Monday, September 6, 2010

Tikar Takdir

Akhirnya kau terlantar di tikar usia
temanmu, mengkuang pengalas tilam kekabu
lusuh dan kelabu
itulah tikar takdirmu
seakan terhimpunlah jerih pengalaman
pada alir urat daging tua
seakan terlontarlah segala kesakitan
lewat raungan tak kedengaran
menyisih percakapan
yang tidak mampu lagi kau tuturkan.

Akhirnya kau terhantar ke tebing usia
tegap sasa tubuhmu akhirnya menyerah pada waktu
dan redup berkaca matamu
seperti payah menyalami
ramah angin yang menyelinap
celahan papan rumah tua
seperti membawa ingatan
jering rebus bersalut kelapa
yang kauhidang
diramas tangan kecilku bersalut angin laut.

Akhirnya kau terdampar di pinggir usia
tubuhmu yang berangka
kini terkepung oleh takungan takdir
kau hanya merenung perabung
barangkali membilang ibadah
yang kaubawa sepanjang perjalanan
aku merasa lincah angin
menyusup celahan lantai rumah tua
yang dulu digegar oleh hentak kaki kecilku
sambil menjemput ingatan
pada debur ombak yang kuhitung
terlayang ke dalam mimpi.

Akhirnya kautewas disisih usia
terkepung oleh takungan takdir
yang tertulis
dulunya tidak pernah dapat dibaca,
dan debur ombak yang tidak kudengar lagi
seperti membayangkan
tikar takdirku yang tidak mampu kuterka.

07 - 09. 07.08
(Sesudah suatu ziarah)

Monday, August 30, 2010

Ohh!

Sewaktu membelek-belek kotak yang menyimpan hasil penulisan selama mengikuti kursus Penulisan Kreatif (RSSK) di USM tahun 1987-88, saya mendapati sehimpunan sajak telah dimakan anai-anai. Rasanya baru sebulan dua (iaitu kali terakhir saya membelek-belek kotak itu) helaian-helaian ini masih berada dalam keadaan baik. Segera saya menaip dan menyimpan sajak-sajak itu dalam komputer.

Saya kemudiannya memeriksa fail-fail lain. Oh! Rupa-rupanya hanya failnya sahaja kelihatan elok. Isinya sudah lebur! Tamatlah 'riwayat' cerpen-cerpen yang tidak pernah saya hantar ke mana-mana penerbitan. Fail itu juga berisi penulisan kritikan sastera, iaitu kelas Cikgu Shahnon, semasa mengikuti RSSK - hasil penulisan yang saya sayangi kerana terdapat ulasan dengan tulisan tangan SN Datuk Shahnon Ahmad (Saya ingat, hari pertama mengikuti kelas beliau, saya melakar potretnya sewaktu beliau menerangkan keperluan kursus!)

Dua tahun dahulu, anai-anai sudah mengerjakan banyak karya suami. Lalu kami bertindak mengambil khidmat pest-control.

Sehari suntuk saya mengosongkan rak buku di kamar utama. Memeriksa sarang anai-anai. Empat petak daripadanya terpaksa saya kosongkan kerana sudah menjadi rumah sang anai-anai. Nasib baik buku yang rosak cuma lima buah. Tetapi mengosongkan empat petak rak menimbulkan masalah lain - di mana pula harus saya tempatkan isinya! Kesemua petak sudah bersesak-sesak, malah melimpah! Kalau buku-buku itu boleh bersuara, tentu saja mereka sudah berteriak meminta saya sediakan ruang yang lebih selesa. Saya selalu terbayangkan, bagaimanalah agaknya himpunan buku rakan-rakan penulis...koleksi saya barangkali tidak lebih daripada 1/4 buku-buku mereka!

