Thursday, March 18, 2010

Sajak dan kenangan

Sajak di atas tersiar dalam majalah Jelita Okt 2002. Saya agak ralat kerana dalam bait ke tiga, satu baris (baris kedua) telah hilang!

Bait ke tiga seharusnya begini:

Barangkali teduh wajahmu
pada titik penghabisan
kau pastinya....

Saya bertemu dengan tokoh ini sekali dua saja, tapi berita tentang kepulangannya menyentap suatu perasaan yang sukar saya gambarkan ketika itu. Hanya setelah meneliti kembali sajak ini sebelum menghantarnya ke penerbitan, barulah saya mula ternampak beberapa hal yang memungkinkan kata demi kata terangkai dan teralir membentuk sajak.

Beliau bapa sahabat saya.
Sahabat saya berada beribu batu di seberang lautan semasa pemergiannya.
Beliau bukan sebarangan - kerja tangannya mendapat pengiktirafan.

Saya juga telah kehilangan bapa, dan kehilangan itu terjadi pada saat saya langsung tidak menduga untuk mempersiapkan diri bagi menghadapinya. Saya harus meredai bahawa saya tidak dapat menatapnya buat kali terakhir. Bapa meninggal menjelang subuh (rupa-rupanya hal itulah yang menyebabkan saya terjaga dan berasa gelisah tidak menentu). Telefon di rumah rosak, lalu saya mendapat berita agak lewat. Memburukkan keadaan lagi saya hanya memperoleh penerbangan jam enam petang. Itulah yang dikatakan ketentuan Ilahi. Dan menjadi anak yang paling manja menjadikan saya sukar untuk memujuk diri agar menjadi kuat. Arwah ibu malah kelihatan jauh lebih kuat daripada saya.

Bapa sahabat saya ini seorang pengukir (saya seharusnya meletakkan "Si Pengukir" sebagai tajuk sajak ini!). Seorang bapa saudara saya pernah menceritakan yang arwah datuk saya adalah tukang ukir. Bezanya datuk saya adalah tukang ukir kampung yang tidak mendapat apa-apa anugerah.

Datuk saya meninggal sewaktu saya dalam darjah dua. Daripada nenek (juga sudah meninggal) saya mendapat tahu bahawa datuk saya sering dijemput untuk melagukan syair. Kata nenek lagi kalau beliau berlagu syair, babak sedihnya, walaupun sudah didengar berkali-kali tetap meruntun-runtun air mata untuk mengalir.

Saya cuma mengingati beliau sebagai tukang buat perahu. Perahu yang sedang diberinya sentuhan akhir adalah tempat saya, adik dan sepupu, bermain - beraksi mendayung dan menjala.

Saya juga masih ingat bagaimana marahnya datuk kerana termakan buah melaka (di Kelantan kami menyebutnya sebagai ondeh-ondeh) yang dibubuh garam dan bukan gula melaka (gula manisan)! Rupa-rupanya seorang bapa saudara sengaja mengisi garam ke dalam ondeh-ondeh untuk mengenakan abang saya!

Itulah sejalur kenangan terhadap mereka yang telah pergi.
Al Fatihah untuk mereka yang telah memberikan kita kebahagiaan semasa hayat masih ada.

4 comments:

tsabri said...

Thanks Eta for writing about my Gemuloh. I didn't realize it till I surfed your blog_ or perhaps I've forgotten it. Visit http://tsabri.wordpress.com/ if you wanna know how he lived in the 1940s/1950s Kelantan. Ha ha kita orang ada juga blog, cuma tak nak bising2: tapi sekarang dah announce ni. Hope to visit Puncak Alam _ mesti banyak cerita kembara eropah ni...

Rositah Ibrahim said...

Good that you've announced it... would love to read it too. And thanks for your response. Would you mind if we link it to budakad82?

tsabri said...

yes, why not.

NASSURY IBRAHIM said...

Kita banyak kehilangan tokoh dan tidak terakam. Kesannya, generasi baru tak sayang bangsanya kerana tak tau kehebatan bangsanya.