Saturday, July 3, 2010

'Sirih Junjung' ke ni?


Buat gubahan sirih junjung untuk majlis sekolah? Ohh! Saya suka tu...! Pandai tidak, tapi saya suka untuk mencubanya.


Sewaktu bersekolah dulu, saya pernah terlibat dengan acara sambutan seorang pembesar yang dijemput untuk majlis penyampaian hadiah. Saya dan murid-murid yang lain dikehendaki membawa sirih junjung dan bunga pahar mengiringi pembesar tersebut. Sirih junjung digubah, dicucuk ke atas batang pisang sebagai bahan dasar. Manakala bunga pahar pula dicucuk di sekeliling pulut kuning yang dibentuk berupa seakan-akan kubah. Kesemuanya diletakkan di atas pahar tembaga. Berat? Ya, agak berat.

Zaman berubah. Batang pisang atau betik yang masih hijau pejal sebagai dasar diganti dengan polistirin. Bunga pahar juga kini di'cucuk' pada tempat khas yang diperbuat daripada seramik.

Dan yang paling membuat saya terkilan adalah permintaan pihak sekolah agar saya menggunakan daun sirih plastik untuk membuat sirih junjung!

Saya memujuk ketua bidang saya agar menggunakan daun sirih segar. Kata saya, hilang keaslian. Tapi alasan yang diberikan kepada saya, jimat kos. "Tahun depan, boleh guna lagi..."

Saya berkompromi. Saya buat sirih junjung menggunakan daun plastik (malangnya saya tidak memperoleh daun yang berbentuk daun sirih!). Namun saya khaskan juga sedikit ruang untuk daun sirih asli dan bunga segar. Sekurang-kurangnya adalah sedikit semangat dan sifat sirih junjung.

Sirih junjung yang saya gubah itu digunakan di sekolah selama dua tahun.

Tahun ini kita buat yang baru, ya! Warnanya biarlah merah jambu. Warna yang manis untuk anak-anak sekolah.

Saya gunakan baki daun plastik yang pernah digunakan dua tahun lepas. Ditambah dengan daun getah kering yang ada dalam simpanan saya. Dan bunga ros palsu! Tidak ada yang asli lagi!

Saya pernah diberitahu bahawa gubahan sirih junjung mestilah mirip bentuk kon -mengecil ke atas. Bahan utama semestilah daun sirih. Bunga-bungaan dan hiasan lain hanya sebagai sampingan sahaja.

Saya kemudiannya menyedari bahawa saya banyak menggunakan bahan sampingan! Sudahlah menggunakan daun plastik!! Anak-anak sekolah melihat sirih junjung berdaun plastik...

Bagaimana kalau dalam majlis perkahwinan zaman akan datang orang beralih kepada daun sirih plastik? Sirih sudah tidak ditanam orang.... Oh! Saya harap hal ini tidak berlaku!

Hendak mengekalkan tradisi memang banyak dugaan, lebih-lebih jika tradisi itu dilingkungi oleh budaya semasa yang menuntut perubahan oleh kekangan yang ada pada waktu itu. Maka kefahaman terhadap unsur-unsur asas dalam sesuatu tradisi perlulah kita fahami agar jika perlu membuat perubahan dalam perkembangan semasa, perubahan itu lebih berupa penyambungan terhadap apa yang telah sedia ada tanpa mengurangkan atau menghilangkan semangat juga maksud asalnya.





3 comments:

FaAtip said...

kak eta, I pun x setuju guna daun pelesu..sungguh tak asli. Hmmm...itu pun they all nak jimat kos, kan?

Saring Boy said...

Ternyata, lambat laun, generasi muda tidak berpeluang mengalami keaslian budaya nenek moyang, hanya mengenali melalui buku buku sejarah...amat menyedihkan, kemajuan teknoloji telah merabunkan kita semua yang mencemarkan pemikiran anak anak kita....

Rositah Ibrahim said...

Mari kita pakat ramai-ramai tanam sirih...