Buku kesayangan suami, tulisan Pablo Neruda; buku panduan kesihatan ibu hamil yang saya kutip sewaktu seorang guru hendak menghapus-kira buku-buku lama; novel sulung kakak ipar, Salmiah Alias: Cowrie Emas, bekas peguam yang kini membuka sekolah agama persendirian; novel kanak-kanak Gadis Bunga Teratai karya Hassan Ali, lelongan Dawama yang berharga RM1 (saya beli juga; rugi kalau tak beli sebab terlalu murah! Boleh simpan untuk Najaa), dan novel klasik Jane Austen, Northanger Abbey.

Hanya Cowrie Emas yang masih boleh diselamatkan. Residence of Earth Neruda sudah hancur...aduh! Memang buku ini masih terjual di Kinokuniya, tapi harganya...aduh...!

Ralat sungguh kalau buku yang dipinjam orang, dikembalikan dalam keadaan lusuh. Ralat lagilah kalau kehilangannya. Lebih sepuluh tahun dahulu, saya terpaksa membuang koleksi majalah Dewan Sastera tahun 70an yang saya simpan/tinggalkan di kampung. Waktu itu kami masih tinggal menyewa dan tidak kecukupan ruang - maklumlah rumahnya kecil (kereta pun kecil!). Jadi untuk memunggahnya harus difikir berkali-kali.

Betullah kata orang, rumah tinggal akan 'merajuk'. Rumah peninggalan arwah ibu yang kosong tidak berpenghuni rosak di sana-sini. Bilik saya bocor, mengorbankan koleksi Dewan Sastera yang saya kumpul sejak dalam tingkatan dua.

Kini kami berdepan dengan masalah anai-anai. Kalau dibiarkan akan banyak lagi buku yang rosak. Lukisan-lukisan suami yang ditempatkan di rumah bersebelahan, belum diperiksa. Harap-harap selamat.

Ohhh...pest -control...kenalah cari mereka!

Thursday, August 26, 2010

Sajak-sajak Kecil

Antara lembaran usang buku-buku catatan yang masih tersimpan, rupa-rupanya ada mainan kata. Seperti foto lama yang mengembalikan kenangan, coretan mainan kata ini juga seperti menghantar saya ke suatu daerah lampau. Dengan sifatnya sebagai mainan kata, sajak-sajak kecil ini kekal sifatnya sebagai 'sajak kecil' - kecil kerana pendeknya ungkapan, kecil kerana tidak membawa makna kepada sesiapapun!

(i)
Di luar Hujan sedang Turun...

Sebelum Subuh
hujan melontar desirnya
ke dasar sepi
dingin yang lumba- berlumba
mencumbui kamar
membolosi jendela terbuka
sehingga ia reda
tak henti kusalami
dingin mimpi tersisa.

(ii)
tanpa judul


Ada yang hadir
bersama embun luruh
antara desir alam
kudengar nyanyian suci
sayup-sayup
menghantar makna.

(iii) tanpa judul

Ada yang lupa kucatat
kala malam turun dengan senyap
dan menghantar desir angin yang perlahan
diam-diam ada yang ingin dimaknakan
antara ingatan yang banyak terlepas.

Sunday, August 8, 2010

Sekadar Mengenang...

Saya terjumpa sebuah buku nota lama milik saya semasa tinggal menyewa kamar di Minden Height. Buku nota itu penuh dengan coretan sajak. Ada yang selesai digarap dan ada yang tergantung. Banyak sajak yang merakamkan kesunyian....

Di Minden Height, saya memang kesunyian kerana teman saya, Rehan Yaacob, selalu saja sibuk. Dan bila dia pulang, selalunya teman-teman kursus lakonannya, Ema Sulai dan Amy Rhapor, ikut mendatangi, menghalau kesunyian saya dengan jenaka dan tawa.

Kerana selalu kesunyian, terhasillah sajak ini.

Sepi Gugur di Kaca Jendela

Menangkap bayangmu
melintasi rumput
sedang harum cempaka tidak
menyebarkan apa-apa berita,

Khabar, kudakap hampa
rindu yang lintas-melintas
di ruang ingatan
sarat, tidak tereja maknanya
tidak tertangkap gemanya.

