Kerja kursus untuk mata pelajaran Pend Seni Visual SPM (KRSV) sudah bermula walaupun banyak sekolah belum menerima soalannya secara langsung. Cikgu-cikgu cekap - awal-awal mereka sudah layari blog yang berkenaan, dan mendapatkan soalannya. Saya kira saya lembap sikit! Kawan-kawan sudah memulakan kira-kira seminggu sebelum cuti Tahun Baru Cina bermula, manakala saya baru memulakannya pada minggu ini. Sepanjang cuti hujung minggu sebelumnya, saya membuat penilaian ke atas kesemua sembilan tugasan, seterusnya merangka jadual pelaksanaan kerja sebagai panduan murid-murid saya.
Lebih sepuluh tahun dulu, sewaktu mula-mula mengambil tanggung jawab ini, saya disogokkan oleh guru-guru senior - bahawa kerja kursus inilah sumbangan kita sebagai guru untuk memastikan anak didik kita mendapat markah yang baik dalam peperiksaan SPM. Setip kali menghadiri kursus pula, para JU akan mengulangi ayat yang sama, "Inilah cara kita nak tolong anak-anak murid kita, cikgu."
Saya tidak nafikan kebenaran kata-kata itu. Murid saya mendapat C4 bukanlah murid yang pandai melukis pun! Malah ada murid saya yang memperoleh A1, tetapi kebolehan melukisnya boleh dipertikaikan (hal ini walau bagaimanapun kes terpencil - murid itu murid yang bijak dan rajin dan berusaha keras untuk menjadikan kerja kursusnya'tiada cacat cela').
Kebolehan melukis sebenar seseorang murid itu teruji oleh kertas 2, iaitu kertas menggambar / seni halus. Namun adalah tidak adil untuk menilai kertas 2 semata-mata kerana tahap kebolehan seorang murid dengan murid yang lain berbeza. Sebelum ini kertas 2 menjadi kertas pilihan, dan secara rambang saban tahun semakin sedikit bilangan calon yang mendaftar untuk kertas ini. Manakala bilangan yang mendaftar untuk kertas kerja kursus pula kian bertambah. Kini tiada lagi pilihan - ketiga-tiga kertas PSV adalah kertas wajib.
Saya, seperti kebanyakan guru PSV yang lain, memang berusaha keras agar calon kami memperoleh markah yang baik dalam kerja kursus. Bagi pelajar yang semula jadi berbakat, dan berminat; kami memberi bimbingan dan panduan. Bagi calon yang lemah, kami lah yang menyediakan lakaran dan lukisan (ada cikgu yang membuat banyak helai lukisan) supaya calon-calon yang lemah ini boleh tiru dan lebih teruk lagi - menekap! Memang 'tercapai' lah objektif kami hendak
membantu calon kami mendapat markah yang baik, atau setidak-tidaknya mengelakkan calon yang lemah dan bermasalah (disiplin) daripada gagal. Maka terselamatlah kami daripada menyediakan jawapan bagi 'sebab-musabab calon xxxx gagal PSV'!
Tak usahlah cerita betapa
tension cikgunya dalam memastikan pelajar yang lemah dan bermasalah ini menyiapkan kerja kursus. Hal ini sebenarnya turut dirasai oleh guru-guru Sains dengan PEKAnya, atau guru-guru Kemahiran Hidup, Geografi dan Sejarah dengan bebanan folio masing-masing. Cerita guru 'mengurung' murid yang malas agar folio dapat disiapkan, bukanlah cerita baru. Murid dalam 'kurungan' ini diberi contoh folio atau fail PEKA, dan kerja mereka hanyalah menyalin sahaja agar ada bukti murid ini menyiapkan tugasan!
Nah, kami sudah
membantu murid kami, bukan? Mereka kelaparan dan tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan makanan. Maka mereka kami berikan ikan, kerana jika diberi joran mereka tidak tahu bagaimana hendak menggunakannya! Ajari mereka bagaimana hendak menggunakan joran? Tidak, mereka bosan jika begitu caranya....