Thursday, January 8, 2015

Ilmu, Pelajaran, dan Pengajaran


Pelajaran dan ilmu itu tidak hanya diperoleh di bilik darjah atau di dewan kuliah. Kita mempelajari sesuatu daripada perkara sekecil-kecilnya jika kita menanggapinya sebagai pelajaran dan pengajaran. Dan kita tidak beroleh apa-apa dari ilmuwan tersohor di dewan dingin andai tertutup hati untuk menerimanya.

Seorang kawan, yang muda usianya, merengus sedih dan geram kerana adiknya yang sedang belajar di benua Eropah, menggunakan wang biasiswa untuk 'melancong' - itu istilahnya.

Saya tergamam sekejap mendengar luahan hatinya. Saya teringatkan anak-anak saya di luar negara. Sebelum mereka berangkatpun telah saya pesan, bahawa peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan biaya kerajaan, bukan peluang yang datang kepada setiap orang. Berjimat dan kumpullah duit untuk mengambil peluang mengenal bumi Tuhan ini. Jangan jadi katak di bawah tempurung. Saya telah melepaskan mereka dengan bimbang ibu. Dalam bimbang itu, mereka telah sampai ke banyak tempat yang berbeza warna dan suasana. Dan saya ikuti cerita dan pengalaman mereka dengan jalur komunikasi yang mudah zaman ini. Harapan saya, pengalaman itu juga bakal menjadi pelajaran untuk membentuk diri.

Mereka telah memulai semester ke lima kini. Alhamdulillah, Si Adib mendapat dean's list. Bukan kepalang gembiranya dia menyampai berita itu kepada kami. Maklumlah kali pertama! Tentu sahaja bahagia orang tua berganda-ganda! Si adik juga menyampaikan berita yang menyenangkan.

Teringat pula sewaktu anak-anak saya bersekolah dulu - saya selalu menyatakan bahawa mendapat 'A' bukanlah segala-galanya. Saya bukan jenis ibu yang memberi tekanan dan mahu mereka bermati-matian hanya untuk memperoleh 'A' di atas kertas (Oh! Barangkali ini sebabnya si adik tidak mengulangkaji sehingga saat-saat terakhir menghadapi SPM!) Libatkan diri dengan segala aktiviti ko-kurikulum. Syukur, seperti kakak-kakak, mereka juga aktif. Banyak sebenarnya yang boleh dipelajari dari situ. Kini sebagai pelajar pemegang biasiswa, pesan saya berlainan - berusahalah. Buatlah sebaik mungkin. Ini amanah. Dalam proses penyesuaian menuntut ilmu di dunia yang asing budayanya, tentu ada cabarannya. Mengharungi cabaran itu juga suatu pelajaran. Semoga mereka memperoleh sesuatu daripadanya.

Sebagai orang tua, kita hanya berdoa....






Wednesday, January 7, 2015

Pada Hari Ulang Tahun

Saya sedar sudah lama saya tidak mencoret pada blog saya.  Selalu saja saya mendahulukan perkara-perkara lain, biarpun ada sahaja yang sebenar hendak dicatat. 
Barangkali baik juga saya mulakan kembali pada ulang tahun saya ini!

i.
Orang kampung generasi saya tidak atau jarang dibiasakan dengan sambutan hari lahir. Waktu kanak-kanak dahulu saya cemburukan dua tiga orang kawan yang menjemput kawan-kawan ke rumah untuk acara hari jadi. Walaupun begitu tidak pernah pula saya meminta emak agar mengadakan sambutan demikian supaya saya juga dapat menjemput kawan-kawan, menyanyi, meniup lilin kemudian mendapat tepukan!

Tetapi apabila tinggal di asrama ucap selamat ini menjadi kebiasaan. Aneh, dapat pula mengubat homesick!

Poskad ucapan hari lahir daripada anakanda - diterima tiga minggu lebih awal. 

iii.
Hari lahir membuat saya teringat sebuah sajak penyair Indonesia - saya lupa nama penyairnya, juga judul sajaknya. Tapi isinya menceritakan perihal anaknya yang meminta untuk dibelikan kek dengan lilin untuk ditiup. Dan dia gusar kerana wangnya 'tidak cukup untuk membeli lipstik isteriku' . Dan suatu malam letrik terputus, reaksi anaknya adalah 'untung jua tiada listrik, dapat jua kutiup lilin'.

Sajak itu memberi kesan pada saya. Keinginan anak kecil itu sama seperti keinginan saya suatu ketika dahulu, cuma saya tidak meminta.  Sesudah memiliki anak, saya selalu mengingatkan diri agar tidak meremehkan keinginan anak-anak, dan dalam masa yang sama ajari mereka untuk menimbang terima  nilai yang perlu diterapkan. 

iv.
Ulang tahun kelahiran diri sendiri pada saya tiada yang berbeza kecuali tentang sesuatu yang dimaknakan. Saya mahu memaknakannya.