Hari ke tiga puasa. Tahun ini aku hanya membalas dua 'sms puasa' (ucapan selamat menyambut Ramadhan), dan mengirim ucapan via sms kepada seorang teman, dengan tujuan lebih untuk bertanya kabar tentang sakitnya.
Hari ke tiga puasa dan hari pertama cuti sekolah (tolaklah Sabtu dan Ahad - itu cuti hujung minggu!). Aku merenung habuk pada buku-buku di atas rak sewaktu kucari buku yang diperlukan oleh anakku. Sudah tiba waktu untuk mengemas dan menyusun kembali. Sudah ada buku-buku yang berpindah tempat (berpindah ke rak buku kecil di tingkat bawah, atau tergeletak di atas meja kopi di ruang tamu). Buku yang dikehendaki anak jenuh kucari, akhirnya terjumpa terselit antara koleksi novel. Buku biografi Tun Abdul Razak itu sepatutnya berada di bahagian lain. Bagaimana boleh tersesat ke bahagian novel. Pasti sudah, waktu untuk kembali menyusun dan membersihkan habuk!
Dalam Dewan Sastera Disember 2006, ada tulisan Baha Zain berjudul 'Buku oh Buku! Aku cinta kamu, beri aku ilmu'. Katanya setiap kali berkemas kerana pindah rumah, bukulah satu-satunya yang tidak dibuang (selain isteri(!) kerana isteri bukan barang, dan sangat diperlukan). Menariknya pengalaman berpindah rumah dengan buku yang banyak ini mungkin sedikit sebanyak punya persamaan dengan kami sekeluarga. Cuma pasti sekali buku-buku kami tentu saja tidak sebanyak buku beliau- barangkali sekitar 1/10 sahaja daripada jumlah buku yang beliau miliki. Dan koleksi kami itu terasa banyak kerana kami tidak miliki barang-barang berharga yang lain (kecuali lukisan). Itupun koleksi kecil kami sudah cukup mengagumkan beberapa tetamu (yang bukan terdiri daripada teman-teman sepengajian dulu).Belum lagi melihat jumlah yang ada di tingkat atas, atau yang terpaksa kusorong ke bawah katil kerana tidak cukup ruang!
Kini setelah mempunyai rumah sendiri, dapatlah kubuat ruang yang khusus untuk buku, walaupun tempatnya terpaksa berkongsi dengan perabot asas di bilik utama. Tiada lagi yang terpaksa kusorong ke bawah katil.
Aku percaya golongan penulis adalah golongan yang memiliki paling banyak buku. Aku bukan penulis, tapi kesenangan terhadap bahan bacaan ini sangat mengasyikkan. Setiap kali mengemas buku-buku di atas rak, sama ada di bilik atau di ruang tamu, kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh 1 jam itu berlarut menjadi hampir setengah hari! Kenapa? Kerana setiap kali mengemas, setiap kali itulah aku aku membelek-belek dan mengulang-baca beberapa bahagian muka surat, seolah-olah buku itu baru sahaja dimiliki.
Harus diakui juga ada novel yang tidak habis dibaca kerana tidak suka, atau dibaca langkau-langkau untuk mengetahui penghujungnya saja. Dan ada yang dibaca berulang kali kerana sukakan ayat-ayatnya yang terjalin. The Soul Mountain karya Gao Xinjian, kuulang-ulang beberapa muka surat yang sama kerana ayat dan gambaran suasananya sangat indah - akhirnya novel yang tebal itu tidak dapat dihabiskan!
Sewaktu membaca buku itu pada waktu senggang di sekolah, seorang guru matematik berbangsa cina menegurku, "Wa! You read that book aa! Very difficult you know! My friend read in chinese also don't understand!" Kami pernah juga berbual-bual tentang beberapa judul buku, dan aku mendapat kesan dia membaca juga karya sastera. "But my wife don't read la!"
Ada novel yang kubaca kerana jalinan ceritanya. Waiting karya Ha Jin, awalnya terasa sangat konvensional (terlalu konvensional kadang-kadang agak membosankan), tapi kugagahi kerana teringat Pak Samad mengatakan, "That book is very good!" Dalam satu pertemuan dengan beliau aku nyatakan bahawa aku 'tidak berani' membeli Waiting walaupun setiap kali ternampak buku itu di MPH, aku rasa tergoda untuk memilikinya. Aku jadi tidak berani kerana mengenangkan The Soul Mountain yang tidak habis kubaca. Rupa-rupanya Waiting mempunyai daya tarikan yang mendesak kita untuk menghabiskannya, dan mengulangi bacaan juga.
The God of Small Things dan Angela's Ashes adalah antara novel yang kerap kuulang. Novel melayu? Novel melayu tentulah yang paling banyak kuulang-baca! Aku bermula dengan novel-novel berbahasa Melayu!
