Wednesday, December 30, 2009

Catatan Menjelang 2010

1 Muharam sudah berlalu. Kini menjelang pula Januari.

Saya mengira-ngira hari. Kerja 2010 sudahpun bermula dengan mesyuarat yang akan berlangsung dalam beberapa jam lagi. Sepatutnya saya sudahpun tidur untuk menyiapkan diri menghadapi tugasan tahun baru. Malangnya mata sukar lelap. Batuk melengking-lengking mengganggu tidur. Aneh, ubat batuk tidak dapat memancing kantuk.

Dalam mengira-ngira hari, saya menyorot kegagalan hasrat cuti hujung tahun - memalit warna pada kanvas bersih. Kotak akrilik kemas tidak terusik... Dan sajak-sajak yang berselerak (yang tidak begitu banyakpun!)

Cuti kali ini padat. Minggu pertama melangsaikan 'hutang' kerja sekolah.

Minggu kedua, membayar 'hutang' dapur - menyediakan masakan kegemaran keluarga kerana tidak berbuat demikian pada hari sekolah. Seterusnya menyiapkan gubahan hantaran adik yang akan melangsungkan perkahwinan. Sebelum ini saya menyediakan gubahan hantaran untuk sepupu. Wah! Rupa-rupanyanya kerja ini mengasyikkan sekali!

Saya selalunya terpesona jika berada di toko buku, kedai alatan melukis, dan kedai pembekal barangan kek (Opps! Dan berlama-lama juga kalau window shopping pakaian dan peralatan rumah!).

Akhir-akhir ini pusat jualan barangan perkahwinan telah termasuk dalam senarai 'perkara-perkara yang mengasyikkan'. Keasyikan saya dengan segala renda, manik dan labuci di pusat jualan ini bermula dengan kerja-kerja kraf untuk kumpulan tarian saya. Peruntukan kecil memaksa saya meluangkan masa yang cukup lama (dan menyeronokkan) untuk menyediakan aksesori bagi busana persembahan. Lalu terhasillah hiasan kepala, pending dan lain-lain seadanya.

Sebaik sahaja kembali dari kampung atas urusan perkahwinan adik yang disertakan juga dengan percutian keluarga, saya kembali sibuk dengan urusan kerja. Sedar-sedar cuti hampir sampai ke penghujungnya.

Kebiasaannya orang akan mulai menyiapkan azam untuk tahun baru. Tapi saya tidak. Mungkin ini suatu sikap yang buruk! Azam selalunya membuat kita lebih bermotivasi, jadi saya puji orang yang sering menetapkan azam dan melaksanakannya.

Yang selalu saya soroti ialah perkara-perkara yang gagal saya lakukan. Hmm...negatifnya!

Tuesday, December 8, 2009

Bolos....

Malangnya ini bukan "Bolos saja dinding itu!!"

Sampai saat ini, dan mungkin untuk beberapa waktu, saya akan terkenangkan nasib malang yang menimpa Siti Nur Dianah Azman, dan rakannya, Siti Nur Amira Shamsuddin, yang terbunuh dalam kejadian yang menggemparkan ini.

Dan pasti juga Nurul Ain, pemandu (yang disuruh pandu) kereta Ford Laser itu menghadapi trauma oleh kejadian yang dia tidak ingini itu.

Apakah yang mampu kita ungkapkan.... selain takziah untuk keluarga mangsa dan sedekah Al Fatihah untuk mangsa....

Apakah yang dapat kita katakan....tentang betapa 'rapuh'nya dinding bangunan ini...

(Gambar akhbar Utusan Malaysia 7 Disember 2009)

Friday, December 4, 2009

Sajak Dulu-dulu

Dari dalam sebuah fail lusuh, saya terjumpa sejumlah sajak saya yang lama. Bertaip di atas kertas yang sudah rapuh, menguning dan garing dimamah waktu, dan tidak berjilidpun. Saya membelek-belek, tidak banyak, hanya 21 buah dan terhasil dalam tahun 1986 hingga 1987. Sebahagiannya sudah terlupakan. Yang sudah tersiar dalam akhbar atau majalah, saya catat dengan tulisan tangan - tarikh siaran dan nama akhbar/majalahnya.

Sajak ini saya baca waktu di luar alam kebasahan oleh hujan yang turun sejak awal pagi. Begitu kontras.

Nyanyian Kemarau

Bila matahari menciumi cuaca
mengusir hijau daunan
dan menyebarkan salam kematian:
temaramlah mimpi kesuburan.

Susut usia menyinggah
pada daun-daun
mengabarkan kisaran musim:
jerit matahari menggelepar
di sela ranting-ranting - daun-daun menyisih.

Mastika
Mei 1989

(Biasanya sajak-sajak yang tersiar saya simpan keratan akhbar atau majalahnya, tapi Mastika keluaran di atas, jenuh dicari tapi tidak saya temui. Saya jarang ketinggalan membeli majalah Mastika versi 80an dan awal 90an, iaitu sebelum bertukar bentuk menjadi Mastika seperti yang kita lihat sekarang.)

Dalam Diri

i.
Suara gerimis melayarkan sepi
ada detik yang diam-diam berangkat
menyalami lelah duka

mimpi terhimpit
pada selaut kata
tak tereja.

ii.
Sebuah ruang mencatatkan getar sunyi
yang luruh, menyalami
lelah duka
selaut puisi
tak terselam maknanya.

Berita Minggu
25.09.1988

(Yang saya ingat, sajak ini terhasil sewaktu saya bersendirian (dan sunyi) di kamar sewaan. Rehan Yaakob, teman penyewa, banyak sangat aktivitinya, sampai kerap lupa balik! Sesekali Amy Ghapor dan teman baiknya Ema Sulai datang meriuhkan kamar. Hingar juga kalau Pah Ni turut bersama. Saya dan seorang teman lagi, Noorjan Abd Rahim, kerapnya jadi tukang ketawa saja!

Menjelang Perkahwinan
(untuk Lina)

Berulang kali kau mencatat getar rindu
yang berangkat, menyulaminya dengan rindu
Dan kudengar desah kupu-kupu
dari dadamu.
Detik berangkat dalam senyap
sebentar lagi kau bakal menyempurna mimpi.

Tanpa Judul

Kudengar titik hujan
memercikkan sisanya ke daun-daun,
ke tanah dan ke atas atap
dari dalam kamar memang dapat kubayangkan
kilaunya waktu cahaya lampu
mencuri keluar dan mencumbuinya.

Memang ada sezarah keinginan menguit rasaku
memintal sepi ke dalam bahasanya
tetapi jam yang kulirik
mengingatkan kepada banyak perkara yang tidak selesai,
Ah! Hidup terlalu banyak mengejar keperluan

Berita Minggu
Dis 1987
(tidak tercatat tarikh, dan yang saya ingat, saya memang terlalai untuk menyimpan keratan akhbarnya)

Saya suka suasana sewaktu hujan turun. Waktu kecil saya suka dengar bunyi hujan mengguyur dari dalam rumah dengan pintu dan tingkap tertutup rapat.

Sewaktu Menyatu Gerak
Alam di Jantungku...


Kecuali desir hujan yang memesrai rumputan
tiada nyanyian yang mendamparkan dingin Teluk Laguna ke mari.
Semilir angin yang berlenggang di dada Makiliing
telah menyalami sepinya
melontar puisi
yang pasrah dalam genggaman zat.
.... ada bisikan di tasbih rahsia!

Berita Minggu
14.06.87

Catatan Hari Hujan

Hanya hujan yang membawa baumu ke mari
setelah desir angin menghantarmu
sesudah lelap mimpi di perbaringan
menyisir helaian sunyi
memilir di rambut hari.

Tidak ada yang bersemarak hari ini
kecuali manis mawar di perbukitan
disuburi angin basah
segala yang lain tiba-tiba senyap
di bawah gerimis.

Hanya desir hujan
memesrai rumputan.

Berita Minggu
12.04.87

Di luar, Hujan Sedang Turun...

Sebelum subuh hujan melontar desirnya
ke dasar sepi. Dingin yang berlumba
mencumbu kamar
membolosi jendela terbuka.
Apakah di sana engkau tiba-tiba terjaga
waktu derunya tiba-tiba memukul
kaca jendela?

Dan sehingga ia reda
tak henti kusalami
dingin mimpi tersisa.


Sajak Sederhana

Tidak kudengar angin menyapa
di langit, bulan terlucut dari malam
dan pengap mengabarkan penantian yang
dirasa begitu lama.

Sewaktu titis embun mengingatkanku kepada waktu
kulepaskan catatan-catatan yang kurasa tidak bermakna.

