Wednesday, July 29, 2009

Tari dan Kucing

Ada dua perkara yang dekat dengan hati saya sedang berlangsung ketika ini - textile convention di UiTM, Shah Alam; dan Festival Tari Malaysia di Dewan Bandaraya KL. Antara kedua-duanya, textile convention agak 'jauh-jauh dekat'! Dijauhkan oleh kosnya! Maka saya memilih Festival Tari (Percuma!).

Dewan Bandaraya hampir penuh sewaktu kami (saya dan Uda) tiba. Saya sudahpun diberitahu oleh seorang teman penari akan kemungkinan hal ini. Sebelum memasuki dewan terjumpa teman-teman lama semasa di USM, selain rakan dan kenalan di Jabatan Kebudayaan yang sememangnya berkampung di sebuah hotel sepanjang festival berlangsung (27 - 31 Julai). Dan terserempak pula dengan Bro Fendi sekeluarga sesudah show.

Festival ini merupakan acara tahunan. Sebenarnya suatu pertandingan kumpulan-kumpulan kesenian yang mewakili zon masing-masing. Malam pertama menampilkan persembahan kumpulan dari Melaka dan Sabah. Malam kedua dengarnya dari Johor, manakala malam ke tiga dari Selangor. Menarik. Kalau boleh nak pergi tengok tiap-tiap malam....("Boleh tak kekandaku?")

Sepanjang menaip catatan ini saya diganggu oleh 'tangisan' si Te O yang kehilangan anak. Ini adalah kali ke tiga dia beranak. Batch pertama habis mati digigit kucing jantan. Dia beranak di celah-celah batu di hadapan rumah.

Sewaktu balik dari sekolah suatu hari, saya mengintai-ngintai celah-celah batu itu hanya untuk memastikan anak-anak kucing itu selamat. OK, mereka ok. Saya masuk ke rumah dan kembali keluar lima belas minit kemudian. Alangkah terkejutnya melihat tompokan darah di merata-rata tempat di hadapan pintu. Rupa-rupanya sudah dikerjakan oleh kucing jantan yang sempat saya lihat lari ke luar pagar.

Te O tak tentu arah jadinya. Kadang-kadang tidak semena-mena dia 'menampar' kaki kami atau mengiau kuat ke arah kami. Bagai mengisyaratkan kekecewaannya (atau kemarahannya?).

Kali kedua dia beranak di bawah katil. Anak-anaknya sempat membesar tetapi tidak berapa cergas. Seekor demi seekor mati. Kata abang mungkin jangkitan kuman.

Kali ketiga, kami sangat berhati-hati. Kami menutupi sangkarnya dengan lapisan kain agar suasananya lebih 'tersorok'. Sewaktu anak-anaknya masih berjalan terketar-ketar, ruang mereka hanya di sekitar bilik belakang yang kami jadikan bilik studi.

Bila mereka sudah pandai bermain-main, kami pindahkan ke court-yard. Jaringan gril kami tutup dengan ikatan dawai agar tiada lubang yang memboloskan mereka keluar ke halaman rumah.

Dari sebalik kaca pintu gelongsor, selalu saya berdiri saja memerhatikan mereka bermain kejar-mengejar ekor sesama sendiri. Kadang-kadang memanjat badan si ibu dan menggigit-gigit telinga ibu mereka. Ada masanya seekorpun tidak kelihatan, rupa-rupanya mereka tidur di dalam pasu yang bermulut kecil.

Te O mengajar mereka memanjat gril. Sesudah itu bermulalah dunia baru buat si kenit- si kenit ini. Mereka berkejar-kejaran di laman depan, atau bersembunyi di bawah rimbunan daun langsuyar dan batu-batu.

Sewaktu zaman anak-anak dulu saya memang penggemar makhluk comel ini. Pantang terjumpa kucing terbiar di tepi-tepi jalan, saya kutip dan bawa pulang untuk dibela. Kini anak-anak pula yang membela kucing, saya tumpang bermain... dan kehadiran mereka sebenarnya menjadi suatu bentuk terapi.

