Friday, September 12, 2014

Bocor

UPSR bocor!

Ah! Alangkah baiknya jika sekolah benar-benar menjadi institusi pendidikan, dan bukannya kilang untuk menghasilkan murid dengan deretan A pada kertas!

Saturday, August 23, 2014

Gubahan Hantaran

Seronoknya bereksperimen dengan gubahan hantaran!
Gubah-menggubah walau bagaimanapun bukanlah perkara yang saya akan buat jika kelapangan. Lebih baik jika saya tumpukan pada painting saya. 

Tetapi tentu saja saya tidak akan berpuas hati jika tidak menghasilkan sendiri gubahan untuk puteri sulung saya. Kalau semasa majlis pertunangannya dulu saya bersendirian, untuk perkahwinan,  saya dibantu oleh anak-anak yang pulang dari luar negara.  Saya kongsikan hasilnya di sini.



Lama Tidak Menjenguk

Sibuk terus-menerus!
Beberapa perkara yang mengusik perasaan dan fikiran, sungguhpun tidak terhalau sepenuhnya; tidak tercatat di ruangan ini. Meski hati terdetik untuk mencatat beberapa peristiwa di sekitar saya, saya tidak mampu untuk duduk menekuni penulisan di blog ini.

Membaca blog kawan-kawanpun tidak terbuat!

Ya, kesibukan agak reda setelah selesai majlis perkahwinan puteri sulung saya. Ruang kerja yang sarat dengan pelbagai barangan kelengkapan majlis telah saya rapikan. Tumpuan sekarang, selain tugas wajib di sekolah, adalah kerja-kerja peribadi yang mahu dilunaskan. Akrilik bagai memanggil....

Thursday, May 15, 2014

Kau Pergi Jua


Sungguhpun tidak pernah bertegur sapa, apabila bertembung tetap angguk dan senyum. Dia agak rapat dengan kawan-kawan lelaki kami. Dan dia tidak dipanggil dengan nama yang mempopularkannya, sebaliknya dipanggil 'Omaq' (barangkali nama asalnya).

Hari ini menerima berita pemergiannya. Al Fatihah.

Sungguh saya berasakan; umur saya, kesihatan saya, nikmat yang Allah kurnia, anak-anak; sesungguhnya bonus yang tidak tertanding. Ya Allah, jadikanlah aku umat yang bersyukur....


Rindu

Alhamdulillah. Anak-anak selamat tiba. Terkenang sewaktu mereka kecil, hendak membenarkan mereka berjalan kaki ke kedai runcit yang tidak cecah 200 meterpun, cukup membuat saya diganggu bimbang. Tidak juga bermakna saya kini tidak risau lagi. Lebih-lebih lagi sepanjang menunggu kepulangan mereka. Apa lagi membayangkan si adik yang bergerak bersendirian dari universitinya, ke Toronto - sejam perjalanan dengan teksi pada jam 3 pagi untuk berada di JFK Airport. Di sana bertemu dengan kakaknya yang telah tiba di New York sehari lebih awal; dari universitinya di Penn State. Reda sedikit kebimbangan setelah mereka memuat-naik foto mereka di JFK Airport.

Kemudian ternanti-nanti pula whatsapps daripada mereka sewaktu transit di Istanbul. Hanya lega setelah menerima berita yang mereka akan menaiki pesawat. Setelah itu debar rindu kian mendera sewaktu menunggu di KLIA. Lebih terdera kerana teringatkan si Along yang bertugas jauh. Dia tidak bersama kami sewaktu kami riuh rendah membuka hadiah-hadiah yang dibawa balik.

Ahh! Rindu ibu tiada habisnya.




Thursday, May 8, 2014

Mereka yang Meninggalkan Kita

Biduanita pilihan saya, yang utama adalah Saloma. Dituruti Sharifah Aini yang versatile nada suaranya, dan Rafeah Buang yang merdu dan lepas bersahaja. Tapi kalau keroncong, saya memilih Kartina Dahari. 'Sayang Disayang'nya begitu memukau. Ya, beberapa hari selepas biduanita ini dijemput pencipta, Aziz Satar pula menyusul. Begitu mengejutkan bagi peminat-peminat filem P Ramlee. Bujang lapok kembali. Kembali kepada Dia.

