Friday, June 3, 2011

Transformasi...

Sudah sebulan tak up date blog... Entri ini pun sudah agak basi!

Tertangguh-tangguh kerana tidak memiliki koleksi gambar sendiri.

Kemudian tertangguh-tangguh lagi kerana beberapa peristiwa yang meruntun hati kita semua.

Tapi untuk catatan peribadi, saya masukkan juga. Gambar-gambar untuk entri blog ini saya 'pinjam' daripada fb kawan-kawan.

Judul entri juga tidak ada kaitan dengan tema hari guru tahun ini, tapi dalam menepati tema pakaian yang ditetapkan Kelab Guru, berlakulah tranformasi yang tidak disangka-sangka!

Tema kami pada tahun lepas - etnik tempatan.

Tema tahun ini fesyen retro mengikut tahun kelahiran.

Guru yang lahir pada tahun 70-an paling ramai, dan fesyen mereka 'pukul habis'!



Hippi sesat mana ni?

Kombinasi 70-an dan rock 80-an.

Yang paling hadapan tu bukan budak sekolah...





Para jejaka kami yang tahun lepas segak tampan berbaju melayu.

Nasib baik ada juga wanita melayu yang santun ayu...

Ina dan As menjadi pengapit ustazah kita yang vogue belaka.

Selepas sambutan Hari Guru, kerja menunggu seperti biasa. Dan dalam kesibukan itu, foto-foto yang dimuat-naik ke laman FB menjadi bahan tawa yang meredakan ketegangan kerja.

Dan sepanjang cuti sekolah ini, rakan-rakan guru bergelut dengan timbunan kertas peperiksaan yang perlu ditanda.

Thursday, April 28, 2011

Kek dan Buku

Hmm....kek keju lapis kiwi....hasil eksperimen yang pada mulanya saya fikir tidak menjadi. Lapisan jelinya lambat sekali membeku. Lalu tidak sempat dihidang kepada suami sebelum dia berangkat ke luar negara (maaf, kanda!).

Sudah lama tidak bereksperimen dengan kek. Sesudah menemui beberapa resepi yang disukai oleh keluarga dan teman-teman, saya sering sahaja mengulangi resepi yang sama. Tetapi baru-baru ini tergerak hati hendak mengubah-suai resepi yang sudah saya mesrai.


Kek keju ini adalah paduan lapisan kek sponge kiwi, dibakar kemudian dilapis diatasnya resepi kek keju Boston, dibakar sekali lagi. Sesudah sejuk dituang adunan kek keju tanpa bakar, dibiar mengeras kemudian disusun potongan buah kiwi lalu dituang lapisan jeli. Aduh... penatnya!

Anak-anak suka, tapi untuk tekak saya terasa agak manis (saya kurangkan gula daripada resepi saya yang memang sudah sedia kurang gulanya). Sedikit manis dan sedikit masam kiwi, bergabung lemak lapisan keju.

Bekas ini pernah saya isikan kek untuk teman yang baik. Ho... ho... dan dia membalas pemberian saya dengan tiga buah buku! Saya tidak mengharapkan sebarang 'balas bekas', tetapi pemberian buku tidak dapat saya tolak! Sukanya!!

Tiga buah buku ini bergabung bersama beberapa buku baru dari Pesta Buku Antarabangsa KL.




Sunday, April 17, 2011

Sains vs sastera

Sejak saya bersekolah dan kini menjadi guru, sering saja saya dengar betapa ibu bapa mahukan anak mereka memasuki aliran sains. Mereka datang ke sekolah untuk membuat rayuan agar anak mereka yang ditempatkan dalam aliran lain ditukarkan ke kelas sains. Mereka berpendapat aliran sains mempunyai 'lebih banyak peluang', 'lebih cerah masa hadapan' dan lebih segala-galanya, termasuk berbangga untuk memberitahu bahawa anak mereka berada dalam aliran sains.