Apabila anak-anak membaca novel Zaharah Nawawi buat kali yang pertama, saya ceritakan perihal Zaharah Nawawi dengan kucing-kucingnya. Anak-anak jadi seronok kerana pengarang yang mereka minati juga merupakan penggemar kucing. Lalu cepatlah pula mereka menambah karya Zaharah ke dalam koleksi mereka.

Kini Te O menangis lagi... ketiga-tiga anaknya tiba tiba ghaib serentak. Hati kami kuat mengatakan mereka dicuri orang. Siapalah yang tidak geram melihat tiga ekor anak kucing comel yang lincah. Tapi pencuri kucing itu sepatutnya tahu bahawa tidak baik memisahkan ibu kucing dari anak-anaknya. Binatangpun mempunyai perasaan juga!

Kasihan Te O...

Tuesday, July 21, 2009

Sajak Sahabat




Sajak di atas kusimpan bukan sahaja kerana ditulis oleh sahabat baikku, tetapi juga kerana aku menyenangi sajaknya yang berbentuk lirikal. Lupa pula hendak mencatatkan tarikh sajak ini tersiar, tapi aku ingat akhbarnya, Berita Minggu.

Sabrihadi (nama sebenarnya Kamarudin Abdul Rahman), berasal dari Pasir Mas dan merupakan teman sekursus semasa di USM. Dia juga antara teman yang menghadiri majlis perkahwinanku. Dia datang bersama bekas guruku, Lim Swee Tin (Dr). Lim Swee Tin ketika itu masih mengajar di sekolah lamaku.

Melalui rencananya yang tersiar dalam Dewan Sastera bertahun yang lalu, aku mengetahui yang dia menjadi guru. Pastilah dia seorang guru sastera yang baik kerana dia menyintai bidang pendidikan dan kesusasteraan.

Tidak kutahu bagaimana kabarnya kini. Aku juga telah terputus hubungan dengan kawan-kawan yang lain seperti Noorjan (Ada terbaca beberapa cerpennya dalam akhbar), Baha Azuwan yang suka berbahasa isyarat, Shukri Matt Ali yang lebih banyak tersenyum, danHajah Simpol serta Rosli barangkali masih dengan DBP Brunai.

Cikgu Gaji Kecik

A boy who spotted long hair was caught and had his hair cut by a disciplinary teacher. This made his father angry. He came to school and warned the disciplinary teacher, "Don't touch my son!" "Berapa sangat gaji cikgu nak potong rambut anak saya?" He added.

Well, I guess this man never go to school, that is why he doesn't know the school's rules!

The incident makes me wonder why does he send his son to school? After all he needs neither school nor cikgu bergaji kecik to educate his son....

Thursday, July 16, 2009

Kinabalu oh Kinabalu



Sajak ini tersiar dalam majalah Jelita Jun 2009. Sebenarnya dah terlupa ada mengirimkan sajak ini kepada Jelita. Sajak ini ditulis pada tahun 2007, iaitu selepas percubaan mendaki Kinabalu buat pertama kali. Percubaan itu gagal. Di Laban Rata tiba-tiba saja kepala berdenyut. Khuatirkan migraine, saya berpatah balik ke rest house Panar Laban.
Ustaz Azka, melihat saya berpatah balik, ikut mematikan hasrat mendaki ke puncak, disusuli oleh teman kami, Baizura@Mek Besut. Teman-teman yang lain, Azman dan dua orang kawannya (maaf, lupa nama mereka) meneruskan pendakian.Noraini juga terus mendaki, tetapi angin di puncak waktu itu terlalu kencang (120 kph). Lagi 200 metre ke puncak, juru pandu menasihatkan dia supaya tidak meneruskan perjalanan kerana terlalu bahaya.
Walau bagaimana pun, saya berpuas hati juga. Dapat menikmati pemandangan terutamanya selepas kilometer ke lima, merupakan pengalaman yang menakjubkan. Sangat cantik. Beberapa kali saya berasa ingin duduk saja merenung pemandangan terhampar indah di ruang pandangan.