Anak kedua saya peminat Aziz Satar. Terkejut dengan berita ini dia merakamkan adegan filem Pendekar Bujang  Lapok dengan lukisan karikatur. Saya kongsikan di sini.


Tidak lama berselang, kita menerima berita pemergian Jamal Mohamad, atau Pakcik Jamal. Saya lalu teringat sebuah dewan terbiar usang, di kampung.

Dewan milik majlis bandaran ini letaknya berhampiran dengan sekolah saya tempat saya pernah belajar. Di dewan inilah majlis sekolah diadakan. Di dewan ini juga pernah dibuat rakaman rancangan kanak-kanak kelolaan Pakcik Jamal. Nama yang begitu mesra dengan kanak-kanak yang sezaman dengan saya.

Ya, mereka tidak lagi bersama kita. Tapi nama baik yang ditinggalkan, tetap kekallah kebaikannya. Kita semua milikNya. KepadaNyalah kita kembali. Al fatihah untuk mereka yang mendahului kita.



Sunday, May 4, 2014

Rezeki PBAKL 2014


Alhamdulillah. Ada rezeki saya dalam PBAKL kali ini. Terdapat tiga buah buku seni visual yang saya idamkan. Setelah mengira-menimbang, dek harganya; saya buat buat pilihan untuk membeli sebuah sahaja. Rupa-rupanya buku yang saya minati itu menambat perhatian suami juga - dan dia telah mendapatkannya pada hari yang lain. 

Sesi Bersama Penulis ITBM (2 Mei 2014) - digandingkan bersama Haniza Hamzah Nilamsuri

Tahun lepas, saya gagal menunaikan jemputan ITBM untuk mengisi slot 'Sesi Bersama Penulis' - saya tidak menyangka sama sekali yang tawaran masih terbuka untuk saya. Dan saya lebih tidak menyangka kerana penglibatan, atau usaha pihak tertentu yang melibatkan saya; diberi saguhati pula.  Bagai menggantikan jumlah yang telah saya belanjakan  kali ini.

Ramah Mesra Penulis Wanita SEBUDI di Kota Buku PBAKL (3 Mei 2014) - usaha Siti Zainon Ismail menghimpunkan penulis-penulis wanita.

Saya berterima kasih dan sekaligus kagum dengan Siti Zainon Ismail yang gigih berusaha mengenengahkan penulis-penulis wanita. Usaha yang membuat saya agak gerun kerana memikirkan tahap kemampuan saya untuk terus berkarya. 



Friday, April 18, 2014

Di Hujung Borneo

Subhanallah! Apakah yang dapat dikatakan apabila terbentang di hadapan anda adalah lukisan alam terindah......


Saya berhadapan dengan Laut Cina Selatan dan Laut Sulu bersatu, membawa bayu yang meriakkan  ombak dan mengukir batu-batu dengan gerak garis dan warna yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini.


Ya, saya sudah membaca tentang keindahan hujung Borneo ini. Malah imej-imej juga sudah saya saksikan paparannya pada skrin komputer. Tetapi kesannya sungguh luarbiasa apabila berada di dalam rangkulan alamnya. Sayang sekali ini cuma lawatan singkat. Hanya persinggahan sebelum kami mengikuti program Garisan Landasan Sabah pada hari berikutnya.



Monday, March 24, 2014

Pertemuan

Memang luar biasa!

Pertama kali berjumpa semasa sama-sama menjadi peserta dalam Bengkel dan Pameran Catan Belia-belia ASEAN di Manila (1986 atau 1987). Sesudah itu kami berutus-utus surat untuk tempoh yang lama juga. Kemudian terputus hubungan sehingga zaman FB yang memungkinkan pertemuan maya.

Sahabatku ini pernah ke Malaysia sebelum ini. Dua kali. Tapi tiada rezeki untuk berjumpa.

Dia kini adalah pelukis dan penyair penting di negaranya, meraih pelbagai anugerah, termasuk SEA Write Award. Sedang saya masih tidak punya apa-apa!


