Tiba-tiba pagi ini, sebelum ke sekolah, saya teringat hendak mengulang baca Hikayat Hang Tuah. Saya capai buku daripada rak, dan di sekolah* saya membaca secara langkau-langkau beserta mencatat serba sedikit. Terlupa sekejap Bedar Sukma Bisu (Faizal Tehrani) yang belum selesai dibaca.
(*kerja sekolah yang ada saya lupakan sebentar. Saya sudah selesai menyerahkan markah, jadi saya mahu bersenang-senang dengan novel, sementara kembali menyambung kerja-kerja yang masih belum selesai. Menjadi guru sama juga dengan suri rumah - kerja sentiasa ada, berantai-rantai.)
Membaca Hang Tuah mengingatkan saya kepada sebuah sajak yang pernah terhasil.
Apabila kita Bertanya
Kita telah terlalu banyak bertanya
mengapa kesetiaan Tuah terhapus oleh pesona
atau bendahara melanggar titah raja dalam diam
Jebat pula harus mati dalam setia-kawan
kitapun melakar potret bangsa
yang pernah keliru
antara kesetiaan dan kebenaran
mana dulu harus ditegakkan
kedaulatan atau keberaniankah yang harus dimuliakan?
Apabila kita bertanya
derita lahuma bila akhirnya
benarkah demikian
payah mengeja huruf kejadian
demi menyuap kehidupan
Jeha yang kenanaran
betapkah nipis keimanan
tidakkah hadir
takwa dan redha
buat mengembalikan kewarasan?
Perlukah kita bertanya
apakah makna cinta Salina
mengapakah masih kesombongan lelaki
tersandar di dadanya
apakah kewarasan harus terhapus
oleh derita berentetan
apakah kewajaran terpadam
oleh bayangan waktu silam?
Apabila kita bertanya
persoalan demi persoalan
apakah mungkin terungkai jawapan
yang tersisip di tikungan kehidupan
sejauh mana kita merungkai siratan makna
percikan kebijaksanaan sasterawan bangsa?
Rositah Ibrahim
Puncak Alam
3 comments:
Puan,
Bagus sekali sajaknya. Ah, kepingin saya mahu menulis sebegitu.
Semoga sihat sejahtera hendaknya.
Teringat akan kisah2 silam yang di ceritakan semasa kecil oleh warga emas yang Tok Janggut pernah bertarung dengan mat salleh di kampung sebelah.....
FS, terima kasih.
SB,Saring memang tempat tok janggut.Masa sekolah dulu, kita tak diajar sejarah setempat (tak ada dalam silibus)jadi sejarah negeri sendiri kita hanya dengar daripada mulut orang-orang tua.
Post a Comment