Di ujung malam ada doa kukirimkan
begitu sederhana.

Berita Minggu
06.12.87






Saturday, November 28, 2009

Percakapan Kanvas Kepada Pelukisnya

(Khas untuk A Shukri Elias di Galeri Melor)

Ketika kau terlontar
sepi dan asing ke daerah makna
aku menjerit : penuhilah muka ini
dengan warna yang menyebar
cahaya bianglala.

Pastilah engkau lebih mengenal
lekuk dan lurah garis
yang menimbul percikan mimpi
kata menjadi puisi
lewat loncatan warna
yang menyihir permukaan putih ini
menjelma bahasa.
Memang ada getar pada sorot cahaya
yang kaulakar adalah peta zaman
kesenimananmu yang sentiasa teruji
oleh detik sukar dan deraan derita.

Memang aku pengundang ketakjuban
di luar sana ada mata kekaguman
terpegun oleh rentak irama
alunan yang kauserakkan pada mukaku.

hanya sekelumit yang mengerti
tentang kesengsaraan mengangkat makna
dan kemanisan yang terkecap oleh
kepuasan mencipta!

Percakapan sebenarnya lewat riak warna
dan lincah garis.

Rositah Ibrahim
Seri Gombak, Selangor
(berita Minggu, 21 Julai 2002)

Dua atau tiga hari selepas menghantar sajak ini ke akhbar, pada hari selasa, saya terkejut kerana menerima panggilan daripada editornya, Sutung Umar RS. Selama saya 'tengah rajin' menghantar sajak ke penerbitan, tidak pernah saya dihubungi oleh mana-mana editor.

Tanya beliau, "Rositah, u tak pernah lagi hantar sajak kat saya, kan?"

Dan saya selamba menjawab; seolah-olah beliau mengenali saya, "selalu hantar, u je yang tak pernah siar!" Dan kami berbual pendek bagaikan sudah saling mengenali, sehingga kawan yang berada di sebelah saya tika itu, menjadi hairan lalu bertanya, "kau memang kenal dia personally ke?" Dan selamba juga saya menjawab, "Aku kenal dia, tapi dia tak kenal aku!"

Dalam perbualan telefon itu, beliau memberitahu yang sajak saya akan disiarkan pada minggu itu. Beliau juga menyarankan agar digugurkan saja baris di bawah tajuknya. Tapi saya memohon agar dikekalkan kerana baris di bawah tajuk sajak itulah yang memberi makna peribadi kepada saya. Beliau terus bersetuju. Dan saya sangat-sangat berterima kasih kepada kepada editor ini.

Sajak inilah sajak pertama yang disiarkan selepas seminggu dihantar ke penerbitan. Sajak-sajak lain mengambil masa yang panjang, sehingga jika tersiar, saya jadi amat terkejut (kerana terlupa ada menghantarnya, dan lebih lagi kerana menyangka TIDAK akan tersiar).



Sunday, November 22, 2009

Catatan Tentang Masa

Cuti sekolah bermula. Tapi kami belum dapat menarik nafas lega. Masih ada sedikit kerja yang perlu diselesaikan. Urusan markah, slip peperiksaan, perancangan tahun hadapan, laporan yang belum selesai... dan bagi yang mengawas SPM dan STPM, masih ada tiga minggu untuk bercuti sepenuhnya. Itupun jika tidak terlibat dengan pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan.

Ada beberapa aktiviti berkaitan sastera, seni tampak dan seni persembahan tradisional di beberapa tempat di KL hujung minggu ini. Hasrat awal hendak hadir salah satu acara terpaksa saya urungkan saja.

Dalam kelam kabut menyiapkan sedikit urusan dalam rumah dan mengejar waktu untuk menyelesaikan urusan sekolah, suami memberikan sebuah buku catatan lama saya yang dia temukan di studionya. Ada sebuah catatan yang saya salin kerana saya sukakan maknanya.

Saya perturunkan di sini sebuah peringatan yang saya salin dari dinding sebuah sekolah:

To realize the value of one year,
ask a student who failed a grade.

To realize the value of one month,
ask a mother who gave birth to a premature baby.

To realize the value of one week,
ask the editor of a weekly newspaper.

To realize the value of one hour,
ask the lovers who are waiting to meet.

To realize the value of one minute,
ask a person who missed a train.

To realize the value of one second,
ask a person who just avoid an accident.

To realize the value of one millisecond,
ask the person who won a silver medal in the olympics.

Treasure every moment you have.

Wednesday, November 18, 2009

Hari Guru 2009

Temanya cross-culture. Dan sungguh tidak disangka rakan-rakan beria-ia menterjemahnya dalam bentuk busana.

Sejenak kami keliru - wanita Korea mana yang muncul di tengah tepukan gamat para murid. Oh! Siti rupanya! Di belakang Siti, si manis Kila bergaya seumpama bintang filem Bollywood

Ha...Kak Ida sudah jadi Puteri Balqis kah? Dan Saiful menjelma Amir Khan!Teman-temannya juga berubah rupa.
Barangkali gaya Azie ini gaya Pocahontas sewaktu hendak ke istana, mengadap raja di London. Ustazah Maznahpun tidak kalah gaya.Pengantin Korea bersama-sama teman-teman Beejaywood,dan Mala si puteri Arab.

Kajol diapit jejaka dan puteri Arabia. Di belakang kelihatan pengantin Korea sedang menuruni tangga.

Gamat juga sambutan hari guru pada tahun ini. Sesekali tidak salah melepas lelah. Sesekali tidak salah untuk bergembira. Seronoknya melihat rakan-rakan guru begitu sporting cuba menepati tema. Tahun hadapan tema apa pula ya?



Monday, November 9, 2009

Teachers wanna have fun too...

Ayuh, ketepikan seketika timbunan kertas yang meminta calitan dakwat merahmu. Lupakan sebentar bebanan tugas yang menuntut waktu, malah mengejar waktu senggangmu!

Polka dots and stripes.... petak-petak juga tidak mengapa. Asal saja bergembira! Ini hari kita. Eh, kenapa pula mesti persoalkan ketepatan waktu tiba. Acaranya 12.30 sehingga 4.30 petang. Tapi janganlah terlalu lewat, nanti kurang waktu untuk kita dapat bersama-sama, dan dengan santai boleh berbual mesra. Hari ini bukan hari untuk bekerja! Majlis ini juga bukan majlis rasmi yang memerlukan kita menghormati protokol!

"Ana punya beras lah, beras..."
"Bukan beras, biras..."

Thorn among the roses

Emm... memang enak!

Nanti dulu! Makanannya kemudian!

Ha... belum dirasa semua, tapi sudah kekenyangan!

Sekejap lagi, kami ulangi meja juadah! Terima kasih para AJK yang bertungkus lumus menjayakan majlis. Kami pulang dengan hati girang. Fikiran pun lapang sudah! Dan akan kembali bekerja dengan semangat kental!

Sunday, November 8, 2009

Sunday, November 1, 2009

Ikut Trend

Rasa-rasanya aliran ini menjadi ikutan dalam lima atau enam tahun kebelakangan ini - majlis graduasi untuk murid-murid tingkatan lima. Majlis ini dibuat seperti majlis graduasi high school dalam filem-filem Amerika (Sekolah sebagai agen perubahan atau penyebar peniruan?).

Majlis tersebut biasanya diadakan sekitar dua atau tiga minggu sebelum SPM bermula. Sekiranya majlis diadakan di hotel, maka guru-guru pun terpaksalah (dipaksa) membayar harga meja.

Dalam majlis tersebut, murid-murid ting lima memakai jubah dan naik ke pentas untuk menerima 'ijazah'. Murid terbaik akademik mahu pun kokurikulum akan menerima sijil masing-masing. Demikian juga murid yang dinobatkan sebagai tokoh murid.

Tamat majlis murid-murid ini akan merakam kenangan dengan melambung 'topi graduan' masing-masing. Tidak ubah majlis konvokesyen di universiti atau kolej. Bezanya, pada hari persekolahan berikutnya, mereka datang kembali ke sekolah, dengan memakai uniform sekolah; untuk kembali menekuni pelajaran sebagai persediaan peperiksaan, manakala yang kaki ponteng tetap meneruskan 'kepontengan' mereka, dan di sinilah pada saya, terletak kelucuan majlis graduasi ini.

Ada sekolah yang mempunyai jubah mereka sendiri untuk majlis ini. Banyak juga sekolah yang menyewa jubah dari sekolah lain atau kolej.