Saya adalah mangsa kepada momokan ini! Maka saya tidak mahu memaksa anak-anak saya memasuki aliran sains. Pada saya, kalau cita-cita mereka bukanlah hendak menjadi doktor atau engineer, walaupun straight A's, masuklah aliran sasterapun, kalau itu yang diminati (Tetapi sekolah anak saya, seperti juga banyak sekolah lain; tidak lagi mempunyai aliran sastera yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu). Dan kerana membenarkan anak yang hendak menukar aliran, seorang guru yang mengajar anak saya berkata, "sayanglah, rugi kalau dia tak ambil sains."

Saya cuma senyum.

Dalam suatu majlis hari terbuka, kepada seorang ibu yang saya temui, saya nyatakan bahawa anaknya yang berada dalam tingkatan tiga itu adalah "talented and artistic", dan dia berkata, " "Oo...yes, she loves art but i want her to do science,because it has greater future."

Saya hanya tersenyum.

Kepada seorang bapa yang beria-ia memohon agar anaknya ditempatkan dalam aliran sains, saya nyatakan bahawa tidak kira lah aliran apa, yang penting dia melakukan dengan baik. Bapa itu mengangguk-angguk, dan saya kira pandangan saya beliau setujui. Keesokan harinya dia menghantar surat merayu agar anaknya dimasukkan ke aliran sains!

Seorang kawan, guru matematik tambahan, berkata, "Lebih banyak peluang apa, kalau math tambah, fizik, kimia, dapat D dengan E!"

Hmm....

Sunday, April 3, 2011

Terima kasih, editor


Seusai Hujan

Kau ingat
sisa hujan teralir ke dahan-dahan kayu
getar daun dalam geliat angin
menyebar titis-titis dingin
ke kening.

Ku ingat tawamu
waktu titis berbaki dari hujung daun
menimpa bibirku, kuhirup
mengecap dinginnya
menjelajari segenap tubuh.

Kau ingat
benaman tapak sepatu
membekas pada tanah basah
percik lumpur
bagai tompokan warna
menodai kaki celana.

Kau masih dengarkah
laungan ibu dari jendela terbuka
sejenak kita lupa
lengking-melengking suara sang kodok
menggiring senja
ke perabung rumah kita.

Terima kasih, tuan editor, kerana menyiarkan sajak saya....
Saya ingin mengulang pantun yang tak basi-basi, "terima kasih daun keladi...."

Thursday, March 17, 2011



Antara muka surat sebuah buku catatan lama, saya temui lipatan kertas bertaip sajak saya yang ditandai dengan catatan berdakwat merah. Disertai dengan ulasan bertulisan tangan. Saya hargai sungguh kesudian penyair ini membaca dan mengulas sajak saya. Kesudian beliau awalnya saya fikir hanya untuk menjaga hati. Agak tergamam saya, apabila apabila bertemu lagi dalam sebuah acara sastera, dia menanyakan sajak-sajak saya yang saya minta untuk diulas.

Saya akan sentiasa ingat perkenalan dan persahabatan yang terjalin dalam masa yang singkat itu. Singkat kerana beliau telah dijemput Ilahi. Saya ingat, betapa saya terkejut apabila menerima berita itu lewat teks yang dihantar Mawar kepada saya.

Saya akan sentiasa ingat pelukan isterinya sewaktu saya dan rakan menziarah jenazah.

Al Fatihah untuk Pak Engku @ T Alias Taib.

Saturday, March 5, 2011

Bukan sajak...

Aku ingin
menulis dan menghafal puisi
seperti selalu
pada usia laluku.

Aku ingin
selalu membetik berita
pada teman-teman
seperti yang kulakukan
pada saat aku pernah kesepian.

Aku ingin sering memikirkan
matahari kini panasnya lain
tidak senyaman hari-hari kelmarin.

Aku ingin menikmati usap bayu
tanpa keliru
oleh waktu yang sering berbagian
antara keperluan yang didahulukan.

