Lama sungguh tidak mencatat apa-apa di ruangan ini. Hidup bagai diatur kesibukan terus menerus. Kadang-kadang terabai getar yang seni. Kerap jua tercicir frasa yang bermain dalam ruang fikir.
ii.
Scoliosis bukan suatu penyakit, tetapi satu keadaan. Bukan jua oleh sebarang kemalangan tetapi sebuah ketentuan. Hal inilah yang harus saya jelaskan kepada pelawat-pelawat; sama ada pelawat kami atau pesakit lain di wad orthopedik itu.
Manakala bagi mereka yang mengenali keluarga kami cenderung pula untuk menganggapnya sebagai keturunan kerana terdapat kes yang sama dalam kalangan ahli keluarga.
Berada di rumah sakit, saya mendapat kesan bahawa scoliosis yang tidak diketahui oleh banyak orang itu sebenarnya bukanlah kes terpencil. Pada hari anak saya menunggu giliran ke kamar bedah, di sana seorang anak gadis juga sedang menjalani pembedahan yang sama.
Seorang jururawat di hospital tersebut ( yang ketika itu bertugas di unit lain) datang melawat anak saya atas dasar perkongsian rasa. Dia scoliosis tetapi memilih untuk menjalani rawatan secara berurut sewaktu berusia awal belasan.
Melalui FB saya mendapat tahu dua orang rakan lama mempunyai anak yang senasib dengan anak saya. Yang seorang memilih rawatan dengan chiropractor dari Jerman, dan seorang lagi terus menjalani kehidupan biasa tanpa sebarang rawatan.
Dalam era perhubungan maya ini, pengidap scoliosis mempunyai kelompok sendiri. Syukur, kewujudan kelompok yang saling berkongsi tahap scoliosis masing-masing ini memberi ruang untuk anak saya membina kekuatan untuk menghadapi pembedahan. Dan saya menyaksikan kecekalan anak saya menghadapi saat sukar post-operation; lebih-lebih lagi diberitakan harus menjalani pembedahan kali kedua, dua minggu kemudiannya kerana terdapat sedikit komplikasi.
Alhamdulillah. Segala-galanya telah selesai. Proses penyembuhan dipermudahkan olehNya.
iii.
Saya makan nasi sekali sehari. Kerap juga selang sehari, atau sekali dalam masa dua hingga tiga hari. Bukan kerana saya berdiet untuk menurunkan berat badan, tetapi kerana sejak kecil saya terbiasa demikian.
Saya tidak tahu kenapa pola makan saya jadi begitu walhal dalam keluarga kami, nasi, seperti keluarga lain; adalah hidangan harian. Pernah juga selama satu minggu saya tidak memakan nasi. Saya jadi tidak 'lalu' memandang nasi selepas kembali dari menziarahi saudara mara suami di daerah Bangkinang di Riau pada bulan Syawal baru-baru ini. Selama lima hari di sana kami disajikan nasi dengan lauk-pauk masakan Minang yang sangat enak untuk ditolak. Sementelahan pula memang tidak ada pilihan makanan yang lain!
Hampir dua bulan berada di kampung kerana menjaga anak yang menjalani pembedahan dan proses penyembuhannya, saya makan nasi lebih dari kebiasaan. Abang saya suami isteri adalah pengusaha restoran. Selama berada di rumah mereka, saya dimanjakan dengan hidangan nasi yang sentiasa tersedia. Mana mungkin menolak nasi dagang paling sedap kakak ipar saya!
Kembali ke rumah sendiri, barangkali hal yang sama seperti selepas kunjungan ke Riau; akan berulang!
iv.
"Umi baca novel macam tu?"
Anak saya mengungkapkan rasa terkejutnya. Faham dengan maksud 'macam tu' yang diujarnya, saya menutup buku yang dibaca. Lalu jari telunjuk saya menggarisi nama pengarang, seraya menerangkan latar belakangnya sepintas lalu.
Anak saya mengangguk. Dia tahu saya bukan pengemar novel popular.
"Ooo...tengok pada covernya ingatkan novel-novel terbitan penerbit X...."
Contoh klasik untuk peribahasa Inggeris, 'don't judge a book by it's cover'!
~ Oktober - November 2013 ~
No comments:
Post a Comment