Seandainya saya menjadi pengetua kolej, saya tentu tidak mahu menyewakan jubah kolej saya kepada sekolah, kerana hal ini akan menyebabkan jubah, yang menjadi identiti kolej, hilang nilai ekslusifnya.

Dan sebagai guru kecil pula, saya rasa majlis ini buat peghabih beghaih je...

Friday, October 30, 2009

Imbauan Kinabalu

Hanya untuk menikmati dingin nyaman angin gunung...
Kami minta pemandu van berhenti di suatu tempat. Puncaknya kelihatan seperti bercanda igau para kembara. Seketika jelas, seketika bagai tersipu di balik awan.

Angin membawa bau perbukitan yang segar.

Kundasang War Memorial - menikmati seni taman yang indah.

Peperangan hanya mengingatkan tanah rebutan, lambang penguasaan dan kekayaan ratusan tahun dahulu.

Di sini kami menikmati mertabak sayur yang lazat. Wap dari sup panas melenggokkan kebebasannya dari muka mangkuk, menghantar nikmat buat melawan sejuk udara perbukitan. Wah! Kenyang dan puas menikmati sajian makan malam kami.

Berjalan-jalan di pekan Kundasang, teringat saya akan sajak Lim Swee Tin. Saya perturunkan sajaknya di sini.

Sewaktu Melintasi Kundasang

Sewaktu melintasi Kundasang
Matahari melimpahkan sinar mutiaranya
ke atas bukit-bukit, hutan, deretan lalang

dan kebunan kubis

menyentak celaru kehidupan yang kupapah

sekali gus meresapkan rindu
damai dengan warnanya
tak terusik.


Aku telah dihimpit bising peradaban

kasih dan cinta manusia

yang luput

ketika kau tetap abadi menatap alam
menyaksi kejadian serba takjub

sepi namun sentosa
bahagia sekalipun purba.


Kabus menipis di puncak Kinabalu

jalan di bawah berliku
angin dingin mengusap pohon-pohon
longgokan batu dan serpihan tebing
sewaktu melintasi Kundasang mesra dakap
melupakan aku sedetik, pendatang terasing
kali ini akan kuambil lembutmu

untuk melentur keras watakku.


Dewan Masyarakat, Disember 1989
(Sajak ini menerima Hadiah Sastera Malaysia 1988/89)

Dan saya yakin sekali bahawa paparan lanskap Kundasang di hadapan saya sebenarnya masih sama seperti yang terlukis oleh Lim 20 tahun sebelumnya.

Sesudah pendakian kali pertama (Dis 2007) itu, sewaktu membelek-baca antologi Sukma Cemara (terbitan 2006) oleh penyair yang sama, saya temukan sajak Lim yang lain tentang Kundasang. Dan saya ingin berkongsi jua pengalaman itu.

Kundasang, Kaujabat Tanganku

Kaujabat tanganku, Kundasang
dengan deras dan tajam angin gunungmu.

Kundasang, kaujabat tanganku
dengan ayun dan paut bunga di ranting-ranting.

Kaujabat tanganku, Kundasang
dengan lenggang dan alun awanmu.

Kundasang, kaujabat tanganku
dengan rembas angin dan hujan subuhmu.

Aku datang melengkapkan rindu
Kundasang, nanti pulang kudakap mimpiku.



Orkid - teringat tanaman orkid arwah emak yang mendereti pagar.

Puncak yang terlihat dari Kundasang...

Dan melatari rakaman kenangan. Tunggu ... esok kami takluki mu!

Gerak garis jalaran akar membangkit pesona buat pelukis dan penyair!

Trek pendakian telah tersedia. Pada sesetengah bahagian anak-anak tangga dibina untuk pendaki.

Kalau cuaca menyebelahi kita, pendakian sebenarnya tidak begitu sukar. Itulah yang saya fikir....

Selepas kilometer ke lima, kabus menyebar lembap ke wajah. Dingin menyamankan rasa... Pohon-pohon dan batu-batuan diselaputi lumut. Tanah yang semakin kurang kesuburannya membantutkan pertumbuhan pohon-pohon. Dan urat-urat yang berjalinan pada batang pohonan memberi isyarat ketuaannya.

Pemandangannya sangat mengasyikkan.

Ada ketikanya terasa ingin sahaja berlama-lama duduk menikmati pemandangan, tetapi jika berbuat demikian, keletihan akan menewaskan kita.

Untuk mengekalkan ketahanan badan, bergeraklah mengikut kelajuan yang termampu. Dan kekalkan demikian. Jangan mengejar kawan yang lebih terkehadapan, atau menunggu kawan yang tertinggal di belakang.

Kepingan coklat Cadbury berkacang saya kunyah dengan enak!

Gerak saya dan Baizura beriringan. Tidak terkejar Noraini di hadapan atau ahli-ahli lain dalam kumpulan kami yang jauh lebih pantas. Malang sekali, Yan jauh di belakang tercedera otot rupanya. Dan porter membawanya, dengan ditemani rakan baiknya menuruni gunung. Mereka harus bermalam di pondok Layang-layang, sementara kami meneruskan pendakian ke Laban Rata.

Porter kami, Hamiri, sesudah menghantar Yan dan Zizah ke Layang-layang, kembali mendaki ke Laban Rata untuk mendapatkan makanan dan membawanya turun buat Yan dan Zizah. Kemudian mendaki kembali bersama kami. Wah! Bayangkan! Naik turun gunung enteng sahaja buat mereka (guide dan porter).

Hari semakin gelap. Tenaga semakin berkurangan. Tapi harus terus mendaki Ke Laban Rata. Dan mengigil melawan dingin juga kerana jaket beserta head light berada di dalam bag sandang yang sudahpun ditinggalkan oleh porter kami di tempat penginapan di Laban Rata. Dalam kegelapan, panduan pendakian adalah pantulan cahaya bulan ke batu-batu. (memang cahaya bulan indah sekali saat itu. Tapi aduh... saya terlalu letih dan sejuk untuk menikmatinya...)

Saya dan Baizura tiba di Laban Rata agak lewat, jam 7.00 malam. Suhunya 8 darjah celcius. Saya mengigil, letih dan sejuk berbaur. Dingin masih menguasai walaupun sesudah memakai jaket dan sarung tangan.

Sesudah makan dan minum teh panas di Laban Rata, kami mendaki lagi ke pondok penginapan Gunting Lagadan. Kami perlu tidur dan rehat yang cukup untuk meneruskan pendakian pada jam 2 pagi nanti. Malangnya saya sukar tidur, seperti malam sebelumnya juga.

Kami berkumpul kembali pada jam 2 pagi. Guide menanyakan keadaan kami. Dia mengingatkan, bahawa untuk mendaki ke puncak semangat sahaja tidak mencukupi. Perlu benar-benar fit. Hati saya mulai terdetak kerisauan kerana kepala saya sebenarnya berdenyut akibat kurang tidur; sejak malam kami bertolak ke KK dari Sepang, dan di rumah penginapan di Kundasang. Sejurus sebelum mendaki salah seorang ahli kumpulan kami tiba-tiba pitam. Dia juga sudah tiga malam tidak cukup tidur.

Saya ikut mendaki dengan cuak akan keadaan diri. Tidak jauh, saya mengalah. Saya risaukan migraine. Dan Baizura serta Azka, juga ikut berpatah balik ke Gunting Lagadan. Saya berhasrat untuk untuk tidur sekejap. Hati tetap mahu bangun awal untuk melihat suasana matahari naik di Puncak Kinabalu. Hah! Saya rupa-rupanya tidur cukup nyenyak sekali! Matahari sudahpun tinggi waktu saya terkejut jaga! (Di sini jam enam pagi tidak ubahnya jam 8 pagi di semenanjung).

Saya fikir cukuplah percubaan untuk mendaki ini. Saya berpuas hati juga. Saya bukannya jenis orang yang gemarkan kegiatan lasak. Oh! Rupa-rupanya saya asyik terkenangkan puncak yang tidak mampu saya gapai. Demikian juga Noraini, lebih-lebih lagi kerana dia hanya tinggal 200 meter sahaja untuk ke puncak. Dia dinasihatkan untuk tidak meneruskan pendakian kerana tiupan angin terlalu kencang, 120km sejam.

Panggilan Kinabalu rupa-rupanya begitu kuat. Hanya enam bulan kemudian, saya dan Noraini kembali mendaki. Kali ini kami menakluk puncaknya!

Friday, October 23, 2009

Monolog

Anggaran harga baju sekolah sekolah rendah cap Canggih(bukan kes nak iklan jenama ini, tapi kerana puas hati dengan mutunya) :

Baju sekolah saiz 13 - RM 22.50
Sarung - RM 22.50
Jumlahnya RM 45.00.

