Wednesday, January 20, 2010

Catatan- catan Suri

Hidup kita sudah ringkas dan mudah!

Membasuh membilas tidak perlu ke kali atau perigi
Tidak lagi mengadap tungku menghembus bara api
Atau membakar arang di dalam tembaga yang mencabar upaya.

Tapi kita masih menghela lelah!

Pakaian dari mesin pencuci ke ampaian
Pengering elektrik....hmm...
mewah matahari mengggaring di bumi tropika
Tapi waktu menyidai tinggal sejemput!

Nasi ditanak secara automatik
Ayam dan sayur, juadah siap-sedia yang terhidang
Rentak waktu yang pantas, kita pun letih
Lalu tidak mungkin cerewet dan pemilih.


Denting sudu dan mangkuk berlaga di sinki
sebentar lagi pakaian dilipat rapi
menuju almari
atau menyerah pada haba panas
menyingkir kedutan merapi penampilan
segak pemakainya, lelahnya siapa menanggung!

Oh setiap ruang habuk bertandang
Lekas, hidupkan penyedut, tolak ke sana ke mari
Bukankah baik jika ditekan punat ia bergerak sendiri!
Mungkinlah aku melayani hati,
membancuh warna, mencatat puisi
melontar raung diam yang terbenam!


"Hei! Naughty! Ayuh ke tepi!"

Saturday, January 16, 2010

SPBT

Sewaktu membalut buku teks Najaa, ada dua perkara yang terlintas dalam fikiran.

Pertama, kenangan terhadap aktiviti 'berkumpulan' bagi kakak-kakaknya suatu ketika dahulu. Saya membantu sewaktu mereka masih belum diharapkan untuk memegang gunting tanpa pengawasan. Apabila Najaa memasuki darjah satu, buku-bukunya dibalut oleh kakak-kakak, yang dalam masa yang sama membalut buku mereka juga.

Kini, kakak-kakaknya hanya tinggal seorang yang masih bersekolah (dan menerima buku teks yang sudah berbalut plastik). Tiada lagi aktiviti membalut buku beramai-ramai.

Keduanya kenangan bersama buku.

Saya hanya memperoleh pinjaman buku teks sewaktu berada dalam tingkatan lima. Permohonan mendapatkan buku teks sebelumnya tidak pernah berjaya, dan saya tidak kesalpun. Sebaliknya saya lega. Saya lega kerana saya 'terselamat' daripada mengguna buku teks yang rata-ratanya lunyai. Arwah ayah pula tidak mendesak untuk membuat rayuan.

Waktu itu saya tidak fikirkan kesusahan orang tua menabung untuk memastikan buku-buku keperluan saya mencukupi. Apa yang saya fikirkan hanyalah keseronokan ke kedai buku bersama-sama ayah - membeli buku keperluan sekolah, dan yang tentu tidak tercicir adalah sebuah dua novel yang menarik perhatian saya, akan termasuk dalam senarai.

Dan saya menggunakan buku teks dengan cermat. Buku teks sentiasa berada dalam keadaan baik. Berbalut plastik jernih dan terjaga rapi sehingga diturunkan kepada adik saya. Kebiasaannya pada tahun berikutnya pula, jiran saya akan membelinya dengan separuh harga.

Melayani kenangan itu, terfikir saya, apakah generasi kini tahu untuk menghargai buku-buku teks yang diberi pinjam kepada mereka. Saya terfikirkan hal ini kerana beberapa insiden di sekolah.

Suatu ketika, sewaktu berlangsung peperiksaan pertengahan tahun; seperti kelazimannya murid dikehendaki meletakkan buku teks mereka di luar bilik darjah. Hari itu adalah hari terakhir peperiksaan dan keesokan harinya cuti pertengahan selama satu minggu akan bermula.

Sebaik tamat cuti persekolahan, sungguh saya kecewa apabila saya kembali ke sekolah kerana mendapati bukan dua tiga buah, malah bukan juga lima enam buah buku teks yang ditinggalkan begitu sahaja di luar bilik darjah. Sebaliknya berlonggok-longgok di sepanjang tepi dinding kelas. Koridor bilik kelas terdedah kepada matahari dan hujan. Sedikitpun anak-anak sekolah ini tidak memikirkan keperluan buku teks ini kepada mereka, malah tidak fikirpun untuk menjaga buku yang mereka pinjam itu. (Dalam masa yang sama, saya akui juga guru terakhir yang mengawas peperiksaan seharusnya memastikan juga agar murid mengambil kembali buku-buku pinjaman mereka itu sebelum melepaskan mereka balik).

Lalu sayapun bertindak 'kejam' - kesemua buku yang ditinggalkan selama seminggu itu saya kutip dan serahkan kepada AJK Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Memang kerap saya bertindak menyerahkan sahaja buku teks yang saya temui ditinggalkan di merata-rata tempat. Walaupun tertera nama dan tingkatan peminjam pada buku tersebut, saya tidak berusaha mencari pelajar terbabit. Kalau pelajar tersebut sedar akan kehilangan buku, pasti laporan dibuat. Tetapi laporan tidak pernah dibuat, dan mereka hanya sedar buku mereka tidak cukup bilangan sewaktu hendak menyerahkan kembali kepada AJK SPBT.

Murid juga rata-ratanya lebih suka meninggalkan buku-buku teks di dalam meja (bagi sekolah satu sesi) bilik kelas. Dalam hal inipun, saya bertindak kejam juga. Sekiranya saya adalah guru pada waktu terakhir untuk hari itu, saya arahkan kesemua murid agar mengosongkan meja sebelum balik. Pada saya, buku yang diberi pinjam itu untuk dibaca, dirujuk, selepas sesuatu topik diajari guru. Jika ditinggalkan begitu sahaja di dalam meja kelas, SIAPA yang hendak menelaahnya?

Sekiranya sewaktu saya mengajar, ada murid dari kelas lain yang datang untuk meminjam buku daripada kawan-kawan mereka, pun saya tidak benarkan. Sudah diberi pinjam, bermakna sudah memiliki buku, lalu kenapa tidak dibawa? Terlupa? Atau sudah hilang kerana ditinggalkan merata-rata?

Dalam insiden yang lain, seorang murid ditahan slip keputusan peperiksaan SPM. Dia hanya menghantar buku SPBT setelah keputusan SPM diumumkan, tapi dia tidak membayar denda kerana menghantar buku SPBT lewat (seperti denda kerana lewat mengembalikan buku perpustakaan). Mahu tidak mahu akhirnya dia akur kepada denda yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Saya percaya jika kita mudah mendapat sesuatu, kita tidak pandai untuk menghargainya. Inilah nasib buku teks di tangan anak-anak yang meletakkan pelajaran sebagai perkara yang boleh dibuat sambil lewa.