Monday, November 29, 2010

Cerita Biasa

Cerita 1 - Sejak dilancarkan koc merah jambu, pernah juga saya dan anak-anak gadis saya menggunakan perkhidmatan itu. (Kalau hendak membeli belah di bandar raya, lebih senang kalau menaiki komuter - tidak perlu fikir tempat parking kereta!) Dan setiap kali kami menaiki koc merah jambu, ada saja jejaka yang 'tersesat' masuk. Pernah saya lihat seorang jejaka melayu kelihatannya seperti dalam usia awal 3o-an - berbadan besar (kalau dia kecil molek pasti sudah saya hantar jelingan maut!), duduk bersandar sambil memeluk tubuh. Wah! Gayanya selesa sekali! Dia berkaca mata hitam (rayban tipu), memakai baju biru gelap, bertali pinggang kulit dan berseluar corduroy merah (saya ulang, corduroy merah!). Begitu berwarna-warni, sayang sekali dia tidak kenal warna merah jambu!

Sewaktu tren berhenti di suatu perhentian, dan pintu terbuka, sempat saya lihat seorang lelaki kurus, berpakaian kemas, buru-buru mengejar pintu yang terbuka. Tetapi demi terpandang logo koc merah jambu, dia membatalkan hasrat. Hmm...lelaki berkemeja putih dengan seluar kelabu itu lebih kenal warna!

Cerita 2 - Awal pagi. Saya selesai urusan di bank dan menuju ke mesin pembayar tempat letak kereta sebuah kompleks beli belah. Saya masukkan kad parking ke mesin pembayar. Bacaan tertera, RM1. Saya hanya ada syiling 80sen, dan selebihnya wang kertas merah. Tiada pilihan, saya masukkan wang sepuluh ringgit sambil membayangkan bakinya duit syiling yang pastinya berat! Tapi oh! Wang kertas tidak diterima - ya masih pagi, mesin pun belum miliki syiling! Tiket parking juga diluah bersama.

Pemuda di belakang saya berkata, "Kak, parkingnya seringgit saja!" Saya lalu terfikir hendak ke mana-mana kedai (tapi pagi masih awal -masih banyak kedai yang belum memulakan perniagaan) untuk membeli akhbar atau apa sahaja bagi mendapat wang kecil, bila seorang lelaki India pertengahan umur di belakang pemuda tadi menghulurkan saya sehelai wang kertas RM1. Melihat saya serba salah dia lalu berkata,"You can have this."

"How am I going to pay you?" Saya masih serba salah. Lelaki India itu ketawa kecil sambil berkata, "You can pay me in future!" Sayapun menerima budi baik lelaki India itu. Dan dia pun tidak menolak syiling berjumlah 80 sen yang saya ada.

Syukurlah, masih ada yang budiman dalam dunia ini.


Sunday, November 14, 2010

Aksara Cinta Buat Sahabat

Bagaimana harus kusulam aksara, merungkai kata
setelah sekian lama terpisah
oleh batas waktu dan sempadan daerah
hari ini kita menjabat salam pertemuan
mencari titik mula kita kehilangan
menelusuri jejak-jejak yang kita tinggalkan.

Kita harungi onak remaja
saat derita berkongsi tangis, bahagia sesama tertawa
atau rajuk yang sering terpujuk
di piala setiakawan.
Tidak lupa menggalas tanggungjawab di pundak muda
pesanan ayah bonda dan amanah bangsa
menara gading medan kita
membina prasasti, memacak teguh dan percaya
ketekunan, keazaman dan cekal usaha
menjelma kemilau permata, menyuluhi jalan kita.

Takwim waktu menghantar kita
melangkahi lawang kehidupan
alun kehidupan mengajar kita mengenali gelombang
perahu keyakinan ada kalanya goyah oleh payah realiti
namun tidak pernah tewas tekad terbina
menggapai cita yang pernah tercipta.

Takwim waktu jualah mengheret kita
ke gerbang kedewasaan, mencipta ruang lain kehidupan
membina keluarga dengan semaian cinta
diri mengukuh perkasa
sehingga waktu menjadi begitu terburu
lalu tidak sempat kita menoleh atau menunggu.

Musim-musim yang kita tinggalkan
kian meminggir teman daripada pandangan
tapi buru-buru kehidupan tidak selamanya membentang halang
monumen kenangan menyampaikan salam ingatan
bilah-bilah rindu ada kalanya mengusik keharuan
dalam sepi
kita tangisi teman-teman yang lebih dahulu mengadap Ilahi
atau tertanya jua
handai taulan yang tak terjejak kabar berita.

Demikian sukar menenun aksara menggitakan cinta
pada detik pertemuan ini
kita maknakanlah kesempatan yang ada
dengan salam kasih kita rapatkan sekian jurang terbina
Silaturrahim kita pereratkan
perkukuh ukhuwah sesama kita
menunai tuntutanNya jua,
gapailah insaf dalam getar kalbu
kita masih dikurniaNya secebis waktu.

Rositah Ibrahim
Malam Secebis Merah 2006