Untuk ibu bekerja selesa kalau disediakan 3 pasang supaya kita taklah penat sangat. Jadi jumlahnya RM 135.00.

Baju seragam sekolah Agama pun 3 pasang, jadi RM 135 x 2 = RM 270.00.

Kasut B First lebih kurang RM 20.00, kalau dua pasang RM 40.00. Stokin belilah yang harga offer kat BATA RM10 for 3 pcs (eh, eh ada ke?)

Jadi RM 270 + RM 40 + RM10 (erkkk i hate figures!) = RM 320.00

Kalau beg sekolah kena ganti, belilah yang ada brand sikit, supaya tahan lama (2 hingga 3 tahun). Yang ada brand (bukanlah brand yang gah pun!), lingkungan harga RM 60 - 80. Ok, ambik lah RM 80, jadi jumlahnya RM 400.00 (sssuuuup, darah dah berderau!).

O, o, lepas tu kena pergi beli stationeri pulak. Pencil case kata lah RM 6.00. Lain-lain - pensil, eraser, sharpener, glue, gunting, gam, agaknya lebih kurang RM 25.00. Colour pencil macam mana? Emak ayah orang art, mesti nak beli colour pencil yang berkualiti. Ok lah, set 24 batang harganya RM23. Poster colour tak nak beli ke? Buncho ke alpha ke untuk tahap sekolah rendah? Apa-apa pun dua tiga belas jugak kan? Yang sekolah menengah tu, tak pe, I bagi pinjam colour set guoache I punye. Jadi tak payah beli untuk kakak. Emm... kira-kiranya dekat RM 500 seorang...

Hah! Bonus RM 500.00 saja?! Syukur gak la...

Buku dapat percuma (pinjaman). Jadi yang perlu beli buku tulis, kertas warna (untuk folio macam-macam subjek), lencana dan mungkin sedikit barang-barang kecil yang lain (yang jika dijumlahkan harganya tak kecil! Aduhh...)

Tahun depan Adib dah habis sekolah, jadi kena buat persiapan sekolah untuk dua orang saja. Tapi kena juga sedia perbelanjaan untuk kakak-kakak yang berada di IPTA dan yang akan masuk IPTA (insyaallah).

Oh, oh, anak-anak..., janganlah risau dengan kira-kira umi dan abah ni. Tak ada apa-apa. Biasa lah, hujung tahun kenalah buat kira-kira (zaman sekolah dulu umi dan abah tak suka kira-kira, sekarang kena praktik pulak!)

Zaman 50an dulu pernah lah dengar atau baca, orang kampung bergadai tanah untuk hantar anak ke sekolah. Dengan kata lain, berkorban... Ambik lah semangat orang dulu-dulu (konon)!

Jadi janganlah mengeluh (pujuk hati sendiri...)!

Ops.. hujung tahun ada lelong buku DBP di DAWAMA! Tak jenguk tak puas hati. Kalau jenguk emm.... mesti nak beli. Tapi tak rugi beli buku, kan!

Alahai, I tangguh dululah beli hand bag baru....

Monday, October 19, 2009

Sang Siakap

Life is not a bed of roses...

But a bed of celery stalks

For this garoupa have been bathe in pepper and salt...

And other garnishing to add oomph to our taste bud

And into the steamer I see you off!

Waktu dulu-dulu, arwah ayah bila turun ke KL, akan membawa kami adik beradik ke Kampung Baru untuk menikmati ikan kukus. Saya tidak ingat nama restorannya, tapi yang saya ingat sekeliling restoran didindingi pokok-pokok buluh. Yang gemarkan ikan kukus ayah seorang sahaja. Saya suka ikan bawal masam manis (yang kalau dibuat sendiri tidak pernah menjadi sedap!). Arwah emak dan adik-adik memilih menu lain.

Tapi itu cerita lebih 20 tahun yang lalu... Waktu itu saya tidak pandai memasak apa-apa!

Sekarang saya suka ikan kukus, dan suka juga menyediakannya. Masakan ini sudah menggabung tiga perkara yang perlu ada dalam sajian kita - ikan, kuah dan sayur. Jimat masa dan tenaga. Dan sihat pula. Cuma arwah ayah tidak sempat merasai air tangan saya...

Wednesday, October 14, 2009

Catatan Hari Hujan

Awan menghantar titisnya saat dinihari hampir sampai ke penghujung. Dinginpun menebar ke serata ruang. Sengaja saya tidak menarik gebar membalut kaki kerana enak menikmati dingin sesudah beberapa hari sang rembang gagah memanggang alam.

Saya teringat sajak Zurinah, "Hujan di Kuala Lumpur" - saya perturunkan di sini fragmennya;

Di Kuala Lumpur air amat diperlukan
tetapi hujan tidak dikehendaki.

Hujan pagi
memerangkap kami di jalanan
........

Kalau tidak salah ingatan, terdapat sebuah sajak beliau yang mungkin tajuknya atau mungkin juga frasanya, berbunyi 'berkereta dalam hujan'.

Kerana tidak mahu 'hujan pagi memerangkap saya di jalanan', saya pun keluar dari rumah lebih awal daripada kebiasaan. Enaknya memandu awal pagi. Para pemandu kelihatannya sabar dan sopan bergerak mengikut giliran dan tidak berdahulu-dahuluan. Mungkin juga kerana hujan membuat orang lebih cermat lalu meletakkan aspek keselamatan pada tahap kesedaran yang tinggi. Dan saya santai saja memandu sambil sempat mengerling samar alam pada jam 6.25 pagi.

Enaknya memandu dalam titis hujan yang sederhana lebat dan tidaklah sehingga mengehad jarak pandang. Dengan kelajuan yang sederhana sempatlah saya nikmati, walaupun dengan kerlingan; muka kolam di kiri kanan jalan waktu tiba di Puncak Perdana. Pemandangan di sini memang sentiasa menenangkan, namun pada waktu puncak janganlah berharap untuk bersenang-lenang santai memandu. Anda nanti dijerit oleh hon kenderaan di belakang atau ada saja kenderaan memotong laju sehingga menyentap darah seriau.

Pagi ini sempatlah saya nikmati sejenak cahaya lampu jingga berbaris di jalanan kawasan perumahan, bergandingan dengan kebiruan daripada lampu kediaman membias ke muka kolam. Dan sorot lampu kenderaan pula menghantar pembalikan pada takungan air di atas muka aspal lalu memunculkan titis-titis runcing kaki hujan yang bagai berlompatan, bergiliran membasahi bumi.

Hujan memanjangkan dingin pagi. Saya lalu teringat, pada zaman remaja, dalam cuaca dingin lembap begini, enaknya berselimut sambil menghabiskan bacaan novel... Pada usia dewasa, dengan segala tugas dan tanggungjawab, kesenangan demikian hanya menjengah dalam kenangan. Demikian setiap fasa kehidupan kita melaluinya dengan cara berbeza. Namun kesenangan boleh hadir dalam pelbagai cara.

Pepatah German ada menyatakan, "A man must see a beautiful picture, listen to a fine music, read a poetry; every day in his life."

Mari kita nikmati puisi-puisi di bawah ini:

Siti Zainon Ismail

Selepas Hujan

semestinya
yang datang itu
cumalah keinginan

waktu istirahat begini
usahlah bicara
kita pun telah saling melupakan.

angin menolak
cuaca redup
hujan yang tiba-tiba berhenti
di situ kau laung namaku
aku pun keluar
mengutip kuncup yang mulai mekar
sambil berkaca di padang basah
desahmu yang gugur
aku tertegun kembali
masuk ke alam diri
segala telah jauh.

mei 1977
(Antologi Puisi Putih Sang Kekasih)

T. Alias Taib

kubuka jendela, masuk gerimis

hujan pagi, gerimis senja
dan angin pertama musim gugur
berkesiur di kaca jendela.
kubuka jendela, masuk gerimis
membawa secebis kenangan manis.

hujan pagi, gerimis senja
dan angin pertama musim gugur
menderu dalam kalbuku.
kubuka kalbu, masuk kau
membawa sekelumit kenangan payau.

taipei artis village
beijing east road
22.ix.01

(Antologi Pasar Pengalaman)

Marsli N.O

Ke dalam Hujan

dari langit yang rawan
hujan pun perlahan-lahan jatuh
dan angin menjadi beku dalam kedinginan

lalu pada tanah yang telah melepaskan kemarau
pohon-pohon pun bersegera bangkit
dan bunga-bunga kembali mengembangkan kelopak
lambat dan perlahan
lambat dan perlahan
seperti sayap kupu-kupu yang basah

ketika itu,
kecewa juga kita lepaskan
ke dalam hujan

Januari 1977
(Antologi Kepada Angin Juga)

A. Latiff Mohidin

hujan

di sini
di kota
: hujan :
adalah bunyi
tin-tin kosong
berguling
guling
gu
ling
di atap genting
tidak berhenti
hinggakan
pagi

(Antologi Wayang Pak Dalang)

Catatan:
Terima kasih penyair, lunak bahasa yang kauanyam, menghantar keindahan dan pengertian kehidupan.



