Zurinah Hasan, penyair yang ku kenali lewat puisi-puisinya yang tersiar dalam Dewan Sastera. Waktu itu aku dalam tingkatan satu, dan baru berjinak-jinak membaca Dewan Sastera.
Dewan Sastera senang ditemui di pekan kecilku dalam tahun-tahun 70an. Kedai Buku Melati, kedai buku yang paling maju kukira di pekan kecilku waktu itu, sentiasa ada terbitan majalah dan buku terbaru. Manakala jika hendak cari Dewan Sastera keluaran yang lepas-lepas, aku akan menyusuri kedai buku kecil, Pustaka Buku Marhan (di situ kutemui Sayang Ustazah Sayang, Salmi Manja). Dan kerap juga aku membelek-belek majalah di Pustaka Setia Raya. Di situ aku terjumpa sajak-sajak Lim Swee Tin. Tidak sangka pula, penyairnya bertugas di sekolahku selepas dua tahun aku hanya mengenali namanya lewat sajak.
Dari perpustakaan sekolah ku temui 'Sesayup Jalan'. Dalam tekun menghayati Sesayup Jalan, aku mengakrabi juga Dalam Pelarian Zaihasra dan Nyanyian Malam Siti Zainon. Selain mendekati puisi karya penulis wanita lain seperti Habsah Hasan dan Siti Zaleha Hashim.
Membaca sajak Zurinah kita akan mendapat kesan bahawa permainan katanya tidak sekadar menyedapkan bunyi agar kedengaran enak bila dibaca; tapi membawa erti dan pemikiran. Pemilihan kata yang sederhana, namun membawa pemikiran yang bermakna.
Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
ada bunga yang tidak dapat digubah
sesedap titah.
Seorang perempuan pun ada kalanya
berhak memiliki kebebasan
seorang sultan pun ada kalanya
harus tunduk kepada kesalahan.
(Zurinah Hasan ;'Pesanan Puteri gunung Ledang kepada Sultan Mahmud')
Aku titipkan di sini sebuah coretan kecil yang aku tuliskan setelah mengulang baca beberapa antologi beliau yang ada dalam koleksiku.
SAJAK-SAJAK ZURINAH
Semakin dibaca
semakin tertikam sukma
lunak bahasa tidak dibumbui bunga-bunganya
tapi jalur pemikiran
dan renungan
menebar ke luas kehidupan.
Rositah Ibrahim
30.03.06
Puncak Alam
2 comments:
rajin baca buku, ya.
Salam,
Tak le rajin sangat. Saya masih ada antologi Latiff yang Pyan tolong jual masa Hari Puisi Kem Kijang, KB 81 (saya form 5 masa tu). Ada tanda tangan Pyan lagi.
Kita ada jumpa di USM.Grup Seni Kreatif (87) jemput Pyan baca sajak. Pyan kita saya sudah besar!
Post a Comment