Wednesday, May 26, 2010

Menjengah daerah sendiri


Tahun lepas Encik Din kita berjubah Arab, Ustazah Sharifah pula bagai dramatis Korea. Tahun ini kembali ke daerah sendiri.

Kalau nak tahu, inilah gaya pakcik-pakcik Kelantan yang saya pernah lihat sewaktu zaman saya kanak-kanak dahulu.

"Opss baik-baik Din, pandai ke kayuh basikal tua tu? Takut pulak jatuh Kak Pah kita tu. Berterabur pulak bunga-bunga di dalam bakulnya......"




Man dan Man...
Seronoknya dapat naik basikal!!













Reen dengan gaya Puteri Perak.

Guru paling vogue di SMKBJ....
Gee sedang menyihir hadirin. Semua terpukau oleh kehadirannya...


Inilah gaya Cik Siti Wan Kembang - berkemban jantan, berpending emas di pinggang. Bersarung songket penuh, selendang panjang menutupi bahu.
Hasni tampil lengkap dengan dokoh dan berkeris.


Nik Salida tak sempat nak posing. Tugas Floor manager, sibuklah dia menyemak senarai susunan barisan guru.


Bijak betul ide Azka. Orang lain berpeluh kepanasan dek pakaian, dia santai dengan T shirt pagoda - gaya pelaut Pantai Timur. Selepas ini untuk acara permainan, dia tidak perlu berganti pakaian seperti cikgu-cikgu lain!


Berbagai negeri, berbagai etnik.
Nani berselempang, Ina denga pakaian suku Sabah, Ani gaya puteri Perak, Wan berkebaya labuh Selangor, dan Suhaila berkurung Riau-Pahang.

Add Image
Tahun lepas, Mil dengan gaya Queen Victoria menang pakaian terbaik. Tahun ini pun memukau pandangan. Ishraf tetap tak kalah gaya. Masih ingat, tahun lepas dia bergaya Jawa lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki.


Kebaya labuh, Minangkabau, Kebaya nyonya, dan gaya penari Petenun, sejenis tarian yang berasal dari Bugis.


Guru-guru SMKBJ memang tak kalah gaya!
Kalau tahun lepas kita lihat mereka bergaya Korea, Jepun, Inggeris, Bollywood, China, Jawa, Arab, dan juga gaya tempatan; tahun ini mereka beria-ia mencari pakaian etnik lama yang jarang-jarang dapat dilihat. Harap-harap dalam keriuhan tepukan para murid itu, terhantar juga sedikit apresiasi tentang keindahan seni busana tradisi.

Hmm....untuk tema tahun hadapan, sudah terdengar rakan-rakan menyuarakan beberapa ide! Maklumlah setahun sekali bergembira menyambut Hari Guru.
















Sunday, May 9, 2010

Memaknai Luka

Saya tidak mahu mengingati sejarah luka. Tetapi apabila terjumpa kertas yang tertaip sajak ini antara buku-buku, terhimbaulah latar peristiwa yang memunculkan baris demi baris kata ini. Sajak ini adalah gurisan pedih oleh peristiwa di Bosnia beberapa waktu dahulu. Saya tidak ingat apakah sudah tersiar dalam mana-mana penerbitan, atau apakah hanya secebis kertas yang memberi isyarat bahawa saya ada menulis sajak...

Memaknai Luka
Semalam
Lelah berkisah seenaknya takala mengalir ke urat-urat nadi dan menghimpitmu dengan selaut kata yang tidak dapat kaubaca. Seingatmu mimpi buruk mencebis sisa-sisa pagi dan kau terbangun ngeri.
Keringatmu menjadi sungai dan kauikut hanyut mengeja kekosongan yang mengalir bersama tanah bumimu yang kehilangan nama.
Itulah titik mula untuk kaukabarkan bahawa merah darah bukan tanda pengikat keakraban manusia . Ia warna luka yang menyebar
percikannya ke serata benua
dan kami menghantar nyanyi pilu di celah ruang udara yang kelabu.

Hari ini
(setelah mereka bercaturan antara dolak-dalik kuasa
sedang kau bermusim sudah demikian sengsara)
kauharus cuba memaknai nama bumi yang tereja oleh cakar dan duka
antara serpih puing dan debu kemusnahan,
tapi sejarah juga telah mengarca bukti
ada kuasa tumbuh daripada kehancuran
tapi tangan perkasa tidak muncul oleh jiwa yang keraguan.

Thursday, April 29, 2010

Sewaktu Menunggu....