Saturday, October 3, 2009

Mimpi Benih Damai

(Buat Sana Shah di Lahore dan anak-anak Seed of Peace seluruh dunia)

Ada rasa menyingkap dukamu
Saat merpati kehilangan putih warnanya
Lukapun mengabar puisi derita
Benua itu sarat sengketa
nyawa manusia pertaruhan tanpa harga
Tapi cinta tetap bertelaga di matamu, Sana
Mengerlip membisiki mimpi
Di dadamu tumbuh subur.

Saat kaujabat
tangan para sahabat
Penghuni kecil dunia
Sesama mengakrabi kasih insani
Tanpa ras, tiada kasta
Meski kulit berbeza warna
Cinta berkelopak sesama manusia.

Tapi mimpi cinta
Lindap di matamu, Sana
Keamanan dan kecintaan
Hanyalah debu angan-angan
Kerana dunia menyesah
Gelombang nafasnya yang lelah
Kemanusiaan luluh di hujung senjata
Cinta menzarah dengan harga tak terjangkau
Darah melakar kanvas sejarah
Bangsamu diintai dendam tak sudah.

Jangan tangisi cinta yang mendebu, Sana
Teruskan karangi nyanyi benih damai
Dengan anak-anak dari segenap bangsa
Memang suara kecil tidak bisa mengubah dunia
Tapi dendang cinta harus terus menyebar
Melodinya ke serata benua.

Rositah Hj Ibrahim
(Prahara di Padang Karbala, 2003/Terbitan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan Kerjasama Pustaka Nusa Sdn Bhd)

Sajak di atas terhasil setelah menatap sekeping foto dalam majalah Newsweek. Foto itu memaparkan profil seorang gadis yang sedang merenung masjid di kejauhan dari sebuah bangunan ( kelihatannya seperti balkoni sebuah bangunan).

Rencana yang mengiringi gambar itu mengisahkan seorang gadis 14 tahun bernama Sana Shah, dari Lahore. Dia telah memenangi sebuah pertandingan karangan yang dikhususkan kepada kanak-kanak di negara-negara yang dilanda peperangan. Pertandingan itu dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan bernama Seed of Peace yang berpengkalan di Amerika. Seed of Peace telah memilih dan mengumpulkan pemenang-pemenang pertandingan itu di sebuah daerah di Amerika dan menganjurkan aktiviti untuk anak-anak ini.

Saya tidak berapa ingat tentang aktiviti yang dijalani oleh anak-anak ini. Tapi apa yang yang saya pasti adalah mereka berkumpul di suatu tempat, menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak dan melupakan keperitan peperangan.

Setelah melalui suatu tempoh masa, mereka pun pulang ke negara asal. Rencana ini menyoroti kehidupan harian gadis kecil itu di tempat asalnya. Dipaparkan juga foto Sana Shah bersama rakan-rakan sekolahnya.

Saya lalu membayangkan sebuah dunia yang bebas sengketa...
Saya terbayangkan lukisan matahari tersenyum yang dibuat oleh anak-anak kita...
Saya teringat pameran lukisan kanak-kanak dari sebuah negara yang sentiasa berdarah - darahnya menyimbah ke atas kanvas!

Saturday, September 26, 2009

Raya - Sebelum dan Selepas

I love baking, however these things make seasonal appearance on our working table (err... in our small-house-case, it is a working table cum dining table!). Those cute cookie cutter, rolling pint, hazelnut, walnut, almond etc, etc.

I used to bake cake and cookies in my teenage days. I went through trial and error, since my mother never had her hand in baking. My nasty brother used to tease me with his famous script, "Pah tu, jadi seghupo dale gambar dok?," reffering to my one and only coloured pages recipe book at that time. (The book was borrowed by some one and it never made it's way back to my kithen, opps... my mother's kitchen!)

I beat butter and sugar with a balloon whisk. It took a real hard work to make it creamy. Most of the time, it was not not creamy enough and my cake turned out hard. This gave my nasty brother another chance to have a good laugh!

My late father then bought me a Phillip hand-free cake mixer. Much to my relief. But I did wonder how on earth he got to know the appliance. I was very glad to have it. I was form three at that time (1979), and believe it or not, I'm still using the same cake mixer! It still work wonder even though it has to be hand-held since the bowl and it's stand had already broken ten years ago.

I bake cakes quite often. But baking cookies is ussually done during the festive season. It is fun, especially if your kids gather arround you, trying to do whatever task you ask them to, then waiting by the oven till the cookies are done and smell the sweet-smell of the newly baked cookies. (Baking cookies all by your self could be a little bit bore...though!).

The kids, especially Adib, shows interest in baking (and cooking as well). A few years back, she wanted to do the baking by herself. So I gave her the instruction and guidance of the steps should be taken. And since then I haven't been baking (cookise)... Now a proud mother's task is just to buy the ingredients... Adib does all the baking and my other girls would give their hands.

This year, however, I have to make some cookies (my little Najaa helps with the cookie cutter) because Adib is having her SPM trial exam. Nevertheless, Adib with Fathanah's help, come out with a few... their famous (among the cousins) choc chip is the one that couldn't be left out.

The recipe books I collect over the years.

Thanks to Chef Wan and Betty Saw. Theirs are superb because you would not go wrong if you follow the recipes accurately. And my brother now smile a sheepish smile over the cakes I pack for his chidren whenever they come over for a visit. He is in food business now ... tuck-shop operator, caterer and a restaurateour.

After Raya Kat Kampung...

It is the time to browse the woman magazines and recipe books ... still. Now is the time to decide whether it will be mee rebus or mee kari, laksa utara or laksa Johor!

So when will be the makan festival over? Every weekend there are a few houses should be visited. And every house has it's main dish. Biskut raya? They will taste nicer after Syawal is over!

One weekend, I decided to try my hand at Mee Sup. Emm... boleh la... And only after the guests had their meal, then I realised that I forgot to serve the fried shallots, bird-eye chillies and other garnishings!

Wednesday, September 16, 2009

Serupa Tapi Tak Sama

Buku di atas adalah antara buku yang menjadi rujukan pelajar kesusateraan. Saya temui buku yang sama tetapi terbitan yang jauh lebih awal (di bawah) dalam koleksi suami.

Semasa mengemas barang-barang milik peribadi sebelum meninggalkan asrama Seroja, saya terjumpa buku di bawah. Puas saya tanyakan teman-teman sebilik, tetapi tiada yang mengaku sebagai pemilik. Saya tanyakan jika ada sesiapa yang hendak menyimpannya, semua menggeleng. Daripada ditinggalkan begitu saja, lebih baik saya simpan, bukan begitu?

Buku di bawah sudah saya mesrai sejak saya belum pandai membaca! Topiknya lebih kurang sama dengan buku di atas.

Setiap kali balik ke rumah nenek, saya menemukan buku ini. Bila nenek ikut berpindah dan tinggal bersama kami, buku ini ikut sekali berpindah rumah. Bila saya pula berpindah kerana berkahwin, saya membawa buku ini bersama-sama. Buku ini diterbitkan pada tahun 1960; usianya lebih tua daripada saya! Pada bahagian-bahagian muka surat yang separa kosong terdapat lakaran saya sewaktu kecil. Sebab itulah buku ini menjadi bagai suatu nostalgia buat saya.

Lihat, alangkah berbeza mutu dan kaedah percetakannya! Sengaja saya tunjukkan kulit belakangnya sekali.

Buku berikut tidak ada apa-apa persamaan dengan mana-mana buku yang saya tampilkan dalam posting ini.

Sewaktu mula-mula mengajar pada tahun 1990, saya bertugas di SMK Puteri Wilayah, di Kampung Baru. Saya mengajar sesi petang. Dalam perjalanan ke sekolah saya melalui Pustaka Antara. Sering saya keluar awal dari rumah dan menghabiskan masa di situ. Buku di bawah saya temui di kedai buku tersebut.

Selain itu ada dua buah buku cerita kanak-kanak terbitan lama yang saya beli kerana ilustrasinya sangat cantik. Sayangnya buku itu akhirnya terkoyak di tangan anak-anak yang masih kecil ketika itu, dan helai-helaiannya hilang semasa berpindah rumah.

