Thursday, November 24, 2011

'Catitan Harian' (A Latiff Mohidin)


Saya telah dipukau oleh sajak A Latiff Mohidin sejak di bangku sekolah. Sewaktu mula-mula membaca sajak ini, saya berasa begitu kagum kerana peristiwa yang biasa berlaku dalam kehidupan harian kita menjadi begitu indah dalam ungkapan beliau. Namun apabila diulang baca sajak ini beberapa tahun kemudiannya dalam usia yang kian menginjak, saya terasa sepi mendatangi hati.

Catitan Harian

hari ini
banyak sekali
perkara penting
berlaku dalam hidupku:


      kalendar p. ramlee jatuh
      dari dinding

      sikat hijauku hilang


      seekor cicak bertelur
      di sudut almari


      temanku diam-diam
      melipat kainnya
      ke dalam beg


A Latiff Mohidin
dari antologi Wayang Pak Dalang

Sunday, November 13, 2011

Kembali ke Gema Dikir

Terima kasih editor ruangan Puisi Mingguan Malaysia kerana menyiarkan sajak saya.

Sajak ini sebenarnya ditulis dua tahun lepas (lama dah....). Terhasil setelah sahabat pelukis, Mohd Noor, membawa kami melawat rumah bekas pensyarah kami, Najib Nor di Pangkal Meleret, Kelantan. Pensyarah kami sudah bersara, tetapi jiwa seninya tidak. Jiwa seninya menjelmakan rumah pusaka menjadi tempat kegiatan kesenian. Malam itu kebetulan ada persembahan dikir laba. Lalu saya teringat sebuah artikel tentang dirinya dan kegiatan seninya dalam sebuah majalah. Kepada wartawan yang menemubualnya, dia menceritakan kenangannya ketika zaman kanak-kanak - bagaimana dia terpesona dengan persembahan makyong dan lain-lainnya, yang sentiasa meriah di tempat kelahirannya pada ketika itu.


Kembali ke Gema Dikir

Usia telah membawa
Kaukembali ke daerah lama
Mencari jejak-jejak purba
terhapus oleh jalar kota
Menyirati desa.

Angin kampungmu telah kehilangan
Irama masa silam
Kaurindu
Pada malam gempita
Oleh dikir laba
Berembun dini
Dipukau asyik Pakyong
Melentik jemari.

Usia telah mengalih arah
Membawa kau ke daerah pusaka
Di rumah tua
Kauadun lenggok warna
Dan loncat garis
Menjadi dinding pamer galeri
Serta bangsal arca di sebelah kiri.

Kau kembalikan
Gema dikir
Bersilir kecipak air
Di taman kecil.

Mingguan Malaysia
13 Nov 2011


Monday, November 7, 2011

Sekadar Berkongsi....


Sudah lama tak buat kek ini sebab anak-anak tak suka. Tapi itu cerita waktu anak-anak masih kecil. Banyak masakan saya yang semasa mereka kecil dulu menjadi kegemaran setelah masing-masing sudah besar (hmm..patutla dulu asyik-asyik masak ayam kicap, kek coklat...ayam kicap, kek coklat...!).

Pagi ini tergerak hendak buat sesuatu pada apel hijau yang ada di dalam peti sejuk (yang asalnya hendak dibuat salad buah-buahan - digandingkan dengan strawberi, tetapi strawberinya lebih dulu dihabiskan!).

Puas membelek buku resipi dan google, akhirnya saya berbalik kepada resipi yang sudah saya mesrai, disalin di dalam sebuah diari lama....

Saya kongsi resipinya di sini:

Kek Apel
  • 2 biji apel, dikupas, dihiris nipis, kemudian dimasak bersama sedikit air dan secamca besar gula pasir (oppss, beserta 3 kuntum bunga cengkih)
  • 180 gm butter
  • 165 gm gula (saya jadikan 125gm sahaja, kerana tak suka kalau terlalu manis)
  • 200gm tepung berserbuk penaik
  • 3 biji telur
Caranya - ikuti saja langkah membuat kek sebagaimana biasa. Hirisan apel yang dimasak sehingga lembut itu dimasukkan paling akhir.

Hidangkan panas-panas dengan teh Earl Gray.....hmmm....

Monday, October 31, 2011

Teh dan Strawberi

Barangkali sejak dulu hingga kini tarikan Cameron Highland yang kekal hanyalah teh dan strawberinya.

Pertama kali saya jejakkan kaki di sana adalah pada tahun 1981 atau 82. Saya terkesan sungguh dengan keindahan alamnya. Arwah emak, pencinta bunga-bungaan, bukan main lagi memborong segala macam pokok hiasan berbunga. Hawanya? Sehingga matahari terpacakpun masih dirasakan kedinginannya.

Saya ke sana lagi sekitar empat, lima tahun selepas itu. Kesan yang sama masih dirasai.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apa yang pernah saya nikmati dulu telah tiada. Banyak bangunan terbina sehingga pemandangan bukit bukau di kiri kanan jalan hampir tidak dapat dilihat lagi. Hawanya - hanya dingin pada waktu malam sehingga awal pagi. Jam sembilan atau sepuluh pagi sudah tidak perlu jaket lagi!

Mmmm....kecewa bukan? Ya, kecewa juga, tapi tidaklah sampai terlupa membeli teh pelbagai perisa, juga strawberi beserta produk buahnya.

Inilah hasilnya! Puding kastad strawberi!

    


Friday, October 28, 2011

Segala-galanya kau biarkan......

Jalar akarmu adalah gerak garis
menindih cantik
gerak garis mengujar detik

Kau biarkan
sinar celahi ruang
daun-daunan
celahi ruang mencipta bayang.