Di ruang menunggu
kita menyimpul resah dan ragu
mengiring langkah waktu
yang berangkat
senyap dan lambat.

Di ruang menunggu
kita bagai pesalah
terhukum oleh lelah gelisah.

Wajah-wajah yang menanti
menabir warna pada riak sendiri
larut dalam peta rasa
tak terbaca.

Di ruang ini
harap dan debar
bergetaran menggiring doa.

Anggerik Mall, Shah Alam
28 April 2010.

Saturday, April 10, 2010

Sajak ini aku tulis untuk.....

Semua orang kenal Sasterawan Negara A Samad Said. Rasa saya, rakyat Malaysia yang mengatakan tidak kenal atau tidak pernah dengar nama beliau, bolehlah kita campak mereka itu ke laut saja!

Semasa beliau menerima Anugerah Ijazah Persuratan, saya mencoretkan ke dalam buku catatan ungkapan ini;

Sepercik tinta menyebar aksara
Cinta tersulam ke nadi anak bangsa

mengungkap selaksa erti

menafasi detak seni.

(28.08.03)

Ungkapan selintas ini akhirnya menjadi puisi, dengan baris pertamanya menjadi judul. Saya ada menghantarnya ke dua, tiga penerbitan, tetapi tidak tersiar. Maka saya menyimpannya sebagai milik peribadi.

Sepercik Tinta Menyebar Aksara

Duka terpenjara di celah-celah peristiwa
kala kau menginjak usia pada zaman penuh luka
di laman derita
kau mengecap hangat ribaan bonda
cintanya berkolam sejuk seperti air telaga
yang menjirusimu saban hari
dengan janji cerita demi cerita
di laman derita
kau begitu lekas menjadi dewasa
pada usia kau masih perlu bermanja
telah kau tafsiri bobroknya makna kehidupan
memahami nyawa manusia harganya tanpa taruhan
bila tetanggamu yang semalamnya enak berjenaka
menyambut pagi dengan wajah tidak dikenali
semuanya berkecai oleh ledakan bom dinihari
di laman derita itu
tertebar kabut mimpi
mengapung seperti hari depan yang tak pasti.

Itulah ledakan zaman sengsara
menumbuh anak yang mengurung percakapan
ke lembah fikir yang matamg.
Dan kauheret debu waktu lalu
pada tapak sepatu
memesrai dunia buku-buku
mengunyah rahsia kehidupan dengan deretan aksara
melontar resah dengan lunak bahasa
mengungkap kebijaksanaan lewat bicara pena.

Kau tidak lelah
bila musim telah memunggah
usia lalu ke pelabuhan baru
bunga pengalaman matang pada ranting kehidupan
sepercik tintamu mengeja makna
tersebar cintanya ke jiwa anak bangsa
sepercik tintamu mengungkap selaksa erti
berdetak menafasi nadi seni.

Saya teringatkan sajak di atas apabila membaca coretan blog tentang A Samad Said, oleh seorang penulis yang saya minati. Dan sebagai peminat tokoh ini, dengan cara saya, saya juga ingin mengucapkan;
Selamat ulang tahun, Pak Samad!

****
Saya juga menulis sajak untuk suami. Sajak berikut tidak pernah saya tunjukkan kepadanya. Sempena ulang tahunnya, esok, saya paparkan sajak itu di sini;

Warna Semara

Saat rembulan menyebar serpih sepi
ada yang menyusup ke dalam kenangan
himpunan pengalaman lewat musim berganti
bagai tenang kapal di pelabuhan singgahan
sesudah dilambung gelombang lautan demi lautan.

kukuh cinta kita memetri janji
meski bertahun kupelajari
ikrar cinta yang ada kalanya sulit untuk kufahami
debur kehidupan membadai di jiwa
tapi warna mimpi kita tetap sama.
Bilah pengalaman yang kauanyam
mendindingi ruang erti
aku belajar memahami
himpun bicara pada pada garis dan warna
raung yang terkumpul pada hujung berusmu
pedihnya hinggap di mataku.
Serakan warna pada kanvasmu
perciknya sesekali menodai pakaian kesabaranku
tercabarkah setia
kala nasib terjaja di jari pengumpul karya
gelodak jiwa tumpahnya ke cangkir cinta jua!

Saat rembulan mendaki langit perkasihan
kutenun sutera kata menyulami purnama
biarpun pengertian terbibit dari waktu-waktu yang jerih
rasa terbaja oleh detik dan masa
menyihir kerikil perjalanan menjadi permata.

