Saturday, July 3, 2010

'Sirih Junjung' ke ni?


Buat gubahan sirih junjung untuk majlis sekolah? Ohh! Saya suka tu...! Pandai tidak, tapi saya suka untuk mencubanya.


Sewaktu bersekolah dulu, saya pernah terlibat dengan acara sambutan seorang pembesar yang dijemput untuk majlis penyampaian hadiah. Saya dan murid-murid yang lain dikehendaki membawa sirih junjung dan bunga pahar mengiringi pembesar tersebut. Sirih junjung digubah, dicucuk ke atas batang pisang sebagai bahan dasar. Manakala bunga pahar pula dicucuk di sekeliling pulut kuning yang dibentuk berupa seakan-akan kubah. Kesemuanya diletakkan di atas pahar tembaga. Berat? Ya, agak berat.

Zaman berubah. Batang pisang atau betik yang masih hijau pejal sebagai dasar diganti dengan polistirin. Bunga pahar juga kini di'cucuk' pada tempat khas yang diperbuat daripada seramik.

Dan yang paling membuat saya terkilan adalah permintaan pihak sekolah agar saya menggunakan daun sirih plastik untuk membuat sirih junjung!

Saya memujuk ketua bidang saya agar menggunakan daun sirih segar. Kata saya, hilang keaslian. Tapi alasan yang diberikan kepada saya, jimat kos. "Tahun depan, boleh guna lagi..."

Saya berkompromi. Saya buat sirih junjung menggunakan daun plastik (malangnya saya tidak memperoleh daun yang berbentuk daun sirih!). Namun saya khaskan juga sedikit ruang untuk daun sirih asli dan bunga segar. Sekurang-kurangnya adalah sedikit semangat dan sifat sirih junjung.

Sirih junjung yang saya gubah itu digunakan di sekolah selama dua tahun.

Tahun ini kita buat yang baru, ya! Warnanya biarlah merah jambu. Warna yang manis untuk anak-anak sekolah.

Saya gunakan baki daun plastik yang pernah digunakan dua tahun lepas. Ditambah dengan daun getah kering yang ada dalam simpanan saya. Dan bunga ros palsu! Tidak ada yang asli lagi!

Saya pernah diberitahu bahawa gubahan sirih junjung mestilah mirip bentuk kon -mengecil ke atas. Bahan utama semestilah daun sirih. Bunga-bungaan dan hiasan lain hanya sebagai sampingan sahaja.

Saya kemudiannya menyedari bahawa saya banyak menggunakan bahan sampingan! Sudahlah menggunakan daun plastik!! Anak-anak sekolah melihat sirih junjung berdaun plastik...

Bagaimana kalau dalam majlis perkahwinan zaman akan datang orang beralih kepada daun sirih plastik? Sirih sudah tidak ditanam orang.... Oh! Saya harap hal ini tidak berlaku!

Hendak mengekalkan tradisi memang banyak dugaan, lebih-lebih jika tradisi itu dilingkungi oleh budaya semasa yang menuntut perubahan oleh kekangan yang ada pada waktu itu. Maka kefahaman terhadap unsur-unsur asas dalam sesuatu tradisi perlulah kita fahami agar jika perlu membuat perubahan dalam perkembangan semasa, perubahan itu lebih berupa penyambungan terhadap apa yang telah sedia ada tanpa mengurangkan atau menghilangkan semangat juga maksud asalnya.





Thursday, July 1, 2010

Belum Bersajak....


Monolog Air

Kumasuki lembah
dengan alir gagah
membenam belantara usia berjuta
dan segala ceritanya.

Kutakluki lekuk dan lurahnya
bahasa rimba
masih setia dengan segala rahsia.

Kusingkir daratan dengan pohon-pohonannya
kota airku saujana
kusebar kedinginan
pada biasan bayang-bayang
dalam pegun kau menatapnya.

Kuapungkan kesenyapan
pada tenang permukaan
kupinjamkan kedamaian
buat kau memunggah lelah
yang terheret pada setiap langkah
di celah susur kota
yang riuh dengan segala duga dan peristiwa.

Kubiar angin seenaknya berpapasan
di bawah awan
percakapan yang diam
dan kau mendengarnya
bak milik alam berseloka
kutahu
kaubawa cinta
menyatu dan akur akan nikmatNya.

Rositah Hj Ibrahim
Tasik Temenggor - Royal Belum 2010