Saturday, March 15, 2014

Kegelisahan

Jerebu. Panas menggigit. Harga rumah yang menghimpit baki pendapatan bulanan. Kos keperluan harian melambung. Para waibi yang bercakaran dalam sidang parlimen (entah ke mana dibawa slogan budi bahasa!). Air. Air. Air.

Oh! Malaysia tanah airku!

MH370. Sekurang-kurangnya dalam hal ini hati kita menjadi satu - bersatu dalam doa.

Saya teringat lagu Ebit:

......mungkin tuhan mulai bosan
melihat tingkah kita
yang selalu salah
dan bangga
dengan dosa-dosa....



Wednesday, March 5, 2014

Menu

Tenaga kalah oleh usia. Dan ya, oleh cuaca juga! 

Dalam timbunan kerja di sekolah, memang tenaga sedikit sangat berbaki apabila pulang ke rumah. Dan di rumah, kerap juga mengadap komputer untuk melangsaikan kerja-kerja sekolah. Ah! Tidak perlulah merungut tentang PBS! Atau segala-galanya tentang jawatan yang perlu on-line dengan server yang lembap itu! 

Dengan masa dan tenaga yang sedikit, urusan rumah tanggalah yang kerap terabai. Menyediakan nasi dan lauk-pauk tidak menjadi keutamaan lagi. Lebih-lebih lagi kerana si kecil saya tidak gemarkan nasi. Saya harus sentiasa berfikir menu lain untuk membekalkan gizi. Selalunya kaserol makaroni dan tuna yang senang dan yang penting - cepat disediakan!

Hari ini, saya sediakan sos spagheti. Dihidang dengan bebola daging. Alhamdulillah. Esok, spagheti dan baki sosnya bolehlah dibaur, ditabur keju, dan dibakar seperti menyediakan keserol. 

Hmm.... selera anak zaman kini!




Tuesday, February 25, 2014

Tetamu Istimewa (Maaf, Helmi!)


Ketika saya menolak sebuah kotak yang memuatkan arca-arca murid saya tahun lepas, Puteh tiba-tiba melompat keluar dari kabinet besi yang tidak rapat pintunya. Segera saya menjenguk ke dalamnya. Ohh....di sini rupanya Puteh memindahkan anak-anaknya. Sejak minggu lepas saya mendapat kabar dari kawan saya, guru Biologi, yang Puteh dan anak-anaknya sudah tiada di bilik persediaan makmal sains. Puteh melahirkan anak-anaknya di situ. Sebelum itu dia memang 'menggeledah' bilik seni saya. Saya segera sediakan kotak, beralaskan kain, dan meletaknya di tempat yang kira-kira tersorok. Tetapi pengalaman dengan kucing-kucing di rumah, hal ini tidak pernah berjaya. Kucing akan memilih tempatnya sendiri.

Puteh memang sukakan stor bilik seni saya rupanya! Setelah melahirkan anak di tempat lain, dia kembali ke bilik saya. Menjadi tetamu yang disenangi. Murid saya, setelah mengetahui akan kehadiran tetamu comel ini, akan sentiasa menjengok ke dalam bilik stor sebelum mereka kembali ke kelas.

Kabarnya Putih ini cerdik. Dia tidak 'membuang' merata-rata. Setiap kali pembantu makmal membukakan pintu tandas di sebelah makmal, dia meluru masuk. Berkongsi tandas dengan kaki tangan sekolah!

Tidak sabar rasanya menunggu anak-anaknya besar dan pandai bermain kejar-kejar! 

*Catatan sesudah membaca posting Mawar.
























Saturday, February 1, 2014

Rak Buku



Rak buku saya sudah kritikal!

Struktur rak kuat sebenarnya, tapi papan pelapiknya yang tidak cukup kukuh untuk menahan beban. Mungkin buatannya lebih khusus untuk pemilik yang mempamer beberapa buah buku sebagai pelengkap hiasan di ruang tamu. 