Segalanya adalah keinginan yang tertahan
oleh perjalanan detik
yang kuburu dalam hariku
dan kepentingan yang sering
meminta perhatian.

Aku tidak jua punya waktu
untuk sempat berfikir
betapa aku terlupa
melayani rasa dan fikir yang lebih halus
dalam perjalanan yang begitu deras.

Friday, December 31, 2010

cerita cikgu

Cuti umum hari ini?

Ha... ha...mungkin tidak bagi guru! Bagi banyak sekolah, kain rentang sudah lama dinaikkan - memaklumkan bahawa hari ini adalah hari pendaftaran murid ting satu. Jika tiba-tiba dibatalkan pasti menimbulkan kemarahan (dan kesusahan) ibu bapa. Juga menyusahkan pihak sekolah kerana segala kerja perlu dibereskan sebelum persekolahan dimulakan.

Bagi guru-guru yang terlibat dengan pemeriksaan kertas peperiksaan, cuti umum atau tidak, kerja perlu disiapkan.

Pekerja perlu dibayar jika mereka terpaksa bekerja pada hari cuti umum, selari dengan peruntukan yang telah terkandung dalam akta. Namun saya tidak tahu, bagaimana dengan hak guru. Mungkin ada pihak yang beranggapan bahawa guru sudah banyak cuti! Jadi tidak mengapa jika guru terpaksa bekerja pada hari pekerja lain sedang bercuti. Walaupun sebenarnya cuti guru kerap kali bukanlah cuti yang benar-benar bebas daripada kerja. Bagi guru yang menganjurkan perkhemahan murid pada hujung minggu, tiadalah rehat bagi mereka kerana hari berikutnya mereka perlu bekerja seperti biasa. Cuti panjang selama dua bulan juga bukanlah cuti kalau guru terlibat dengan pengawasan peperiksaan ataupun menjadi AJK perancangan sekolah, jadual waktu dan sebagainya. Bagi kebanyakan guru, cuti merupakan tempoh waktu untuk melangsaikan kerja-kerja sampingan yang tidak boleh dibuat pada hari persekolahan (Opps, saya tidak menafikan ramai juga guru yang melakukan kerja tambahan untuk pendapatan sampinngan semasa cuti!)

Walau apapun, bagi kebanyakan guru, hal ini hanyalah titik bengik dalam dunia pendidikan. Harapan tahun baharu saya, beban kerja perkeranian perlu dikurangkan. Sudah tiba masanya urusan pendaftaran murid dilakukan oleh kerani pendaftaran, bukan oleh tenaga akademik. Mungkin jawatan bendahari perlu diwujudkan untuk menguruskan hal ehwal pembayaran yuran dan biasiswa. Urusan kesihatan (suntikan) pun diuruskan guru! Cikgu merangkap misi, cuma tak pegang jarum saja!

Monday, November 29, 2010

Cerita Biasa

Cerita 1 - Sejak dilancarkan koc merah jambu, pernah juga saya dan anak-anak gadis saya menggunakan perkhidmatan itu. (Kalau hendak membeli belah di bandar raya, lebih senang kalau menaiki komuter - tidak perlu fikir tempat parking kereta!) Dan setiap kali kami menaiki koc merah jambu, ada saja jejaka yang 'tersesat' masuk. Pernah saya lihat seorang jejaka melayu kelihatannya seperti dalam usia awal 3o-an - berbadan besar (kalau dia kecil molek pasti sudah saya hantar jelingan maut!), duduk bersandar sambil memeluk tubuh. Wah! Gayanya selesa sekali! Dia berkaca mata hitam (rayban tipu), memakai baju biru gelap, bertali pinggang kulit dan berseluar corduroy merah (saya ulang, corduroy merah!). Begitu berwarna-warni, sayang sekali dia tidak kenal warna merah jambu!