Di pintu, kunantikan ketukan
siapalah yang bakal datang
mengusir sepi di kaca.

07.07.87
Minden Height

Saturday, July 3, 2010

'Sirih Junjung' ke ni?


Buat gubahan sirih junjung untuk majlis sekolah? Ohh! Saya suka tu...! Pandai tidak, tapi saya suka untuk mencubanya.


Sewaktu bersekolah dulu, saya pernah terlibat dengan acara sambutan seorang pembesar yang dijemput untuk majlis penyampaian hadiah. Saya dan murid-murid yang lain dikehendaki membawa sirih junjung dan bunga pahar mengiringi pembesar tersebut. Sirih junjung digubah, dicucuk ke atas batang pisang sebagai bahan dasar. Manakala bunga pahar pula dicucuk di sekeliling pulut kuning yang dibentuk berupa seakan-akan kubah. Kesemuanya diletakkan di atas pahar tembaga. Berat? Ya, agak berat.

Zaman berubah. Batang pisang atau betik yang masih hijau pejal sebagai dasar diganti dengan polistirin. Bunga pahar juga kini di'cucuk' pada tempat khas yang diperbuat daripada seramik.

Dan yang paling membuat saya terkilan adalah permintaan pihak sekolah agar saya menggunakan daun sirih plastik untuk membuat sirih junjung!

Saya memujuk ketua bidang saya agar menggunakan daun sirih segar. Kata saya, hilang keaslian. Tapi alasan yang diberikan kepada saya, jimat kos. "Tahun depan, boleh guna lagi..."

Saya berkompromi. Saya buat sirih junjung menggunakan daun plastik (malangnya saya tidak memperoleh daun yang berbentuk daun sirih!). Namun saya khaskan juga sedikit ruang untuk daun sirih asli dan bunga segar. Sekurang-kurangnya adalah sedikit semangat dan sifat sirih junjung.

Sirih junjung yang saya gubah itu digunakan di sekolah selama dua tahun.

Tahun ini kita buat yang baru, ya! Warnanya biarlah merah jambu. Warna yang manis untuk anak-anak sekolah.

Saya gunakan baki daun plastik yang pernah digunakan dua tahun lepas. Ditambah dengan daun getah kering yang ada dalam simpanan saya. Dan bunga ros palsu! Tidak ada yang asli lagi!

Saya pernah diberitahu bahawa gubahan sirih junjung mestilah mirip bentuk kon -mengecil ke atas. Bahan utama semestilah daun sirih. Bunga-bungaan dan hiasan lain hanya sebagai sampingan sahaja.

Saya kemudiannya menyedari bahawa saya banyak menggunakan bahan sampingan! Sudahlah menggunakan daun plastik!! Anak-anak sekolah melihat sirih junjung berdaun plastik...

Bagaimana kalau dalam majlis perkahwinan zaman akan datang orang beralih kepada daun sirih plastik? Sirih sudah tidak ditanam orang.... Oh! Saya harap hal ini tidak berlaku!

Hendak mengekalkan tradisi memang banyak dugaan, lebih-lebih jika tradisi itu dilingkungi oleh budaya semasa yang menuntut perubahan oleh kekangan yang ada pada waktu itu. Maka kefahaman terhadap unsur-unsur asas dalam sesuatu tradisi perlulah kita fahami agar jika perlu membuat perubahan dalam perkembangan semasa, perubahan itu lebih berupa penyambungan terhadap apa yang telah sedia ada tanpa mengurangkan atau menghilangkan semangat juga maksud asalnya.





Thursday, July 1, 2010

Belum Bersajak....


Monolog Air

Kumasuki lembah
dengan alir gagah
membenam belantara usia berjuta
dan segala ceritanya.

Kutakluki lekuk dan lurahnya
bahasa rimba
masih setia dengan segala rahsia.

Kusingkir daratan dengan pohon-pohonannya
kota airku saujana
kusebar kedinginan
pada biasan bayang-bayang
dalam pegun kau menatapnya.