Buku di atas juga mengingatkan saya pada sebuah buku berjudul The Malay Sketches (Terlupa pulak nama penjajah yang menulis buku ini. Ada sesiapa teringat nama penulisnya? Tolong beritahu, ya!). Walaupun membacanya membuat hati menjadi sakit, sayang pada buku itu tetap ada. Buku itu saya peroleh sewaktu guru pusat sumber sekolah hendak menghapus-kira buku-buku lama. Saya dengan segera menyambarnya, di samping beberapa buku lain. Sayang sekali buku ini telah tiada dalam simpanan. Mungkin tercicir semasa berpindah rumah, atau mungkin juga semasa bertukar sekolah.

Sunday, September 13, 2009

Bunga di Atas Meja

Memang kuharapkan ia terus mekar
Tika kudup yang lain mulai terbuka
Tapi angin menyapa
Dan warnamu yang semakin tua
Meninggalkan debu jingga
Pada pasu dan buku-buku
Di atas meja.

Memang kuharapkan ia terus mekar
Tika kudup kecil mulai mengundang rama-rama
Yang hinggap seketika dengan sayap tergigil
Tapi kelopakmu yang mala
Meninggalkan sayu di ruang kamar.

Memang kita sebenarnya bisa menduga
Seri itu akan berakhir jua
Namun tiap kali kuganti pasu
Dengan kuntuman yang baru
Sering kuharap ia
Menyulam ke dalam mimpi.

Memang kita sering terlupa
Keindahan yang ada
Meski sementara
Bisa jua melontar celaru dan buru-buru
Hidup sentiasa mahal dengan waktu
Untuk seketika tidak bisa teralpa
Namun sesekali gapailah
Secebis keindahan dengan bahasa kalbu
Untuk lebih mengerti cinta
Untuk lebih memaknakan
Tujuan hidup kita.

Rositah Hj Ibrahim
Jelita Julai 2007


Saturday, September 12, 2009

Cerita Siput

Ini bukan cerita siput yang menipu dalam perlumbaan lari. Ini cerita kreativiti orang Melayu dulu-dulu dalam menghasilkan bentuk makanan yang menarik. Tengoklah acuan kuih siput - sekeping papan bergerigi untuk memberi jalinan permukaan pada gentelan adunan gandum, mentega, gula, dan bahan-bahan sampingan lain untuk memberi rasa kepada kudapan yang tidak mengandungi sebarang bentuk perisa tiruan.

Siput mempunyai rupa permukaan yang menarik. Cengkerangnya bercorak pusar diterjemahkan sebagai motif ragam hias dalam seni rupa Melayu. Dalam anyaman kita temui corak buntut siput. Dalam batik juga terdapat corak bergarisan organik dinamakan dengan makhluk ini.

Pernah dengar buntut siput pada hujung jari?

Konon-kononnya barang sesiapa yang mempunya urat jari buntut siput, orang itu pandai memasak.

Tapi jenis siput babi yang ada di laman rumah kita dimusuhi kerana merosakkan tanaman!
Manakala bagi penggemar siput sedut, jika dibuat masak lemak nikmatnya jadi igauan!

Kueh siput mungkin tidak disifatkan sebagai makanan yang exotic. Tapi jika beramai-ramai menonton TV dengan sebalang kuih siput, saya pasti sangat melekakan. Sedar- sedar balang telah licin-licau!

Saya membeli tiga acuan kuih siput. Tapi akhirnya tinggal satu sahaja. Dua lagi dipinjam suami - dia hendak mengajar anak-anak kecil tajuk jalinan dalam satu sesi children's art classnya. Tapi dia terlupa hendak mengembalikannya ke dapur dan saya pun tidak menuntut kerana belum hendak menggunakannya. Akhirnya tak tahu terselit di mana ...

Sayapun menyusuri kedai untuk membeli ganti. Tapi yang saya temui acuan plastik. Tidak jadi dibeli. Hilang originaliti! Sewaktu balik ke Kelantan, saya memasuki pasar Machang dengan harapan ada acuan siput kayu, tapi yang saya temui plastik juga. (Aduh, sudah kurangkah kayu di Malaysia akibat pembangunan?) Tiada pilihan, sayapun belilah juga. Tapi akhirnya saya temui acuan diperbuat daripada kayu di Pekan Rabu Alor Setar. Alhamdulillah, masih cukup kayu-kayan di negara kita...

Sebenarnya ada beberapa lagi barang kecil-kecil di dapur yang jadi 'mangsa' children art class suami...

Sewaktu anak mencari-cari sejenis acuan tekan untuk membentuk biskut, saya terdengar suami bertanyakan anak, "Bagaimana rupanya?" Setelah diterangkan oleh anak dia pun menjawab, "Oo yang tu abah tak ambik. Acuan lompang ada la abah ambik untuk buat sculpture!"

Hahh??

Sepanjang bulan puasa ini sudah dua kali kami membuat kuih siput. Kononnya untuk juadah raya, tapi tak sempat... belumpun seminggu, kuih itu tinggal serdaknya sahaja. Tak apa, boleh buat lagi! Kuih siput, yang tentunya mengambil ide dari corak makhluk kecil itu senang sahaja dibuat dan seronok pula kalau dibuat beramai-ramai.

Alam terkembang menjadi guru
Ilham orang dahulu kala
Juadah terhidang merai tetamu
Moga teguh persahabatan kita.

Thursday, September 10, 2009

Usia

Usia

Jari-jari meraba angka muka kalendar
Kutahu, aku telah tewas pada waktu
Ia berlalu terlalu cepat, tak sempat kuburu
Sekian banyak tersesia
Kerana banyak menunggu.

Ranting-ranting renggeh menjulang angkasa
Musim menyihir hijau daun ke coklat tua
Berebutan membajai tanah
Angin mengabar berita
Alam menginjaki usia.

Rositah Hj Ibrahim
Puncak Alam

Wednesday, September 9, 2009

Al Fatihah

Bekas MB Kelantan Tan Sri Mohd Yaacob, 85, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai, semalam, setelah menderitasakit barah paru-paru selama setahun.

Saturday, September 5, 2009

TV Lagi...

I managed to make my hubby watched hindi movie along with me! Ha ha!

Sounds romantic? If you have the typical Hindi movies in your mind, then, yes it is!

I am not a fan of Hindi movies. Hindi movies always make me fall asleep. But I admit that I did watch a few 'hot' movies - Kabhi Kushi..., Duplicate, and Bobby (that was YEARS ago!).

But the movie which I want to talk about is not like any typical Hindi movie at all. There is no song, thus no dance! No changing of beautiful clothes, and the casts look very much like the ordinary people you meet in the streets. If you expect the dolled-up heroines and sooo-good-looking heroes, then you should forget about this movie.

It is about BLACK. I watched this movie some time ago. Even though not from the beginninng of the film, I was so touched by it. TV 3 aired the film again this evening, and i relate to my husband how beautiful the film is. And together we enjoyed the movie.

I am not the right person to talk about films, movies, because I always fail to pay a hundred percent of attention. Once in a while I have to get up to do the laundry and etc, etc. But i do enjoy good movies.

BLACK might not potray an ordinary Indian society. The westernised Indians, yes. And to me the important thing is, it's the value of humanities, relation-ship, love.... life, matter most. And they are conveyed artisticaly.

The narration is not straight-forward. The philosophy of life is uttered now and then.

If you are a kind of of soft-hearted, be prepared to wipe the corner of your eyes... It is not the tears of the casts that make you want to cry, but the expression, dialogues, make your heart sink... Even the joy send water to your eyes.

And the cinematography is splendid. The inter-play of light and shadow contributes a kind of visual dialogue.

For movie-goers, or fan of serious movies, BLACK is not new, because this film actually was produced a few years ago.

I jot down a few beautiful lines from its subtitles:

'Hidup bukan kegelapan, tapi penuh cahaya.'

'Hidup bagai ais krim, nikmatinya sebelum ia mencair.'


'Labah-labah berjaya membuat sarangnya, kura-kura berjaya merentasi gurun.'

Amitabh Bachan, no doubt is a good actor. Rani Mukherji - plays her role well.

The film is directed by Sanjay Leela, who is the screen play writer as well. And there are a few other writers involve for it's english dialogues.

