan berkira-kira hendak menziarahi beliau yang tinggal dengan anaknya di Ampang. Saya teringin sekali menghadiahi antologi saya padanya. Demikianlah, waktu tidak menunggu.

Beliau Mr Mehboob Mahyidin, yang kami panggil Sir Bob, adalah guru Bahasa Inggeris darjah enam. Keperibadiannya meninggalkan bekas di hati murid-muridnya. Secara peribadi, saya terkesan kerana dia pernah memuji pantun yang saya karangi. Waktu itu saya berada dalam darjah lima - belum belajar dengannya, dan tidak sabar untuk segera ke darjah enam kerana ramai rakan senior yang memuji-muji beliau sebagai guru yang baik. Sebagai guru kelas saya setahun kemudiannya, beliau jugalah yang sering memilih lukisan saya untuk ditampal pada papan kenyataan kelas. 

Ajal, maut, jodoh, pertemuan - di tangan Yang Maha Esa. JanjiNya yang pasti, sesaat tidak menanti. Al Fatihah untuk pendidik sejati.

Saturday, November 30, 2013

Menjadi Guru

Arwah orang tua saya hendak sangat anak-anaknya menjadi guru. Kata arwah emak, eloklah orang perempuan menjadi guru. Kerja separuh hari, waktu selebihnya boleh bersama anak-anak. Benar, sewaktu mula-mula menjadi guru, saya sudah berada di rumah menjelang jam 2 petang, kecuali sekali atau dua kali seminggu kerana kegiatan ko kurikulum atau mesyuarat. Dan di rumah saya gunakan sepenuhnya untuk waktu berkualiti bersama anak-anak. 

Kini tidak lagi. Mungkin guru pada masa kini boleh juga balik ke rumah sebaik tamat waktu persekolahan, tetapi balik untuk mengadap komputer. Zaman canggih - segala-galanya perlu key-in. Tapi malangnya server KPM sangat lembap, sehingga guru selalu sahaja menyumpah-nyumpah.

Kalau dulu guru-guru merangka program dan melaksanakannya begitu sahaja tanpa perlu sebarang dokumentasi. Tanpa perlu ada  senarai perancangan yang begitu cantik tercetak, kerana yang dilihat bukan proses tetapi hasilnya.

Kini semua perancangan perlu ada hitam putih dalam kerangka yang tersedia. Memikirkan program untuk memenuhi kerangka rupa-rupanya kerja yang memakan masa. Semakin banyak kita menggunakan komputer rupa-rupanya semakin banyak kertas yang perlu diisi di dalam berbagai-bagai fail. Segala proses sesebuah program harus jelas dapat dilihat di atas kertas. Ada rakan-rakan yang sudah mengalami stress sepanjang cuti hujung tahun ini. Manakan tidak, kalau kerja pengawasan SPM sedang berjalan, dalam masa yang sama perlu menyiapkan pelan strategik, KEBAT, FROG, dan kerja-kerja berpangkalkan huruf  'e' yang mengjengkelkan itu! 

Menjadi guru waktu kini tidak cukup jika sekadar atas dasar keseronokan menyampaikan ilmu.

Tiba-tiba saya menjadi cemburu kepada rakan-rakan guru yang sudah dan akan pencen tidak lama lagi!!!


Friday, November 29, 2013

Putih

Kami menerimanya sebagai ahli baru!

Si Keini bunting. Sudah sarat nampaknya. Tapi dia datang dan pergi. Adatlah. Dia memberi ruang unuk anaknya, A B, yang sudah beranak pinak di rumah kami. Pada kelahiran yang lepas, kedua-duanya beranak pada jarak waktu yang tidak jauh. Dan bagai berebut tempat. Dia pernah cuba menghalau A B.

Sesudah anak A B besar sedikit, Keini pula melahirkan anaknya di rumah kami. Malangnya, anak A B tidak panjang usia seperti yang lepas-lepas. Hanya seekor yang bertahan, Guli; sudah besarpun. Keini pula, setelah anak-anaknya besar sedikit, mengalih anak-anaknya entah ke mana.Hal ini adalah kebiasaannya. Apabila anak-anak lepas susu, sesekali dia akan membawa anak-anaknya 'bertandang' ke rumah kami. Bagai mahu memperkenalkan mereka kepada saudara-mara!

Yang terbaru, Keini dan A B bunting serentak lagi. Belum pun nampak sarat A B sudah melahirkan, tapi ketiga-tiganya mati selepas satu atau dua hari. Kami syak kelahiran yang tidak cukup bulan. Dua tiga hari ini, si Keini pula sudah tidak kelihatan. Telahan saya dia sudah menemui tempat baru untuk melahirkan anak.

Waktu ini muncul seekor anak kucing yang sudah lepas susu. Suami menemuinya di atas roda kereta suatu pagi. Barangkali dibuang orang. Kami namakannya putih, seperti warnanya. Matanya berwarna biru jernih. Jinak dan comel. 

Putih terpaksa diletakkan ke dalam sangkar kerana A B dan Guli enggan menerima kehadiran ahli baru. Sangkarnya pula diletakkan di dalam bilik khas saya - ruang saya menempatkan buku-buku, juga melukis. sesekali. Saya kerapnya membaca atau melukis sebelum masuk waktu subuh di sini. Tapi kehadiran Putih melekakan saya daripada rutin ini. Saya berharap hal ini cuma sementara. A B dan Guli harus diajar menerima Putih!