Di bawah langit kelabu
kita merengkuh lengkung pelangi, mengarai mimpi
mahar perkahwinan melewati
lenggok garis dan calit warna
kudengar desah nafas seniman
membisik azimat semara!


Thursday, March 18, 2010

Sajak dan kenangan

Sajak di atas tersiar dalam majalah Jelita Okt 2002. Saya agak ralat kerana dalam bait ke tiga, satu baris (baris kedua) telah hilang!

Bait ke tiga seharusnya begini:

Barangkali teduh wajahmu
pada titik penghabisan
kau pastinya....

Saya bertemu dengan tokoh ini sekali dua saja, tapi berita tentang kepulangannya menyentap suatu perasaan yang sukar saya gambarkan ketika itu. Hanya setelah meneliti kembali sajak ini sebelum menghantarnya ke penerbitan, barulah saya mula ternampak beberapa hal yang memungkinkan kata demi kata terangkai dan teralir membentuk sajak.

Beliau bapa sahabat saya.
Sahabat saya berada beribu batu di seberang lautan semasa pemergiannya.
Beliau bukan sebarangan - kerja tangannya mendapat pengiktirafan.

Saya juga telah kehilangan bapa, dan kehilangan itu terjadi pada saat saya langsung tidak menduga untuk mempersiapkan diri bagi menghadapinya. Saya harus meredai bahawa saya tidak dapat menatapnya buat kali terakhir. Bapa meninggal menjelang subuh (rupa-rupanya hal itulah yang menyebabkan saya terjaga dan berasa gelisah tidak menentu). Telefon di rumah rosak, lalu saya mendapat berita agak lewat. Memburukkan keadaan lagi saya hanya memperoleh penerbangan jam enam petang. Itulah yang dikatakan ketentuan Ilahi. Dan menjadi anak yang paling manja menjadikan saya sukar untuk memujuk diri agar menjadi kuat. Arwah ibu malah kelihatan jauh lebih kuat daripada saya.

Bapa sahabat saya ini seorang pengukir (saya seharusnya meletakkan "Si Pengukir" sebagai tajuk sajak ini!). Seorang bapa saudara saya pernah menceritakan yang arwah datuk saya adalah tukang ukir. Bezanya datuk saya adalah tukang ukir kampung yang tidak mendapat apa-apa anugerah.

Datuk saya meninggal sewaktu saya dalam darjah dua. Daripada nenek (juga sudah meninggal) saya mendapat tahu bahawa datuk saya sering dijemput untuk melagukan syair. Kata nenek lagi kalau beliau berlagu syair, babak sedihnya, walaupun sudah didengar berkali-kali tetap meruntun-runtun air mata untuk mengalir.

Saya cuma mengingati beliau sebagai tukang buat perahu. Perahu yang sedang diberinya sentuhan akhir adalah tempat saya, adik dan sepupu, bermain - beraksi mendayung dan menjala.

Saya juga masih ingat bagaimana marahnya datuk kerana termakan buah melaka (di Kelantan kami menyebutnya sebagai ondeh-ondeh) yang dibubuh garam dan bukan gula melaka (gula manisan)! Rupa-rupanya seorang bapa saudara sengaja mengisi garam ke dalam ondeh-ondeh untuk mengenakan abang saya!

Itulah sejalur kenangan terhadap mereka yang telah pergi.
Al Fatihah untuk mereka yang telah memberikan kita kebahagiaan semasa hayat masih ada.

Wednesday, March 17, 2010

Saat itu akan Tiba

Hari terakhir peperiksaan SPM 2009.
Gembiranya saat peperiksaan tiba ke hari akhirnya! Hari-hari persekolahan yang penuh kenangan akan ditinggalkan . Akan berjauhan dengan rakan-rakan yang sama-sama menekuni pelajaran dan teman senda gurauan.


Penerima Anugerah Emas Kokurikulum SMK Puncak Alam.

Pertandingan melukis, kuiz, ekspo sc dan teknologi semua disertainya. Dan yang manisnya dalam pertandingan sc dan teknologi di K Trengganu dia bertemu dengan anak sepupunya yang mewakili negeri Kedah! Kecil saja dunia ini!

Penglibatan tertingginya adalah penyertaannya ke scouts/girl guides jamboree di Songkhla.

Adibah sudahpun menerima keputusan SPMnya. Alhamdulillah. Pencapaiannya baik. Selpas ini, Insyaallah, dia pun akan mengikuti jejak kedua-dua kakaknya.

............

