Saturday, September 12, 2009

Cerita Siput

Ini bukan cerita siput yang menipu dalam perlumbaan lari. Ini cerita kreativiti orang Melayu dulu-dulu dalam menghasilkan bentuk makanan yang menarik. Tengoklah acuan kuih siput - sekeping papan bergerigi untuk memberi jalinan permukaan pada gentelan adunan gandum, mentega, gula, dan bahan-bahan sampingan lain untuk memberi rasa kepada kudapan yang tidak mengandungi sebarang bentuk perisa tiruan.

Siput mempunyai rupa permukaan yang menarik. Cengkerangnya bercorak pusar diterjemahkan sebagai motif ragam hias dalam seni rupa Melayu. Dalam anyaman kita temui corak buntut siput. Dalam batik juga terdapat corak bergarisan organik dinamakan dengan makhluk ini.

Pernah dengar buntut siput pada hujung jari?

Konon-kononnya barang sesiapa yang mempunya urat jari buntut siput, orang itu pandai memasak.

Tapi jenis siput babi yang ada di laman rumah kita dimusuhi kerana merosakkan tanaman!
Manakala bagi penggemar siput sedut, jika dibuat masak lemak nikmatnya jadi igauan!

Kueh siput mungkin tidak disifatkan sebagai makanan yang exotic. Tapi jika beramai-ramai menonton TV dengan sebalang kuih siput, saya pasti sangat melekakan. Sedar- sedar balang telah licin-licau!

Saya membeli tiga acuan kuih siput. Tapi akhirnya tinggal satu sahaja. Dua lagi dipinjam suami - dia hendak mengajar anak-anak kecil tajuk jalinan dalam satu sesi children's art classnya. Tapi dia terlupa hendak mengembalikannya ke dapur dan saya pun tidak menuntut kerana belum hendak menggunakannya. Akhirnya tak tahu terselit di mana ...

Sayapun menyusuri kedai untuk membeli ganti. Tapi yang saya temui acuan plastik. Tidak jadi dibeli. Hilang originaliti! Sewaktu balik ke Kelantan, saya memasuki pasar Machang dengan harapan ada acuan siput kayu, tapi yang saya temui plastik juga. (Aduh, sudah kurangkah kayu di Malaysia akibat pembangunan?) Tiada pilihan, sayapun belilah juga. Tapi akhirnya saya temui acuan diperbuat daripada kayu di Pekan Rabu Alor Setar. Alhamdulillah, masih cukup kayu-kayan di negara kita...

Sebenarnya ada beberapa lagi barang kecil-kecil di dapur yang jadi 'mangsa' children art class suami...

Sewaktu anak mencari-cari sejenis acuan tekan untuk membentuk biskut, saya terdengar suami bertanyakan anak, "Bagaimana rupanya?" Setelah diterangkan oleh anak dia pun menjawab, "Oo yang tu abah tak ambik. Acuan lompang ada la abah ambik untuk buat sculpture!"

Hahh??

Sepanjang bulan puasa ini sudah dua kali kami membuat kuih siput. Kononnya untuk juadah raya, tapi tak sempat... belumpun seminggu, kuih itu tinggal serdaknya sahaja. Tak apa, boleh buat lagi! Kuih siput, yang tentunya mengambil ide dari corak makhluk kecil itu senang sahaja dibuat dan seronok pula kalau dibuat beramai-ramai.

Alam terkembang menjadi guru
Ilham orang dahulu kala
Juadah terhidang merai tetamu
Moga teguh persahabatan kita.

5 comments:

Anonymous said...

Rajin buat kuih raya...aku beli aje. Tapi yang dijual itu,, hilang keasliannya...tiada rasa rempah ratusnya, malah ada yg keras spt batu....kalaulah aku pandai memasak.....hmmm..

Anonymous said...

Alamak, rasa laparlah pulak.
Part urat jari buntut siput tu, saya amat setuju. Abang saya ada 9 out of 10. Dan memang dia suka hal masak ni. Kalau buiah tangn dia untuk saya selalunya periuk, kuali, sudu garfu dan sebagainya tu. Tapi part yang buat dia lagi impossible adalah pusar kat kepala dia ada dua.
Nak tanyalah Ita, children art class tu still on ke? Untuk umur brape tahun?

Rositah Ibrahim said...

Yuli, tak kan tak ingat how fool i was at cooking! Tapi bila ada anak, cuba-cuba juga, akhirnya menjadi jugak walaupun banyak lagi yang tak lulus.

Lee, husband mengajar di Putra Jaya, program Perbadanan PJ- Apr, Mei, Jun setiap tahun. Pernah juga organisasi tertentu panggil mengajar.
He he pusar kepala ada dua?

FaAtip said...

Pandainya kak eta buat kuih siput. Urat jari buntut siput? Ni pertama kali dengar, lepas ni kena la pegi cari siput kat luar rumah. Sure tak sama kot....

gemagong said...

eta suka buat kuih,hubby suka pada acuan kuih..he2...raya ni boleh hidang kuih bersama sculpture acuan kuih