Seorang guru matematik semasa darjah enam (dia pernah mengajar kami Ilmu Alam semasa kami darjah empat), Cikgu Awang Mohamad namanya; adalah individu yang banyak mempengaruhi kami untuk membaca novel. Dia selalu menyebutkan judul-judul novel, antara yang kuingat adalah Ranjau sepanjang Jalan, Srengenge, Tenggelamnya Kapal Ven der Wick, Di bawah Lindungan Kaabah; dan menceritakan keseronokan membaca buku-buku yang disebutkannya itu. Kami lalu berlumba-lumba mencari buku-buku yang disebutkannya dan sering bertukar-tukar buku sesama teman.
Di rumah seorang teman pula, kebetulan bapanya pernah mengajarku semasa aku darjah satu, aku temui Angin Timur Laut, Sandera, Juara dan beberapa novel lagi; yang kemudiannya ku ketahui sebagai karya-karya penting dalam sejarah sastera. Waktu itu budak-budak lagi! manalah aku tahu kesemua itu merupakan karya penting!
Sewaktu zaman kanak-kanak juga, aku sering menghabiskan cuti persekolahanku di rumah ayah di Dabong atau Gua Musang. Ayah selalu ditugaskan ke kawasan 'ulu'. Kami adik beradik tidak ikut berpindah mengikut ayah bertugas kerana ayah tidak mahu mengganggu persekolahan kami. Lagi pula kawasan-kawasan itu masih mundur, jauh dari kemudahan asas. Tapi sebagai pekerja kerajaan, rumah ayah lengkap berpili dan ada kuasa elektrik dari generator.
Tempat-tempat itu pada waktu itu hanya mempunyai jalan keretapi saja sebagai bentuk perhubungan(murid-murid sekolah di kawasan itu, nak ke sekolah terdekat pun terpaksa menaiki keretapi!). Tiada kemudahan elektrik, jadi tiada TV. Maka buku cerita menjadi syaratku kepada ayah sekiranya ayah mahu aku dan adikku mengikutinya semasa cuti sekolah panjang. Masih kuingat sebuah antologi drama yang kubeli di stesen keretapi Kuala Krai, 'Memburu Bulan Sabit'. Sewaktu membaca buku itu sementara menanti keretapi bergerak, seorang kenalan ayah berbangsa cina tertarik pada buku itu dan memintanya dariku. Dia membelek-belek buku itu. Ada nama watak 'Malisa', lalu dia bertanya dengan pelat cina, "Apa itu Malisa? Malaysia ka?" Ayah menjawab dengan pelat cina juga, "Bukan, itu perempuan punya nama!"
Kalaulah aku memiliki buku-buku yang pernah kubaca/ pinjam semasa zaman kanak-kanak dulu..
Kadang-kadang kerja mengulang-baca semasa mengemas ini terlalu mengasyikkan sehingga matlamat mengemas itu sendiri tidak tercapai!
Dan alangkah bahagianya melihat buku-buku tersusun cantik! Kebahagiaannya berlarutan. Kadang-kadang tercegat di hadapan susunan buku beberapa ketika sambil membayangkan aku memiliki rumah yang lebih besar dan koleksi yang lebih banyak!
Ada sebilangan kecil buku yang lesap kerana berpindah tangan - menjadi koleksi anak-anak! Itu tidak mengapa. Yang dipinjam oleh kawan-kawan 'kirim salam' sajalah. Tidak akan kembali lagi lah jawabnya. Oh! tak juga! Kawan yang meminjam Wi dan William tulisan Azizi telah memulangkan buku tersebut. Tapi buku Glenn Dorman, Bagaimana Meningkatkan Kecerdasan Anak Anda (buku terjemahan yang dilelong dengan harga RM10 saja), rasanya tidak ternampak bayang untuk kembali ke rak bukuku. Telah masuk TUJUH tahun kawanku meminjam (MEMINJAM?) buku itu!
Ada buku yang sama kubeli dua kali. Antara yang kuingat, Salina, Hujan Pagi, Saga - terpaksa kubeli lagi untuk menggantikan buku-buku yang 'dipinjam-ambil' oleh teman-teman. Ada waktunya, jika dalam kemampuan pada waktu-waktu tertentu, kubeli buku yang pernah kumiliki atau baca semasa zaman anak-anak atau semasa bersekolah menengah. Misalnya antologi cepen 'Benda Ajaib di Bilik Tertutup' yang pernah kumiliki semasa aku dalam darjah tiga.
Jualan murah buku-buku DBP di Dawama mengasyikkan dan menyeronokkan kami sekeluarga. Bayangkan ada buku berharga RM1.00! Seronoknya memborong!
Tapi terdetik juga sedikit kecewa di sudut hati, melihat buku yang terpaksa dilelong dengan harga yang sebegitu rendah. Terasa tidak padan jika dibuat perbandingan antara isinya dengan harganya, lebih-lebih lagilah dengan nama penulisnya, walaupun setahuku royalti kepada penulisnya tidak ada 'discount' seperti harga bukunya dijual. Tetapi DBP perlu menghabiskan stoknya (ya la, buku-buku DBP susah ditemui dalam pasaran, jadi cukup tahun kena lah lelong!), dan aku pengguna perlu mengira setiap sen yang kubelanja. Tolak tepilah harga itu! Boronglah banyak-banyak!