Mudaku menyerah pada tahun demi tahun yang berziarah
masa sudah memesrai sejarah peribadi
ada yang tertimbus oleh lapis demi lapis ingatan berganti

Masa sudahku mendatangimu
sewaktu aku melewati lawang pengalaman pertama
menguak cabaran di laut duga
kini berangkatlah puteri-puteriku
dari laman asuhan bonda
ke segara tak terjangka.

Kuiringmu dengan mata berkaca
ingatlah, kembang budi yang kita kenali
mekar-segarlah di laman hati.


Sunday, February 28, 2010

Bicara Tokoh

Majlis Bicara Tokoh : Budayanita Kelahiran Selangor Dr Siti Zainon Ismail, anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan, bertempat di Muzium Alam Shah, Shah Alam, Selangor, pada 24 Februari 2010.

Wanita ini adalah tokoh yang saya kagumi sejak saya berada di bangku sekolah menengah. Saya ikuti tulisan-tulisannya yang tersiar di majalah atau akhbar. Juga memiliki buku-bukunya. Pernah, wang poket cuma RM 50, tetapi berani membeli sebuah bukunya yang ketika itu berharga RM 30(jumlah yang besar untuk seorang pelajar ketika itu)! Ya, beliau penyair dan pelukis, dan dalam masa yang sama gigih menjalankan kajian ke atas segala bentuk kraf dan budaya tradisi Melayu.

Kali pertama saya melihatnya adalah sewaktu beliau ke ITM sebagai penilai luar jemputan. Saya ketika itu mungkin tahun dua atau tahun tiga. Saya tidak berani menegurnya. Malu sebenarnya! Saya cuma melihatnya dari jauh. Wah! Betapa gengsinya! Bercelana dipadankan dengan kemeja kotak-kotak merah-hitam. Tali pinggang lebar (trend waktu itu) dan berantai panjang.

Anak-anak murid saya kebanyakannya tidak cuba untuk mengetahui tentang tokoh-tokoh kebanggaan kita. Mereka membaca karya-karya yang termuat di dalam KOMSAS, tetapi tidak berusaha untuk mengenali pengkaryanya.

Jadi saya sangat gembira apabila memajukan usul membawa murid ke majlis ini, agak ramai yang menyatakan minat untuk turut serta. Saya berpesan juga, sebelum ke majlis pastikan mereka mencari maklumat tentang tokoh ini. Paginya, sebelum bas bergerak, saya bertanya siapa yang ikuti saranan saya. Wah! Bangga saya melihat banyak tangan teracung, mengakui bahawa mereka mencari dan membaca maklumat tentang Dr Siti Zainon Ismail.

Majlis dirasmikan oleh Datuk Dr Hassan Mohamad Ali. Seterusnya dikendalikan oleh Dr Ibrahim Ghaffar. Pembicara jemputan adalah Dr Silfia Hanani dan Rahim Abdullah.

Sempat bergambar buat kenang-kenangan.

Oh! Tidak sangka pula dirakam oleh lensa jurufoto akhbar!
(Gambar diambil daripada Sinar Harian, 25 Februari.)

Monday, February 22, 2010

kerja kursus oh.....

Kerja kursus untuk mata pelajaran Pend Seni Visual SPM (KRSV) sudah bermula walaupun banyak sekolah belum menerima soalannya secara langsung. Cikgu-cikgu cekap - awal-awal mereka sudah layari blog yang berkenaan, dan mendapatkan soalannya. Saya kira saya lembap sikit! Kawan-kawan sudah memulakan kira-kira seminggu sebelum cuti Tahun Baru Cina bermula, manakala saya baru memulakannya pada minggu ini. Sepanjang cuti hujung minggu sebelumnya, saya membuat penilaian ke atas kesemua sembilan tugasan, seterusnya merangka jadual pelaksanaan kerja sebagai panduan murid-murid saya.

Lebih sepuluh tahun dulu, sewaktu mula-mula mengambil tanggung jawab ini, saya disogokkan oleh guru-guru senior - bahawa kerja kursus inilah sumbangan kita sebagai guru untuk memastikan anak didik kita mendapat markah yang baik dalam peperiksaan SPM. Setip kali menghadiri kursus pula, para JU akan mengulangi ayat yang sama, "Inilah cara kita nak tolong anak-anak murid kita, cikgu."

Saya tidak nafikan kebenaran kata-kata itu. Murid saya mendapat C4 bukanlah murid yang pandai melukis pun! Malah ada murid saya yang memperoleh A1, tetapi kebolehan melukisnya boleh dipertikaikan (hal ini walau bagaimanapun kes terpencil - murid itu murid yang bijak dan rajin dan berusaha keras untuk menjadikan kerja kursusnya'tiada cacat cela').