Wednesday, September 2, 2009

TV Kita

Semalam, sesudah berbuka, saya berehat-rehat sementara menunggu giliran bilik air (macam cerita P Ramlee pulak!), saya 'tertonton' sebuah rancangan TV (tidak pasti dan tidak ambil tahupun saluran mana). Rancangan itu adalah rancangan komedi dan pasti saja bertujuan untuk membuat anda ketawa. Malangnya saya menjadi sakit hati! Saya menekan butang info, lalu tahulah saya bahawa rancangan itu diterbitkan oleh seorang celebrity yang mempunyai ijazah dari sebuah IPT terkemuka. Memanglah sudah diketahui umum bahawa lebih kurang demikianlah hasil kerja watak ini. Saya jadi tertanya-tanya sendiri, bila 'tokoh' ini hendak menjadi lebih cerdik? Sekurang-kurangnya jagalah martabat ijazah yang dimilikinya.

Stesen TV diterajui oleh orang-orang berpendidikan, tetapi anehnya rancangan yang dipilih untuk disajikan kepada penonton, banyak yang tidak mempunyai pengisian apa-apa. Jenaka murahan seperti yang dihasilkan oleh 'tokoh' ini yang dibeli untuk disiarkan buat hiburan penonton.... Penonton bukan bodoh! Baiklah tonton rancangan Tom And Jerry Show!

Saya tutup TV!

Bercakap tentang rancangan TV, saya lebih rela menonton ulang tayang filem P Ramlee. Dan saya tahu saya tidak keseorangan dalam hal ini. Saya ternanti-nanti untuk mendengar alunan Tunggu Sekejap dalam Sarjan Hasan. Getaran Jiwa, Jeritan Batinku dan banyak lagi yang tidak puas didengar. Berapa kali sudah menonton Kasim Selamat (opp Ibu Mertuaku), sepatutnya sudah tidak terasa lagi keharuannya. Tapi saya tetap sebak apabila mendengar suara Mami yang penuh keibuan itu menyapa Kasim yang tertidur di halaman rumahnya.

Usia bidang penyiaran negara kita semakin tua, tetapi tidak semestinya semakin tua semakin matang....

Saya tidak nafikan ada rancangan TV yang baik, tetapi yang sampah lebih banyak.

Thursday, August 27, 2009

Nasi Kerabu, sajian negeri Kelantan

Nasi kerabu buat berbuka
juadah diramu cara tradisi
Sesama dikongsi saudara tetangga
Limpah rezekimu mohon diberkati


Tidak lengkap hidangan nasi kerabu andai ulamnya tidak diramu bersama pucuk serai kayu ini. Rasanya sedikit kelat, tapi kelat yang sedap. Apa lagi jika teradun bersama bunga kantan, kacang panjang dan timun, dan saya suka kalau ada sekali daun salad Cameron. Di Selangor, hirisan daun kubis pun turut dicampur beserta taugeh.

Pokok serai kayu ini ada sejarahnya.

Semasa tinggal di Gombak, seorang kawan membawa anak pokok yang kecil. Saya membawanya balik dan menanamnya. Subur tumbuhnya walaupun saya memiliki yellow fingers(!), iaitu lawan green fingers!

Bila berpindah ke Puncak Alam, pokok itu dibawa bersama tapi hayatnya tidak lama. Saya lalu meminta emak saudara bawakan anak pokok ini. Mak Su bawa dua, yang kekal hayatnya satu. Yang satu inipun saya dapati telah diserang kulat.

Di Kelantan, pokok ini tidak ditanam orang. Tumbuhnya subur saja antara semak-samun.

Nasi Kerabu, nasinya ada tiga warna. Warna kuningnya daripada kunyit, dicampur dengan daun limau purut. Yang berwarna biru diperoleh dari bunga telang. Pokok ini pun ada di rumah saya. Senang saja tumbuhnya. Dan ada yang berwarna asalnya, iaitu putih. Saya lebih suka yang putih.

Lauk nasi kerabu ada pelbagai. Agaknya yang paling sinonim dengan budaya Kelantan adalah solok lada dan ikan goreng celup tepung. Lain-lain lauk - daging bakar, ayam goreng, telur asin, keropok... Pada saya cukup ikan goreng celup tepung, telur asin dan keropok.

Tapi tidaklah nasi kerabu namanya kalau tidak ada sambal tumisnya beserta kelapa parut bergaul isi ikan, bawang, serai dan lada hitam.

Tuesday, August 25, 2009

membaca Sajak Zurinah

Zurinah Hasan, penyair yang ku kenali lewat puisi-puisinya yang tersiar dalam Dewan Sastera. Waktu itu aku dalam tingkatan satu, dan baru berjinak-jinak membaca Dewan Sastera.

Dewan Sastera senang ditemui di pekan kecilku dalam tahun-tahun 70an. Kedai Buku Melati, kedai buku yang paling maju kukira di pekan kecilku waktu itu, sentiasa ada terbitan majalah dan buku terbaru. Manakala jika hendak cari Dewan Sastera keluaran yang lepas-lepas, aku akan menyusuri kedai buku kecil, Pustaka Buku Marhan (di situ kutemui Sayang Ustazah Sayang, Salmi Manja). Dan kerap juga aku membelek-belek majalah di Pustaka Setia Raya. Di situ aku terjumpa sajak-sajak Lim Swee Tin. Tidak sangka pula, penyairnya bertugas di sekolahku selepas dua tahun aku hanya mengenali namanya lewat sajak.

Dari perpustakaan sekolah ku temui 'Sesayup Jalan'. Dalam tekun menghayati Sesayup Jalan, aku mengakrabi juga Dalam Pelarian Zaihasra dan Nyanyian Malam Siti Zainon. Selain mendekati puisi karya penulis wanita lain seperti Habsah Hasan dan Siti Zaleha Hashim.

Membaca sajak Zurinah kita akan mendapat kesan bahawa permainan katanya tidak sekadar menyedapkan bunyi agar kedengaran enak bila dibaca; tapi membawa erti dan pemikiran. Pemilihan kata yang sederhana, namun membawa pemikiran yang bermakna.

Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
ada bunga yang tidak dapat digubah
sesedap titah.
Seorang perempuan pun ada kalanya
berhak memiliki kebebasan
seorang sultan pun ada kalanya
harus tunduk kepada kesalahan.

(Zurinah Hasan ;'Pesanan Puteri gunung Ledang kepada Sultan Mahmud')

A
ku titipkan di sini sebuah coretan kecil yang aku tuliskan setelah mengulang baca beberapa antologi beliau yang ada dalam koleksiku.

SAJAK-SAJAK ZURINAH

Semakin dibaca
semakin tertikam sukma
lunak bahasa tidak dibumbui bunga-bunganya
tapi jalur pemikiran
dan renungan
menebar ke luas kehidupan.

Rositah Ibrahim
30.03.06
Puncak Alam

Monday, August 24, 2009

Buku Oh Buku

Hari ke tiga puasa. Tahun ini aku hanya membalas dua 'sms puasa' (ucapan selamat menyambut Ramadhan), dan mengirim ucapan via sms kepada seorang teman, dengan tujuan lebih untuk bertanya kabar tentang sakitnya.

Hari ke tiga puasa dan hari pertama cuti sekolah (tolaklah Sabtu dan Ahad - itu cuti hujung minggu!). Aku merenung habuk pada buku-buku di atas rak sewaktu kucari buku yang diperlukan oleh anakku. Sudah tiba waktu untuk mengemas dan menyusun kembali. Sudah ada buku-buku yang berpindah tempat (berpindah ke rak buku kecil di tingkat bawah, atau tergeletak di atas meja kopi di ruang tamu). Buku yang dikehendaki anak jenuh kucari, akhirnya terjumpa terselit antara koleksi novel. Buku biografi Tun Abdul Razak itu sepatutnya berada di bahagian lain. Bagaimana boleh tersesat ke bahagian novel. Pasti sudah, waktu untuk kembali menyusun dan membersihkan habuk!

Dalam Dewan Sastera Disember 2006, ada tulisan Baha Zain berjudul 'Buku oh Buku! Aku cinta kamu, beri aku ilmu'. Katanya setiap kali berkemas kerana pindah rumah, bukulah satu-satunya yang tidak dibuang (selain isteri(!) kerana isteri bukan barang, dan sangat diperlukan). Menariknya pengalaman berpindah rumah dengan buku yang banyak ini mungkin sedikit sebanyak punya persamaan dengan kami sekeluarga. Cuma pasti sekali buku-buku kami tentu saja tidak sebanyak buku beliau- barangkali sekitar 1/10 sahaja daripada jumlah buku yang beliau miliki. Dan koleksi kami itu terasa banyak kerana kami tidak miliki barang-barang berharga yang lain (kecuali lukisan). Itupun koleksi kecil kami sudah cukup mengagumkan beberapa tetamu (yang bukan terdiri daripada teman-teman sepengajian dulu).Belum lagi melihat jumlah yang ada di tingkat atas, atau yang terpaksa kusorong ke bawah katil kerana tidak cukup ruang!

