Penulis adalah orang yang menghasilkan karya penulisan dan memenuhi kehidupannya dengan aktiviti selayaknya sebagai seorang penulis. Demikian yang saya fahami. Dan tidak sedikit kekaguman saya terhadap mereka yang sangat ahli menggunakan rangkai kata berseni buat menzahirkan pemikiran sehingga menimbulkan kesan rasa kepada pembacanya.
Semalam saya menerima panggilan telefon daripada ITBM - memaklumkan jemputan ke majlis pelancaran buku. Ya, antologi saya 'Bunga di atas Meja' akan dilancarkan dalam majlis "Pelancaran Buku Sepuluh Penulis Wanita". Tidak sedikit beban yang terhumban ke bahu saya andai dengan hanya sebuah buku saya dilabelkan sebagai penulis!
III
Ya, saya menulis sedikit sajak - hasil permainan kata yang terawangan dalam fikiran jika ada perkara-perkara di sekitar saya mengusik rasa. Permainan kata yang ada kalanya terlepas oleh kesibukan yang lain. Rasa yang terlupakan kerana ada perkara yang lebih mendesak tindak. Rentak kehidupan saya adalah kelaziman yang tidak punya apa-apa keistimewaan untuk digelarkan sebagai penulis!
Saya melukis. Saya melukis bila ada gerak rasa untuk melukis. Saya juga melukis selayaknya tuntutan sebagai seorang pengajar seni visual. Dan hal ini tentu saja tidak melayakkan saya untuk bergelar pelukis!
IV
Sekadar merangkai kata demi kata tidaklah sajak namanya.
Sekadar mencalit garis, melontar warna, tidaklah catan namanya.
No comments:
Post a Comment