Monday, February 22, 2010

kerja kursus oh.....

Kerja kursus untuk mata pelajaran Pend Seni Visual SPM (KRSV) sudah bermula walaupun banyak sekolah belum menerima soalannya secara langsung. Cikgu-cikgu cekap - awal-awal mereka sudah layari blog yang berkenaan, dan mendapatkan soalannya. Saya kira saya lembap sikit! Kawan-kawan sudah memulakan kira-kira seminggu sebelum cuti Tahun Baru Cina bermula, manakala saya baru memulakannya pada minggu ini. Sepanjang cuti hujung minggu sebelumnya, saya membuat penilaian ke atas kesemua sembilan tugasan, seterusnya merangka jadual pelaksanaan kerja sebagai panduan murid-murid saya.

Lebih sepuluh tahun dulu, sewaktu mula-mula mengambil tanggung jawab ini, saya disogokkan oleh guru-guru senior - bahawa kerja kursus inilah sumbangan kita sebagai guru untuk memastikan anak didik kita mendapat markah yang baik dalam peperiksaan SPM. Setip kali menghadiri kursus pula, para JU akan mengulangi ayat yang sama, "Inilah cara kita nak tolong anak-anak murid kita, cikgu."

Saya tidak nafikan kebenaran kata-kata itu. Murid saya mendapat C4 bukanlah murid yang pandai melukis pun! Malah ada murid saya yang memperoleh A1, tetapi kebolehan melukisnya boleh dipertikaikan (hal ini walau bagaimanapun kes terpencil - murid itu murid yang bijak dan rajin dan berusaha keras untuk menjadikan kerja kursusnya'tiada cacat cela').

Kebolehan melukis sebenar seseorang murid itu teruji oleh kertas 2, iaitu kertas menggambar / seni halus. Namun adalah tidak adil untuk menilai kertas 2 semata-mata kerana tahap kebolehan seorang murid dengan murid yang lain berbeza. Sebelum ini kertas 2 menjadi kertas pilihan, dan secara rambang saban tahun semakin sedikit bilangan calon yang mendaftar untuk kertas ini. Manakala bilangan yang mendaftar untuk kertas kerja kursus pula kian bertambah. Kini tiada lagi pilihan - ketiga-tiga kertas PSV adalah kertas wajib.

Saya, seperti kebanyakan guru PSV yang lain, memang berusaha keras agar calon kami memperoleh markah yang baik dalam kerja kursus. Bagi pelajar yang semula jadi berbakat, dan berminat; kami memberi bimbingan dan panduan. Bagi calon yang lemah, kami lah yang menyediakan lakaran dan lukisan (ada cikgu yang membuat banyak helai lukisan) supaya calon-calon yang lemah ini boleh tiru dan lebih teruk lagi - menekap! Memang 'tercapai' lah objektif kami hendak membantu calon kami mendapat markah yang baik, atau setidak-tidaknya mengelakkan calon yang lemah dan bermasalah (disiplin) daripada gagal. Maka terselamatlah kami daripada menyediakan jawapan bagi 'sebab-musabab calon xxxx gagal PSV'!

Tak usahlah cerita betapa tension cikgunya dalam memastikan pelajar yang lemah dan bermasalah ini menyiapkan kerja kursus. Hal ini sebenarnya turut dirasai oleh guru-guru Sains dengan PEKAnya, atau guru-guru Kemahiran Hidup, Geografi dan Sejarah dengan bebanan folio masing-masing. Cerita guru 'mengurung' murid yang malas agar folio dapat disiapkan, bukanlah cerita baru. Murid dalam 'kurungan' ini diberi contoh folio atau fail PEKA, dan kerja mereka hanyalah menyalin sahaja agar ada bukti murid ini menyiapkan tugasan!

Nah, kami sudah membantu murid kami, bukan? Mereka kelaparan dan tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan makanan. Maka mereka kami berikan ikan, kerana jika diberi joran mereka tidak tahu bagaimana hendak menggunakannya! Ajari mereka bagaimana hendak menggunakan joran? Tidak, mereka bosan jika begitu caranya....

3 comments:

roslaini saad said...

Eta..
Nampaknya mana-mana guru PSV akan bersetuju dengan entry Eta ni....memang tugas kita sebenarnya bukan mengajar, tetapi membantu...mereka untuk lulus.. Pernah suatu ketika dulu, uda bukan setakat membuat lakaran untuk ditiru semula malah membantu mencanting untuk mereka...tetapi lama kelamaan terasa balik ketidakadilannya...kerana budak yang malas juga dapat result yang bagus..tetapi budak yang lebih suka berdikari dapat markah yang sepatutnya sahaja...Jadi sasaran uda sekarang, bantu budak-budak yang ada wawasan untuk pergi jauh..maksudnya untuk masuk UITM. dan yang agak malas dan tak nak usaha..cuma bantu untuk lulus dan markah sesuai dengan usaha mereka...

Rositah Ibrahim said...

PKBS perlu dinilai semula.
Pernah terjadi, seorang guru English memberi markah fail kepada calon yang langsung tidak menjawab semasa lisan. Guru tersebut dipanggil oleh pengetua dan diarahkan agar memberi markah lulus! pengetua takut peratus sekolah jatuh!

Adakah sekolah cuma jadi kilang untuk hasilkan murid yang lulus dalam peperiksaan? Eiii takutnya....

umi_e said...

Salam...

Saya merasa khuatir dengan anak saya yang akan mengambil mata pelajaran PSV untuk SPM tahun ini. Saya telah belikan buku-buku rujukan tapi ternyata tidak sama dengan membaca sendiri berbanding pengajaran yang diberi semasa di dalam kelas...

Guru yang saya minta mengajar (tuition) juga ternyata hanya mampu mengajar 2 kali seminggu (4 jam) itupun menurut anak saya mengajar basic melukis :-S Namun tetap bersyukur kerana ada yang sudi mengajar... payahnya... tiada pusat tuition yang menawarkan mata pelajaran PSV!

* anak saya mahu dan mampu untuk dibimbing lebih daripada 2 jam seminggu...