Wednesday, October 14, 2009

Catatan Hari Hujan

Awan menghantar titisnya saat dinihari hampir sampai ke penghujung. Dinginpun menebar ke serata ruang. Sengaja saya tidak menarik gebar membalut kaki kerana enak menikmati dingin sesudah beberapa hari sang rembang gagah memanggang alam.

Saya teringat sajak Zurinah, "Hujan di Kuala Lumpur" - saya perturunkan di sini fragmennya;

Di Kuala Lumpur air amat diperlukan
tetapi hujan tidak dikehendaki.

Hujan pagi
memerangkap kami di jalanan
........

Kalau tidak salah ingatan, terdapat sebuah sajak beliau yang mungkin tajuknya atau mungkin juga frasanya, berbunyi 'berkereta dalam hujan'.

Kerana tidak mahu 'hujan pagi memerangkap saya di jalanan', saya pun keluar dari rumah lebih awal daripada kebiasaan. Enaknya memandu awal pagi. Para pemandu kelihatannya sabar dan sopan bergerak mengikut giliran dan tidak berdahulu-dahuluan. Mungkin juga kerana hujan membuat orang lebih cermat lalu meletakkan aspek keselamatan pada tahap kesedaran yang tinggi. Dan saya santai saja memandu sambil sempat mengerling samar alam pada jam 6.25 pagi.

Enaknya memandu dalam titis hujan yang sederhana lebat dan tidaklah sehingga mengehad jarak pandang. Dengan kelajuan yang sederhana sempatlah saya nikmati, walaupun dengan kerlingan; muka kolam di kiri kanan jalan waktu tiba di Puncak Perdana. Pemandangan di sini memang sentiasa menenangkan, namun pada waktu puncak janganlah berharap untuk bersenang-lenang santai memandu. Anda nanti dijerit oleh hon kenderaan di belakang atau ada saja kenderaan memotong laju sehingga menyentap darah seriau.

Pagi ini sempatlah saya nikmati sejenak cahaya lampu jingga berbaris di jalanan kawasan perumahan, bergandingan dengan kebiruan daripada lampu kediaman membias ke muka kolam. Dan sorot lampu kenderaan pula menghantar pembalikan pada takungan air di atas muka aspal lalu memunculkan titis-titis runcing kaki hujan yang bagai berlompatan, bergiliran membasahi bumi.

Hujan memanjangkan dingin pagi. Saya lalu teringat, pada zaman remaja, dalam cuaca dingin lembap begini, enaknya berselimut sambil menghabiskan bacaan novel... Pada usia dewasa, dengan segala tugas dan tanggungjawab, kesenangan demikian hanya menjengah dalam kenangan. Demikian setiap fasa kehidupan kita melaluinya dengan cara berbeza. Namun kesenangan boleh hadir dalam pelbagai cara.

Pepatah German ada menyatakan, "A man must see a beautiful picture, listen to a fine music, read a poetry; every day in his life."

Mari kita nikmati puisi-puisi di bawah ini:

Siti Zainon Ismail

Selepas Hujan

semestinya
yang datang itu
cumalah keinginan

waktu istirahat begini
usahlah bicara
kita pun telah saling melupakan.

angin menolak
cuaca redup
hujan yang tiba-tiba berhenti
di situ kau laung namaku
aku pun keluar
mengutip kuncup yang mulai mekar
sambil berkaca di padang basah
desahmu yang gugur
aku tertegun kembali
masuk ke alam diri
segala telah jauh.

mei 1977
(Antologi Puisi Putih Sang Kekasih)

T. Alias Taib

kubuka jendela, masuk gerimis

hujan pagi, gerimis senja
dan angin pertama musim gugur
berkesiur di kaca jendela.
kubuka jendela, masuk gerimis
membawa secebis kenangan manis.

hujan pagi, gerimis senja
dan angin pertama musim gugur
menderu dalam kalbuku.
kubuka kalbu, masuk kau
membawa sekelumit kenangan payau.

taipei artis village
beijing east road
22.ix.01

(Antologi Pasar Pengalaman)

Marsli N.O

Ke dalam Hujan

dari langit yang rawan
hujan pun perlahan-lahan jatuh
dan angin menjadi beku dalam kedinginan

lalu pada tanah yang telah melepaskan kemarau
pohon-pohon pun bersegera bangkit
dan bunga-bunga kembali mengembangkan kelopak
lambat dan perlahan
lambat dan perlahan
seperti sayap kupu-kupu yang basah

ketika itu,
kecewa juga kita lepaskan
ke dalam hujan

Januari 1977
(Antologi Kepada Angin Juga)

A. Latiff Mohidin

hujan

di sini
di kota
: hujan :
adalah bunyi
tin-tin kosong
berguling
guling
gu
ling
di atap genting
tidak berhenti
hinggakan
pagi

(Antologi Wayang Pak Dalang)

Catatan:
Terima kasih penyair, lunak bahasa yang kauanyam, menghantar keindahan dan pengertian kehidupan.



3 comments:

gemagong said...

petang ni hari hendak hujan
jadi tak pandai nak buat kata puitis
pasal hujan
yang kena pastikan di opis dan dalam kereta misti ada payung kalu tidak
bermandi air hujan la nanti.
suka dengar lagu hujan
oleh arwah Dato' Sudirman...
dan sekarang sesekali
lagu dari kumpulan hujan

Rositah Ibrahim said...

Aris, betul tu, sediakan payung sebelum hujan. Waktu hujan tutup tingkap dan pintu dan dengar gemuruh suara hujan sambil makan goreng pisang panas. Atau lebih klasik, makan ubi kayu rebus cecah kelapa dengan teh panas...
Lagu hujan Sudirman... sedap didengar. Lagu kumpulan Hujan, itu selera orang muda!

FaAtip said...

entah kenapa bila hari hujan
mata mula jadi mengantuk
perut mula jadi lapar !