Kebolehan melukis sebenar seseorang murid itu teruji oleh kertas 2, iaitu kertas menggambar / seni halus. Namun adalah tidak adil untuk menilai kertas 2 semata-mata kerana tahap kebolehan seorang murid dengan murid yang lain berbeza. Sebelum ini kertas 2 menjadi kertas pilihan, dan secara rambang saban tahun semakin sedikit bilangan calon yang mendaftar untuk kertas ini. Manakala bilangan yang mendaftar untuk kertas kerja kursus pula kian bertambah. Kini tiada lagi pilihan - ketiga-tiga kertas PSV adalah kertas wajib.

Saya, seperti kebanyakan guru PSV yang lain, memang berusaha keras agar calon kami memperoleh markah yang baik dalam kerja kursus. Bagi pelajar yang semula jadi berbakat, dan berminat; kami memberi bimbingan dan panduan. Bagi calon yang lemah, kami lah yang menyediakan lakaran dan lukisan (ada cikgu yang membuat banyak helai lukisan) supaya calon-calon yang lemah ini boleh tiru dan lebih teruk lagi - menekap! Memang 'tercapai' lah objektif kami hendak membantu calon kami mendapat markah yang baik, atau setidak-tidaknya mengelakkan calon yang lemah dan bermasalah (disiplin) daripada gagal. Maka terselamatlah kami daripada menyediakan jawapan bagi 'sebab-musabab calon xxxx gagal PSV'!

Tak usahlah cerita betapa tension cikgunya dalam memastikan pelajar yang lemah dan bermasalah ini menyiapkan kerja kursus. Hal ini sebenarnya turut dirasai oleh guru-guru Sains dengan PEKAnya, atau guru-guru Kemahiran Hidup, Geografi dan Sejarah dengan bebanan folio masing-masing. Cerita guru 'mengurung' murid yang malas agar folio dapat disiapkan, bukanlah cerita baru. Murid dalam 'kurungan' ini diberi contoh folio atau fail PEKA, dan kerja mereka hanyalah menyalin sahaja agar ada bukti murid ini menyiapkan tugasan!

Nah, kami sudah membantu murid kami, bukan? Mereka kelaparan dan tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan makanan. Maka mereka kami berikan ikan, kerana jika diberi joran mereka tidak tahu bagaimana hendak menggunakannya! Ajari mereka bagaimana hendak menggunakan joran? Tidak, mereka bosan jika begitu caranya....

Thursday, February 18, 2010

Sarapan di manaaaaa

Baru tiba dari kampung. Sudah jenuh tidur dalam perjalanan, sekarang saya pula berjaga. Suami dan anak-anak melayan letih perjalanan dengan nyenyak tidur. Jadi saya sendirian memikirkan sarapan (di kampung tak payah fikir apa hendak dimasak - semuanya sudah siap terhidang. Nasib baik balik hanya sehari, kalau lima hari tentu bertambah 5 kg!)

Di dalam fridge ada ayam cincang. Saya selalu meyediakan ayam atau daging cincang untuk 'waktu kecemasan' - lapar tetapi bukan untuk nasi! Dan harus cepat pula untuk disediakan.

Jadi resipinya - ringkas! Ya, cuma tumis bawang putih, bawang besar dan halia (juga yang saya kerap sediakan dalam kuantiti yang banyak. Disimpan di dalam botol bertutup rapat dalam fridge). Sesudah tumisannya berbau wangi, tambahkan apa-apa serbuk rempah - kari, kurma atau sup, atau saya campur serba sedikit ketiga-tiganya (chef tak bertauliah!). Baru dimasukkan ayam atau daging cincang. Apabila hampir kering airnya, tambahkan garam dan serbuk lada sulah. Sesudah sejuk, masukkan ke dalam bertutup sebelum disimpan di dalam fridge. Gunakan pada 'waktu kecemasan'!

Apabila hendak digunakan, campur mayonis dan keju cheddar, ditambah daun salad, tomato dan timun, cukup syarat menjadi sandwich. Kalau dibakar dalam pembakar roti, dimakan panas-panas, lebih berselera. Atau boleh saja jika menggunakan roti frankfurter - dipotong sisi tanpa putus, dan sumbatkan isinya (ala-ala Subway... gitu!) Sapu sekeliling roti dengan mentega, kemudian bakar di dalam ketuhar. Emmm... enak juga. Tapi oh! Saya kena keluar beli roti sekarang!