Kini setelah mempunyai rumah sendiri, dapatlah kubuat ruang yang khusus untuk buku, walaupun tempatnya terpaksa berkongsi dengan perabot asas di bilik utama. Tiada lagi yang terpaksa kusorong ke bawah katil.

Aku percaya golongan penulis adalah golongan yang memiliki paling banyak buku. Aku bukan penulis, tapi kesenangan terhadap bahan bacaan ini sangat mengasyikkan. Setiap kali mengemas buku-buku di atas rak, sama ada di bilik atau di ruang tamu, kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh 1 jam itu berlarut menjadi hampir setengah hari! Kenapa? Kerana setiap kali mengemas, setiap kali itulah aku aku membelek-belek dan mengulang-baca beberapa bahagian muka surat, seolah-olah buku itu baru sahaja dimiliki.

Harus diakui juga ada novel yang tidak habis dibaca kerana tidak suka, atau dibaca langkau-langkau untuk mengetahui penghujungnya saja. Dan ada yang dibaca berulang kali kerana sukakan ayat-ayatnya yang terjalin. The Soul Mountain karya Gao Xinjian, kuulang-ulang beberapa muka surat yang sama kerana ayat dan gambaran suasananya sangat indah - akhirnya novel yang tebal itu tidak dapat dihabiskan!

Sewaktu membaca buku itu pada waktu senggang di sekolah, seorang guru matematik berbangsa cina menegurku, "Wa! You read that book aa! Very difficult you know! My friend read in chinese also don't understand!" Kami pernah juga berbual-bual tentang beberapa judul buku, dan aku mendapat kesan dia membaca juga karya sastera. "But my wife don't read la!"

Ada novel yang kubaca kerana jalinan ceritanya. Waiting karya Ha Jin, awalnya terasa sangat konvensional (terlalu konvensional kadang-kadang agak membosankan), tapi kugagahi kerana teringat Pak Samad mengatakan, "That book is very good!" Dalam satu pertemuan dengan beliau aku nyatakan bahawa aku 'tidak berani' membeli Waiting walaupun setiap kali ternampak buku itu di MPH, aku rasa tergoda untuk memilikinya. Aku jadi tidak berani kerana mengenangkan The Soul Mountain yang tidak habis kubaca. Rupa-rupanya Waiting mempunyai daya tarikan yang mendesak kita untuk menghabiskannya, dan mengulangi bacaan juga.

The God of Small Things dan Angela's Ashes adalah antara novel yang kerap kuulang. Novel melayu? Novel melayu tentulah yang paling banyak kuulang-baca! Aku bermula dengan novel-novel berbahasa Melayu!

Seorang guru matematik semasa darjah enam (dia pernah mengajar kami Ilmu Alam semasa kami darjah empat), Cikgu Awang Mohamad namanya; adalah individu yang banyak mempengaruhi kami untuk membaca novel. Dia selalu menyebutkan judul-judul novel, antara yang kuingat adalah Ranjau sepanjang Jalan, Srengenge, Tenggelamnya Kapal Ven der Wick, Di bawah Lindungan Kaabah; dan menceritakan keseronokan membaca buku-buku yang disebutkannya itu. Kami lalu berlumba-lumba mencari buku-buku yang disebutkannya dan sering bertukar-tukar buku sesama teman.

Di rumah seorang teman pula, kebetulan bapanya pernah mengajarku semasa aku darjah satu, aku temui Angin Timur Laut, Sandera, Juara dan beberapa novel lagi; yang kemudiannya ku ketahui sebagai karya-karya penting dalam sejarah sastera. Waktu itu budak-budak lagi! manalah aku tahu kesemua itu merupakan karya penting!

Sewaktu zaman kanak-kanak juga, aku sering menghabiskan cuti persekolahanku di rumah ayah di Dabong atau Gua Musang. Ayah selalu ditugaskan ke kawasan 'ulu'. Kami adik beradik tidak ikut berpindah mengikut ayah bertugas kerana ayah tidak mahu mengganggu persekolahan kami. Lagi pula kawasan-kawasan itu masih mundur, jauh dari kemudahan asas. Tapi sebagai pekerja kerajaan, rumah ayah lengkap berpili dan ada kuasa elektrik dari generator.

Tempat-tempat itu pada waktu itu hanya mempunyai jalan keretapi saja sebagai bentuk perhubungan(murid-murid sekolah di kawasan itu, nak ke sekolah terdekat pun terpaksa menaiki keretapi!). Tiada kemudahan elektrik, jadi tiada TV. Maka buku cerita menjadi syaratku kepada ayah sekiranya ayah mahu aku dan adikku mengikutinya semasa cuti sekolah panjang. Masih kuingat sebuah antologi drama yang kubeli di stesen keretapi Kuala Krai, 'Memburu Bulan Sabit'. Sewaktu membaca buku itu sementara menanti keretapi bergerak, seorang kenalan ayah berbangsa cina tertarik pada buku itu dan memintanya dariku. Dia membelek-belek buku itu. Ada nama watak 'Malisa', lalu dia bertanya dengan pelat cina, "Apa itu Malisa? Malaysia ka?" Ayah menjawab dengan pelat cina juga, "Bukan, itu perempuan punya nama!"

Kalaulah aku memiliki buku-buku yang pernah kubaca/ pinjam semasa zaman kanak-kanak dulu..

Kadang-kadang kerja mengulang-baca semasa mengemas ini terlalu mengasyikkan sehingga matlamat mengemas itu sendiri tidak tercapai!

Dan alangkah bahagianya melihat buku-buku tersusun cantik! Kebahagiaannya berlarutan. Kadang-kadang tercegat di hadapan susunan buku beberapa ketika sambil membayangkan aku memiliki rumah yang lebih besar dan koleksi yang lebih banyak!

Ada sebilangan kecil buku yang lesap kerana berpindah tangan - menjadi koleksi anak-anak! Itu tidak mengapa. Yang dipinjam oleh kawan-kawan 'kirim salam' sajalah. Tidak akan kembali lagi lah jawabnya. Oh! tak juga! Kawan yang meminjam Wi dan William tulisan Azizi telah memulangkan buku tersebut. Tapi buku Glenn Dorman, Bagaimana Meningkatkan Kecerdasan Anak Anda (buku terjemahan yang dilelong dengan harga RM10 saja), rasanya tidak ternampak bayang untuk kembali ke rak bukuku. Telah masuk TUJUH tahun kawanku meminjam (MEMINJAM?) buku itu!

Ada buku yang sama kubeli dua kali. Antara yang kuingat, Salina, Hujan Pagi, Saga - terpaksa kubeli lagi untuk menggantikan buku-buku yang 'dipinjam-ambil' oleh teman-teman. Ada waktunya, jika dalam kemampuan pada waktu-waktu tertentu, kubeli buku yang pernah kumiliki atau baca semasa zaman anak-anak atau semasa bersekolah menengah. Misalnya antologi cepen 'Benda Ajaib di Bilik Tertutup' yang pernah kumiliki semasa aku dalam darjah tiga.

Jualan murah buku-buku DBP di Dawama mengasyikkan dan menyeronokkan kami sekeluarga. Bayangkan ada buku berharga RM1.00! Seronoknya memborong!

Tapi terdetik juga sedikit kecewa di sudut hati, melihat buku yang terpaksa dilelong dengan harga yang sebegitu rendah. Terasa tidak padan jika dibuat perbandingan antara isinya dengan harganya, lebih-lebih lagilah dengan nama penulisnya, walaupun setahuku royalti kepada penulisnya tidak ada 'discount' seperti harga bukunya dijual. Tetapi DBP perlu menghabiskan stoknya (ya la, buku-buku DBP susah ditemui dalam pasaran, jadi cukup tahun kena lah lelong!), dan aku pengguna perlu mengira setiap sen yang kubelanja. Tolak tepilah harga itu! Boronglah banyak-banyak!

Aku kagum pada orang yang banyak membaca. Stamina orang seperti ini sungguh luar biasa sebenarnya. Stamina orang yang banyak membaca ini sebenarnya lebih banyak daripada stamina orang yang mendaki gunung! Bagaimana hendak kuperoleh stamina seperti ini?

Dua tiga hari sebelum puasa, aku menerima kiriman hadiah yang akan kusimpan sampai bila-bila! Seorang teman telah menitipkan dua buah antologi puisi. Terima kasih, Aris!

Dan hasrat hendak mengemas rak buku hari ini masih tidak tercapai!