Kau biarkan
angin berbisik
kabus mengusik
kenangan bercanda
antara rindu
yang luruh
ke hatiku!

Rositah Ibrahim
Hutan Simpan Bertam
Tanah Tinggi Cameron
26 Okt 2011

Tuesday, October 18, 2011

Topi....topi... topi...dan BJrians

Untuk tatapan kawan-kawan BJrians.

Seperti biasa, BJrians sentiasa bersungguh-sungguh. Selain tugas lazim di sekolah, aktiviti koko di luar sekolah pun guru-guru BJ sentiasa aktif. Sesudah bertungkus-lumus dengan kerja, ayuh, redakan kesibukan buat seketika! Tradisi  sambutan hari guru dan majlis jamuan akhir tahun adalah  aktiviti tahunan yang menyaksikan guru-guru kita menampilkan kreativiti. Bagaimana kawan-kawan menterjemahkan tema kali ini?

Apa pilihan kawan-kawan? Sederhana?


Gaya lanun....untuk peminat Johny Depp!



Ala-ala cowboy...

Atau ada sesiapa yang berminat dengan topi chef?
Mungkin gaya anggun dan penuh kewanitaan?




Bulu ayam dan kain net memberi sentuhan glamour dan tidak pernah ketinggalan zaman.

Dan oh! Aiskrim?
Lagi gaya gila-gila!
Rama-rama di atas kepala??
Ini gaya menyusahkan diri!

'Kek' sebagai topi?
Atau gaya menyeramkan seperti di bawah ini...
Gaya-gaya comel!



Ini gaya selamat! Tukarkan saja muka kartun kepada kuntuman bunga comel!

Memang dunia kreativiti tidak terbatas. 




Saturday, October 15, 2011

The Many Faces of BJrians

Dalam majlis rasmi sekolah - semuanya sopan dan ayu, ala-ala wanita melayu terakhir...

Hebat Mercury! Bawa kuda ke padang untuk acara perbarisan rumah sukan!

Memang cikgu BJ lasak-lasak belaka, kalah anak murid!
Bab bergaya menepati tema pun hebat juga! Victorian, Jepun, Korea, Bollywood...semua ada! 
(Hari Guru 2009 - Tema cross culture.)
Majlis Hi T - Tema polka dots and stripes.

Bergaya dengan pakaian etnik tempatan - tema Hari Guru 2010

Bersama-sama meraikan hari bahagia warga SMKBJ.

Tak menang larian tak apa....tetap dapat hadiah untuk kumpulan paling kreatif.

 Kumpulan yang menjuarai Larian 1Malaysia.

 Hari Guru 2011 - Gamat! Tema retro tahun kelahiran.

Pengetua kami yang sporting - ikut melakonkan aksi aci-aci buka pintu

Tema Hi T kami tahun ini, 'topi, kaca mata, kasut'. Hmm...bagaimanalah rupa kawan-kawan saya nanti.....
Agaknya ada yang bergaya seperti dalam ilustrasi di bawah?
Sumber : http://www.manyhattyreturns.com/2009/03/06/looking-for-inspiration-in-hat-styles-of-the-past/

Thursday, October 6, 2011

Nostalgia....Chuchu Datok Merah

Semasa saya kecil dahulu, tayangan gambar Melayu pada Sabtu malam Ahad (kalau tak salah), adalah program TV yang dinanti-nantikan oleh penonton. Waktu itu, awal tahun 70-an, amat sedikit bilangan rumah yang mempunyai set televisyen. Oleh yang demikian tidak menghairankan kalau rumah ini menjadi tumpuan peminat filem Melayu. Tidak pernah saya dengar hal ini tidak disenangi oleh tuan rumah!

Sewaktu saya masih belum bersekolah, rumah yang kami diami letaknya di jalan utama menghala ke pusat bandar. Dan rumah kami adalah antara rumah yang mempunyai set televisyen. Saya masih ingat, pada malam tayangan filem Melayu, ruang hadapan (ruang tamu) rumah kami jadi penuh sesak, melimpah sehingga ke luar rumah. Yang berada di luar, menjengah-jengah melalui pintu atau tingkap!

Keluarga kami berpindah apabila saya memasuki umur tadika. Di tempat baru, orang yang datang menonton tidak seramai di rumah lama. Dan yang datangpun adalah jiran-jiran yang merupakan kenalan baik orang tua saya. Adalah suatu kebiasaan juga, arwah emak menyediakan teh dan keropok sebagai kudapan semasa menonton.

Tayangan gambar pada waktu itu lama sekali. Ada pula waktu rehat untuk siaran berita. Saya dan budak-budak lain selaluya berasa terganggu dengan siaran berita kerana ketika itulah kemucak ceritanya! Waktu lain yang membosankan adalah sewaktu dendangan lagu mendayu-dayu.....

Sementara menantikan siaran berita selesai, kami biasanya berbaring-baring untuk menghilangkan penat. Kadang-kadang terlelap, tetapi bingkas bangun sebaik tamat siaran berita untuk menonton sambungan filem yang berakhir jam dua belas tengah malam.

Esoknya di sekolah kami rancak bercerita tentang filem yang kami tonton pada malam sebelumnya. Selalunya kami akan mengambil 'ulasan' yang kami dengar daripada penoton dewasa!

Sehingga kini saya masih suka menonton filem Melayu klasik. Dan usia telah membawa peralihan. Saya kini paling suka 'bab' lagu mendayu-dayu itu...!

(Mmmm.... kenapalah pengeluar tidak berhati-hati dengan ejaan! Chu Chu pulak jadinya!)