Sewaktu tren berhenti di suatu perhentian, dan pintu terbuka, sempat saya lihat seorang lelaki kurus, berpakaian kemas, buru-buru mengejar pintu yang terbuka. Tetapi demi terpandang logo koc merah jambu, dia membatalkan hasrat. Hmm...lelaki berkemeja putih dengan seluar kelabu itu lebih kenal warna!

Cerita 2 - Awal pagi. Saya selesai urusan di bank dan menuju ke mesin pembayar tempat letak kereta sebuah kompleks beli belah. Saya masukkan kad parking ke mesin pembayar. Bacaan tertera, RM1. Saya hanya ada syiling 80sen, dan selebihnya wang kertas merah. Tiada pilihan, saya masukkan wang sepuluh ringgit sambil membayangkan bakinya duit syiling yang pastinya berat! Tapi oh! Wang kertas tidak diterima - ya masih pagi, mesin pun belum miliki syiling! Tiket parking juga diluah bersama.

Pemuda di belakang saya berkata, "Kak, parkingnya seringgit saja!" Saya lalu terfikir hendak ke mana-mana kedai (tapi pagi masih awal -masih banyak kedai yang belum memulakan perniagaan) untuk membeli akhbar atau apa sahaja bagi mendapat wang kecil, bila seorang lelaki India pertengahan umur di belakang pemuda tadi menghulurkan saya sehelai wang kertas RM1. Melihat saya serba salah dia lalu berkata,"You can have this."

"How am I going to pay you?" Saya masih serba salah. Lelaki India itu ketawa kecil sambil berkata, "You can pay me in future!" Sayapun menerima budi baik lelaki India itu. Dan dia pun tidak menolak syiling berjumlah 80 sen yang saya ada.

Syukurlah, masih ada yang budiman dalam dunia ini.


Sunday, November 14, 2010

Aksara Cinta Buat Sahabat

Bagaimana harus kusulam aksara, merungkai kata
setelah sekian lama terpisah
oleh batas waktu dan sempadan daerah
hari ini kita menjabat salam pertemuan
mencari titik mula kita kehilangan
menelusuri jejak-jejak yang kita tinggalkan.

Kita harungi onak remaja
saat derita berkongsi tangis, bahagia sesama tertawa
atau rajuk yang sering terpujuk
di piala setiakawan.
Tidak lupa menggalas tanggungjawab di pundak muda
pesanan ayah bonda dan amanah bangsa
menara gading medan kita
membina prasasti, memacak teguh dan percaya
ketekunan, keazaman dan cekal usaha
menjelma kemilau permata, menyuluhi jalan kita.

Takwim waktu menghantar kita
melangkahi lawang kehidupan
alun kehidupan mengajar kita mengenali gelombang
perahu keyakinan ada kalanya goyah oleh payah realiti
namun tidak pernah tewas tekad terbina
menggapai cita yang pernah tercipta.

Takwim waktu jualah mengheret kita
ke gerbang kedewasaan, mencipta ruang lain kehidupan
membina keluarga dengan semaian cinta
diri mengukuh perkasa
sehingga waktu menjadi begitu terburu
lalu tidak sempat kita menoleh atau menunggu.

Musim-musim yang kita tinggalkan
kian meminggir teman daripada pandangan
tapi buru-buru kehidupan tidak selamanya membentang halang
monumen kenangan menyampaikan salam ingatan
bilah-bilah rindu ada kalanya mengusik keharuan
dalam sepi
kita tangisi teman-teman yang lebih dahulu mengadap Ilahi
atau tertanya jua
handai taulan yang tak terjejak kabar berita.

Demikian sukar menenun aksara menggitakan cinta
pada detik pertemuan ini
kita maknakanlah kesempatan yang ada
dengan salam kasih kita rapatkan sekian jurang terbina
Silaturrahim kita pereratkan
perkukuh ukhuwah sesama kita
menunai tuntutanNya jua,
gapailah insaf dalam getar kalbu
kita masih dikurniaNya secebis waktu.

Rositah Ibrahim
Malam Secebis Merah 2006