Sewaktu membelek-belek kotak yang menyimpan hasil penulisan selama mengikuti kursus Penulisan Kreatif (RSSK) di USM tahun 1987-88, saya mendapati sehimpunan sajak telah dimakan anai-anai. Rasanya baru sebulan dua (iaitu kali terakhir saya membelek-belek kotak itu) helaian-helaian ini masih berada dalam keadaan baik. Segera saya menaip dan menyimpan sajak-sajak itu dalam komputer.
Saya kemudiannya memeriksa fail-fail lain. Oh! Rupa-rupanya hanya failnya sahaja kelihatan elok. Isinya sudah lebur! Tamatlah 'riwayat' cerpen-cerpen yang tidak pernah saya hantar ke mana-mana penerbitan. Fail itu juga berisi penulisan kritikan sastera, iaitu kelas Cikgu Shahnon, semasa mengikuti RSSK - hasil penulisan yang saya sayangi kerana terdapat ulasan dengan tulisan tangan SN Datuk Shahnon Ahmad (Saya ingat, hari pertama mengikuti kelas beliau, saya melakar potretnya sewaktu beliau menerangkan keperluan kursus!)
Dua tahun dahulu, anai-anai sudah mengerjakan banyak karya suami. Lalu kami bertindak mengambil khidmat pest-control.
Sehari suntuk saya mengosongkan rak buku di kamar utama. Memeriksa sarang anai-anai. Empat petak daripadanya terpaksa saya kosongkan kerana sudah menjadi rumah sang anai-anai. Nasib baik buku yang rosak cuma lima buah. Tetapi mengosongkan empat petak rak menimbulkan masalah lain - di mana pula harus saya tempatkan isinya! Kesemua petak sudah bersesak-sesak, malah melimpah! Kalau buku-buku itu boleh bersuara, tentu saja mereka sudah berteriak meminta saya sediakan ruang yang lebih selesa. Saya selalu terbayangkan, bagaimanalah agaknya himpunan buku rakan-rakan penulis...koleksi saya barangkali tidak lebih daripada 1/4 buku-buku mereka!
Buku kesayangan suami, tulisan Pablo Neruda; buku panduan kesihatan ibu hamil yang saya kutip sewaktu seorang guru hendak menghapus-kira buku-buku lama; novel sulung kakak ipar, Salmiah Alias: Cowrie Emas, bekas peguam yang kini membuka sekolah agama persendirian; novel kanak-kanak Gadis Bunga Teratai karya Hassan Ali, lelongan Dawama yang berharga RM1 (saya beli juga; rugi kalau tak beli sebab terlalu murah! Boleh simpan untuk Najaa), dan novel klasik Jane Austen, Northanger Abbey.
Hanya Cowrie Emas yang masih boleh diselamatkan. Residence of Earth Neruda sudah hancur...aduh! Memang buku ini masih terjual di Kinokuniya, tapi harganya...aduh...!
Ralat sungguh kalau buku yang dipinjam orang, dikembalikan dalam keadaan lusuh. Ralat lagilah kalau kehilangannya. Lebih sepuluh tahun dahulu, saya terpaksa membuang koleksi majalah Dewan Sastera tahun 70an yang saya simpan/tinggalkan di kampung. Waktu itu kami masih tinggal menyewa dan tidak kecukupan ruang - maklumlah rumahnya kecil (kereta pun kecil!). Jadi untuk memunggahnya harus difikir berkali-kali.
Betullah kata orang, rumah tinggal akan 'merajuk'. Rumah peninggalan arwah ibu yang kosong tidak berpenghuni rosak di sana-sini. Bilik saya bocor, mengorbankan koleksi Dewan Sastera yang saya kumpul sejak dalam tingkatan dua.
Kini kami berdepan dengan masalah anai-anai. Kalau dibiarkan akan banyak lagi buku yang rosak. Lukisan-lukisan suami yang ditempatkan di rumah bersebelahan, belum diperiksa. Harap-harap selamat.
Ohhh...pest -control...kenalah cari mereka!
6 comments:
Cis...!!! durjana kau sang anai-anai...memamg dasar pemusnah...harus di lenyapkan selamanya...tapi, ia diperlukan dalam kitaran hidup ciptaan Allah yang maha Esa.....terpaksalah cari pest controller bangat2 untuk spray satu rumah....
Berkongsi pandangan kalau sudi. Amalan saya sekali dalam setahun, paling tidak, dilaksanakan upacara "membongkar sejarah". Simpanan buku-buku lama dan kertas, dibongkar untuk menilai semula kerelevanannya. Yang tidak perlu ditimbng kilo atau jadikan kompos.
Dengan begitu cepat menyedari kehadiran anasir asing. Paling tidak. Dan upacara itu seringnya ketika berkemas rumah menjelang Idulfitri atau saat otak sulit mencerna idea dan kerja menulis.
MARSLI N.O
Tuan Saring, hmm...betul...semua makhluk ada peranan.
Sdr Marsli, setuju dengan upacara 'membongkar sejarah'. Lebih-lebih lagi untuk orang yang ada sifat'sayang-nak-buang, mana-tahu-boleh-recycle'. Sudahnya banyak la benda-benda menimbun, menyempitkan ruang yang sememangnya terhad.
Terima kasih.
Salam,
Puan Rositah,
Saya membongkar koleksi di rumah ibu setahun sekali seperti Pak Marsli. Khuatirkan serangan ulat buku dan anai-anai. Terbaiknya simpan dalam kotak kayu terawat. Khazanah saya sejak sekolah rendah masih utuh. Anai-anai segan hendak makan kayu yang terawat bahan kimia.
Tuan FS, terima kasih. bagaimana caranya merawat kayu seperti yang tuan katakan itu?
itulah pembunuh senyap
Post a Comment