Arwah orang tua saya hendak sangat anak-anaknya menjadi guru. Kata arwah emak, eloklah orang perempuan menjadi guru. Kerja separuh hari, waktu selebihnya boleh bersama anak-anak. Benar, sewaktu mula-mula menjadi guru, saya sudah berada di rumah menjelang jam 2 petang, kecuali sekali atau dua kali seminggu kerana kegiatan ko kurikulum atau mesyuarat. Dan di rumah saya gunakan sepenuhnya untuk waktu berkualiti bersama anak-anak.
Kini tidak lagi. Mungkin guru pada masa kini boleh juga balik ke rumah sebaik tamat waktu persekolahan, tetapi balik untuk mengadap komputer. Zaman canggih - segala-galanya perlu key-in. Tapi malangnya server KPM sangat lembap, sehingga guru selalu sahaja menyumpah-nyumpah.
Kalau dulu guru-guru merangka program dan melaksanakannya begitu sahaja tanpa perlu sebarang dokumentasi. Tanpa perlu ada senarai perancangan yang begitu cantik tercetak, kerana yang dilihat bukan proses tetapi hasilnya.
Kini semua perancangan perlu ada hitam putih dalam kerangka yang tersedia. Memikirkan program untuk memenuhi kerangka rupa-rupanya kerja yang memakan masa. Semakin banyak kita menggunakan komputer rupa-rupanya semakin banyak kertas yang perlu diisi di dalam berbagai-bagai fail. Segala proses sesebuah program harus jelas dapat dilihat di atas kertas. Ada rakan-rakan yang sudah mengalami stress sepanjang cuti hujung tahun ini. Manakan tidak, kalau kerja pengawasan SPM sedang berjalan, dalam masa yang sama perlu menyiapkan pelan strategik, KEBAT, FROG, dan kerja-kerja berpangkalkan huruf 'e' yang mengjengkelkan itu!
Menjadi guru waktu kini tidak cukup jika sekadar atas dasar keseronokan menyampaikan ilmu.
Tiba-tiba saya menjadi cemburu kepada rakan-rakan guru yang sudah dan akan pencen tidak lama lagi!!!
No comments:
Post a Comment