Saya terasa hendak menyediakan laksa kerana 'geram' kan daun kesom yang nampak cantik dan segar di pasar besar Giant!
Sekadar berkongsi - resepi asalnya laksa siam yang saya 'google'. Tapi teringat juga laksa asam nyonya yang resepinya saya pelajari dari seorang teman. Seorang kawan yang mengendalikan restoran pernah memberitahu petuanya menyediakan sebarang jenis kuah laksa, iaitu memasukkan sedikit udang hidup untuk mendapatkan manis air udang. Oleh kerana tidak dapat putuskan resepi mana yang hendak diikut, saya akhirnya terfikir hendak ubah-suai sahaja resepinya. Hmm... apa salahnya bereksperimen!
Saya kongsikan 'hasil eksperimen' saya di sini!
Kisar halus bahan berikut:
- 10 ulas bawang merah
- 8 hiris lengkuas
- 2 biji buah keras
- 3 batang serai
Bahan-bahan di atas saya campurkan dengan 3 sudu besar campuran bahan tumisan yang sudah dikisar, yang memang sentiasa tersedia di dalam peti sejuk - bawang merah, bawang besar, bawang putih, halia. (Asingkan sedikit bahan kisar untuk menumis udang kering).
Bahan-bahan di atas ditumis sehingga wangi, kemudian ditambah cili giling (lebih kurang lapan camca besar) dan sedikit belacan. Apabila sudah pecah minyak, masukkan air asam jawa yang diramas bersama air rebusan ikan. Tunggu sehingga mendidih, masukkan sedikit santan pekat, kacau lagi. Apabila santan pekat sudah hampir mengering, tambahkan sedikit lagi santan pekat. Buat begini tiga atau empat kali, baru dimasukkan lebihan santan dan air rebusan ikan. Tambahkan asam keping. Kemudian masukkan sedikit udang hidup, isi ikan yang telah direbus dan ditumbuk halus, serta satu tin kecil ikan sardin yang dilenyek dengan garfu (ambil sekali sosnya).
Seterusnya masukkan bunga kantan dan daun limau purut. Kacau sesekali sehingga mendidih sekali lagi.
Sebagai penyedap hidangan saya tambahkan tumisan udang kering:
Tumis bahan kisar. Kemudian masukkan udang kering yang telah dikisar bersama cili api. Masak sehingga kering.
(Ha....saya tidak masukkan pun daun kesom ke dalam kuah laksa! Setahu saya laksa siam memang tidak guna daun kesom, sebaliknya diganti dengan daun limau purut. Daun kesom yang saya 'geramkan' itu saya hiris halus sebagai ulaman laksa.)
Cubalah!