Mula-mula saya hanya membeli tiga buah rak yang bersaiz 3kaki kali 7 kaki ini. Harganya sekira-kira mampu untuk saya. Oleh kerana buku-buku kelihatan kemas teratur dan masih ada buku-buku yang perlukan ruang, saya menambah lagi tiga buah. Tidak lama saya menikmati kegembiraan menatap buku-buku yang tersusun mengikut kategori, kerana bilangan buku cepat membiak, dan papan pelapik semakin lama semakin melentur. 

Kalau saya banyak wang, sudah tentu saya menempah rak khas. Kalaupun saya boleh menggantikannya dengan rak yang kukuh, saya sudah tidak kecukupan ruang lagi kerana bilik buku ini juga adalah ruang untuk saya berkarya di atas kanvas. Atau kalau saya pandai bertukang, saya gantikan saja papan pelapiknya dan menyangga bahagian tengah dengan tiang kayu agar kuat menampung beban. Ah! Banyaknya ber'kalau'! Saya perlukan tukang! Itu saja penyelesaiannya buat masa ini.




Thursday, January 30, 2014

Kanvas dan Fail


Hah! Fail dan kanvas! Ini pertentangan yang sungguh hebat! 

Antara fail-fail yang membosankan tetapi harus dipikul dengan tanggung jawab dengan kanvas besar yang membuakkan semangat.

Sempena cuti tahun baru Cina yang berangkai dengan hujung minggu, saya mengusung ke rumah fail-fail yang perlu dibereskan. Jika pada hari persekolahan memang sukar untuk mencari waktu untuk kerja-kerja begini. Dan pada hari yang sama juga kanvas yang saya tempah khas beberapa hari lepas dihantar ke rumah! Saya sudah lama tidak berkarya dengan bidang kanvas yang besar kerana ruang kerja yang sempit (dan semakin sempit). Oleh itu saya teruja sungguh dengan saiz baru ini. Tetapi tentu sekali saya harus menyiapkan fail-fail pengurusan yang sudah lama saya lengah-lengahkan. Sejak pelaksanaan SPSK, saya menjadi 'bodoh' dengan jawatan saya! Barangkali jika aspek pengurusan fail seperti ini dilaksanakan sejak dahulu, tentu dua helai sijil APC yang pernah diterima tidak menjadi milik saya!

Fail-fail dan segala kandungan yang entah diteliti entah tidak oleh pihak atasan ini sungguh memenatkan. Saya bukan orang yang boleh berkerja dengan kertas. Kepenatan ini membuat saya kerap mengerling pada kanvas besar dan tiub akrilik. Ya Allah, saya mohon kekuatan!


Sunday, January 26, 2014

Sesayup Masa


Seorang kawan editor menemui buku ini di USM. Saya lalu pinta dibelikan untuk saya juga. Alhamdulillah. Buku ini akhirnya saya dakap.

Sewaktu saya dalam tingkatan tiga (1979), saya membaca buku Sesayup Jalan di perpustakaan sekolah. Saya temui juga Dalam Pelarian Zaihasra dan Nyanyian Malam Siti Zainon Ismail. Saya sudah 'gila' membaca puisi lama sebelumnya, dan apabila buku-buku ini saya temui, maka hampir lengkaplah kegilaan itu! Saya katakan hampir lengkap kerana buku-buku puisi ini dan yang lainnya, bukan milik saya sendiri. Di Kota Bharu, sebuah kedai buku yang besarpun, sukar hendak ditemui buku puisi, kecuali yang dijadikan teks sekolah.

Dalam Pelarian Zaihasra mengasyikkan saya kerana sajak-sajaknya diselangi dengan foto penyairnya. Tentu lebih enak membaca sajak seseorang yang kita kenal (walaupun sekadar dari jauh!), bukan?!
Nyanyian Malam saya miliki kerana sepupu saya meninggalkan buku itu di rumah saya. Dalam Pelarian Satu saya dapatkan di DBP bertahun-tahun kemudian.

Saya temui buku-buku puisi Zurinah yang lain, tapi tidak Sesayup Jalan. Dan masapun juga semakin sayup!