Kuapungkan kesenyapan
pada tenang permukaan
kupinjamkan kedamaian
buat kau memunggah lelah
yang terheret pada setiap langkah
di celah susur kota
yang riuh dengan segala duga dan peristiwa.

Kubiar angin seenaknya berpapasan
di bawah awan
percakapan yang diam
dan kau mendengarnya
bak milik alam berseloka
kutahu
kaubawa cinta
menyatu dan akur akan nikmatNya.

Rositah Hj Ibrahim
Tasik Temenggor - Royal Belum 2010

Monday, June 28, 2010

Manusia Durjana!!!

Sedihnya melihat alam diperlakukan sedemikian rupa....

Kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam saya kira sudah meningkat, rupa-rupanya masih ada manusia yang mencari jalan pintas.
Jahatnya manusia ini!

Asap hitam pekat bergabung dengan awan....Saya terbayang awan kelemasan lalu terbatuk-batuk, sesak, lemas...

Kejadian ini berlaku di simpang masuk ke Taman Saujana Utama, pada 18 Jun 2010, sekitar jam 6 petang. Dari jauh lagi sudah terlihat sewaktu kami melalui lebuh raya Shah Alam- Puncak Alam.

Friday, June 25, 2010

Belum Akhirnya....

Sesudah puas dipanggang terik rembang yang membias ke muka tasik, menyusuri sungai, singgah di tapak rafflesia, melewati check point tentera, sejenak di kampung orang asli di Kuala kejar; kami tiba di kem Sg kejar yang terletak dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum.

Cantik kawasannya. Kami diberitahu bahawa kem ini sering menerima kunjungan pelajar universiti yang datang membuat kajian hidupan serangga. Saya terkenangkan Amna. Saya fikir tentu menarik jika dia dan rakan-rakan seni halusnya dapat datang ke sini, mendekati alam, membuat pengamatan, dan melakar. Suatu ketika dahulu, semasa saya masih menjadi pelajar, memang ada aktiviti pelukis tanah air yang membuat eksplorasi khazanah alam di sini dan seterusnya berkarya berdasarkan apa yang telah mereka alami di Belum.


Lihat, betapa besarnya!!



Kami singgah di sini sekejap sahaja. Kami meneruskan perjalanan (dengan bot lagi!) ke Kem Sg Papan.

Dah tiba!


Keinginan saya sebenarnya hanya duduk-duduk sahaja meresapi tenang dan damai alam Hulu Sg Perak dari jambatan gantung ini...

Wednesday, June 23, 2010

Ke Perkampungan Orang Asli

Perjalanan kami agak lama.

Di mana-manapun kami melihat air...air...tapi tetap kami tertegun dengan pemandangan yang dapat kami saksikan.

Pose menarik sebagai subject matter lukisan figura...kan!

Kami tiba di perkampungan orang asli. Ketua fasilitator program berjumpa ketua mereka untuk menyampaikan hajat kami - melawat sambil mempelajari adat resam dan cara hidup mereka.

Kami menjejak kaki ke kawasan mereka.

Pemandangan daripada daratan.
Ketenangan meresap jauh dan dalam ke dalam diri.


Lagi pemandangan daripada daratan.

Murid kami menyampaikan buah tangan kami kepada ketua mereka.
Amboi... Basri dan Isyraf, bukan main lagi posing!

Wakil murid perempuan menyampaikan buah tangan.

Syarat wajib - bergambar!
Rumah kediaman mereka ringkas.
Sebelum kami tiba di sini, kami sudah ternampak sebuah kawasan penempatan di seberang sungai - perkampungan tersusun yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka. Tapi mereka lebih selesa hidup dengan cara yang diwarisi sejak turun- temurun. Jadi mereka berulang alik antara kawasan penempatan baharu dengan kampung asal. Kerajaan juga menyediakan bot berenjin untuk mereka.

Kaum wanitanya.