Aku kagum pada orang yang banyak membaca. Stamina orang seperti ini sungguh luar biasa sebenarnya. Stamina orang yang banyak membaca ini sebenarnya lebih banyak daripada stamina orang yang mendaki gunung! Bagaimana hendak kuperoleh stamina seperti ini?
Dua tiga hari sebelum puasa, aku menerima kiriman hadiah yang akan kusimpan sampai bila-bila! Seorang teman telah menitipkan dua buah antologi puisi. Terima kasih, Aris!
Dan hasrat hendak mengemas rak buku hari ini masih tidak tercapai!
10 comments:
Masa kecik dulu saya suka sangat baca buku Enid Blyton. Buku misteri Lima Sekawan, 7 Perisik, etc. Dah besar sikit suka pulak baca buku Archie. Saya banyak jugak beli buku, sikitpun tak sayang duit. Masa bujang dulu saya beli buku ROH. Tak baca pun. Bila anak yang ketiga meninggal 13 years ago, baru saya bukak buku tu. Banyak lagi buku2 yang saya beli tapi tak baca lagi...semuanya tersusun cantik.
Satu lagi perangai buruk saya, kalau dah pinjam buku, tak ingat nak pulangkan balik! Kalau pinjam kat library, habis duit bayar denda je...bila minat membaca tu datang, saya akan mula membaca, tapi baru je belek 3, 4 mukasurat terus mengantuk!!!!! Nak buat macam mana, ekk?
aint-super-woman,
ater, kalo dah ngantok moh le kite tido!!!! kihkihkih...
salam Eta,
ada English novel yang best seller? Kalo tak pinjam pun, kot-kot boleh sewa...
Salam, best seller saya tak berapa ada la. Selalunya saya beli yang menang apa-apa literary award. Angela's Ashes n The God of Small Things i would recomend. Some times ago I recomended one of the books to a friend, tapi masuk hari ke 4, hari2 I tanya pasal buku tu. Last sekali member give up, terus antar balik.
Nak sewa buku ? Emm nak sewa ye.... ok, nanti i nak buka bisnes sewa buku la. Cepat sikit kaya!
Eta...bila baca post u kali ni terasa ada beberapa persamaan minat antara kita...pertama tentang minat membaca...tapi saya tak banyak membaca koleksi-koleksi novel seperti Eta...itu pun kebanyakkannya kerana dibeli oleh abang dan kakak...dan sekarang minat membaca novel-novel penulis baru..tapi yang tak seronoknya bila membaca, kerja lain macam tak jadi sebab nak habiskan baca novel tersebut..
Keduanya bab mengemas...hehe saya pun sama kalau mengemas, jadi tak siap sebabnya...membelik, membaca..hehhe kerja sejam jadi sehari...
ok...teruskan minat ..bye
Opps Ita, part ni kami di sini kurang sikit sebab baca 'taugeh'! heehehee...
Tapi saya setuju dengan anak saya yang suka membaca.
Salam Roslaini, Akhir-akhir ni kurang sikit membaca. Kepala mudah sakit. Dah buat reading glass 6 months ago, tapi baru sebulan dua ni baru belajar pakai.
Lee, ok la u pandai baca taugeh. Bukan semua orang boleh baca taugeh tu!
eta....sama-sama..buku lama...kalau minat buku muzium bole saya kasi lagi
atip......hebat mu...he2
acciactura....saya makan tauge suka la...
Salam Aris, kecik tapak tangan, selebar puncak alam saya tebarkan...
Aku menyampah baca Salina...aku banyak koleksi buku, tapi aku tak suka yg sastera ni....aku lebih suka yg jenis cerita benar, contohnya...zaman perang, zaman colonial, tulisan Frank Swettenham, Graham, Gullick,Isabella Bird dan yg paling negetif terhadap org melayu ialah tulisan isteri pegawai British bernama Emily Innes...teruk dia kutuk bangsa kita, tapi Graham memuji-muji org Kelantan. Journal pun aku suka, contohnya Journal J.w.w Birch, bila aku baca, aku rasa dia telah buat yg terbaik utk org melayu, spt menyelamatkan dua beradik hamba yg igin di bunuh oleh pembesar negeri...
Abah aku seorg yg gemar membeli buku, buku2 agama terutamanya, kini buku2 itu diwarisi oleh aku. Tapi sayang...anak dan suami tidak gemar membaca...malah suami aku, setiap kali pindah selalu mengomel kerana terpaksa mengusung buku2 yg banyak ini...kini aku ucapkan bye2 untuk membeli buku..dan aku ingin bersara dari membaca...Eh..buku 'Eva'- Lim Swee Tin, yg mu hadiah kat aku masih tersimpan elok...
Yulie, mana boleh bersara... tapi aku memang kurang dah membaca berbanding dulu, kepala aku mudah sakit jadi kena baca sikit, berehat, sambung, rehat lagi.Apa nama buku Emily Innes tu?
Aku dulu ada Malay Sketches, tapi dah hilang. Buku tu kutuk orang Melayu. Sakit hati, tapi tu bukti mat salleh tak pandang tinggi pada rakyat jajahan takluknya...
Post a Comment