Barangkali koleksi pertama saya adalah Dari Kertas Catatan Tengah Malam (Baha Zain) dan Azalea (Sutan Sharil Lembang). Kedua-duanya buku itu baru saja dibeli oleh seorang kawan yang tiba-tiba berubah fikiran. Dia menawarkan kepada saya. Oleh sebab sudah ada kegilaan itu, maka tawaran itu saya ambil. Kebetulan ayah baru saja memberi saya sejumlah wang kerana ketika itu ada pesta buku di Kota Bharu.

Waktu itu saya berazam hendak memiliki kesemua buku penyair yang saya minati. Sedikit demi sedikit koleksi saya bertambah. Tetapi tahun-tahun selepasnya ada waktu-waktu yang sukar lalu memaksa saya menjadi selektif. Ah! Sehingga kinipun azam itu masih ada!

Saya juga baru saja membeli buku-buku puisi yang memenangi Sayembara Penulisan Novel, Cerpen, dan Puisi anjuran ITBM-PENA-BH. Itupun tidak lengkap. Masih ada yang ingin didapatkan. Barangkali di PBAKL nanti.

Azam terkini, menyimpan sedikit wang untuk PBAKL!

Saturday, January 4, 2014

Alangkah....



Saya tidak berada di sekolah pada hari pertama persekolahan. Tugasan rasmi menuntut saya berada di tempat lain. Dunia FB, meski tidak berada di sekolah, saya dapat ikuti jua perjalanan hari pertama di sekolah saya bertugas. Melalui FB juga saya mengetahui beberapa kes murid tahun satu yang terlekat kepala pada palang kerusi. Dalam saya berharap agar guru tidak dipersalahkan, terbaca kenyataan seseorang yang mengatakan mungkin sebab guru asyik melayani candy crush! Walaupun saya percaya itu hanya komen jenaka, tertoreh jua hati ini. Alangkah bodohnya kami kalau melayani candy crush pada saat yang cukup sibuk itu. Dan alangkah bangangnya (erghhh! saya benci perkataan ini!) si pelontar komen ini kerana hendak berjenaka tidak kena tempat!

Selain pengurusan kelas, kesibukan awal tahun biasanya didahului dengan melengkapkan buku rekod mengajar kami. Seminggu atau dua minggu sebelum persekolahan bermula, kami sudahpun sibuk menyiapkan perancangan tugasan yang kami terima semasa mesyuarat tahunan sebelum penggal persekolahan bermula. Saya kerap terfikir alangkah baiknya jika pihak pentadbiran sekolah dapat menetapkan tugasan tahun berikutnya sebaik cuti bermula supaya kami punya masa yang panjang dan tidak terkejar-kejar untuk menyiapkan serba serbi dalam masa dua minggu.

Dalam zaman segala-galanya memerlukan komputer, alangkah baiknya jika KPM menjadi lebih canggih. Kalau kami guru boleh menggunakan komputer untuk mencatat rekod mengajar, mengapa tidak KPM menyediakan buku rekod mengajar yang khusus untuk hal itu? Tidaklah kami harus menampal catatan rekod mengajar yang kami buat menggunakan komputer ke dalam buku konvensional, yang apabila tiba ke pertengahan tahun ketebalannya menjadi berganda.

Saya tidak mengeluh. Cuma berharap beberapa hal yang remeh tidak terus-menerus mencuri waktu. Zaman serba pantas ini, kami guru dikehendaki bergerak pantas. Alangkah baiknya kalau server KPM yang lambat dan sering kali tergendala itu pada tahun ini menjadi sepantas FB!

Wednesday, January 1, 2014

Warna


Warna baru untuk tahun mendatang? 

Oh! Bukan untuk bicara tentang kisah-kisah dalam tahun masihi yang menutup pintunya, tetapi hanya gesaan hati yang meronta untuk mencalit warna!

Biarpun dihambat oleh tugasan rasmi, saya tidak dapat menghindar gerak hati. Tugasan rasmi tidak akan selesai selagi saya makan gaji, maka turuti saja rasa hati. Ya, saya menebar warna sebebas kehendak, dan melupakan keutamaan yang mendesak!