Pendakian kali kedua pada Mei 2009.

Noraini (belakang sekali) mengajak saya mencuba lagi. Jenuh juga kami mencari teman-teman untuk ikut serta. Teman-teman yang mendaki Kinabalu dengan kami sebelum ini mencari pengalaman baru di Gunung Stong, Kelantan.
Kami mendaki lagi. Kali ini dalam kumpulan yang kecil. Apabila berada dalam kumpulan sekecil ini, baru aku kenal Ustaz Azka (tengah) yang sebenar - dia gila-gila bahasa rupanya!



Percubaan mendaki kali pertama (Disember 07) kami melalui Mesilau dan menuruni Timpohon. Trek dari Mesilau lebih mencabar ketahanan. Diakui oleh juru pandu bahawa trek ini lebih sukar. Kali kedua mendaki kami melalui Timpohon. Jaraknya lebih pendek(2 km lebih pendek berbanding Mesilau). Jam 9 pagi memulakan pendakian, jam 3 petang tiba di Laban Rata.
Kali ini suhu di Laban Rata tidak serendah Disember lepas. Disember lepas 8 darjah, kali ini 11. Jam 4 pagi mulai mendaki. Jam 6 baru tiba di Sayat-sayat (km ke 8). Matahari telah tinggi sewaktu kami berada di puncak. Tetapi bila dibuka jeket, sejuknya terasa menggigit. Kami mengambil kesempatan untuk berada di puncak sepuas-puasnya kerana kami telah menempah bilik di Laban Rata untuk dua malam.
Perjalanan turun melalui Timpohon pun dalam keadaan santai. Tiada yang perlu dikejar. Tidak perlu terburu-buru. Jadi saya mengambil kesempatan untuk menikmati pemandangan.
Tahun hadapan kami merancang untuk mencuba Gunung Mulu pula. Hah! Pada usia 40an baru kutahu nikmatnya mendaki gunung!

Dari Lembaran Lama



Sajak ini tersiar dalam akhbar Berita Minggu 12 April 1987. Waktu itu saya di USM, mengambil kursus sijil Penulisan Kreatif selama setahun. Sajak-sajak lain yang turut tersiar dalam ruangan PUISI adalah Uzlah karya Chulan Chin, Kuala Lumpur; Tanpa Kamu Sedar, karya Sabar Bohari, Sri Andalas; dan Kampung Nelayan, Kuala Sungai & Ombak karya Arifin Said, Kuantan.
Lembaran akhbarnya telah lusuh dan menguning. Menghantarnya ke ruang blog ini supaya tidak terus dipudarkan waktu.

Wednesday, July 15, 2009

Pertemuan Pertama


Sesudah lama menyepi dari puisi, terasa ada sesuatu yang hilang. Untuk mengembalikan citra puisi, maka kugagahi diri untuk menghadiri pertemuan penulis muda di rumah PENA. Itu pun setelah diberitahu oleh Mawar Shafie bahawa pertemuan itu terbuka kepada semua peminat sastera (Mawar merupakan penulis yang kuminati, memiliki senyuman yang manis dan dengan manis juga sudi menyambut salam perkenalan dariku sesudah bertemunya dalam sebuah acara). Jika tidak aku tentu berasa segan untuk menghadiri sebarang pertemuan sastera kerana selalu sahaja berasa kerdil, mengenangkan namaku hanyalah butiran zarah dalam dunia sastera.

Pada hari tersebut, mula berkenalan dengan Siti Hajar Mohd Zaki, dan Pak Engku (Al Fatihah buat beliau), nama besar dalam kesusasteraan tanah air yang begitu ramah memberi dorongan. Beliau sudi mengedit dan memberi komentar beberapa sajakku.

Arwah Pak Engku kemudiannya menjadi pengadil tetap dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Sekolah Menengah Peringkat Daerah yang dikendalikan oleh SMK Seri Gombak, tempat aku bertugas ketika itu. Beliau menjadi akrab dengan guru-guru sekolah kami. Dan Siti Hajar menjadi teman dalam beberapa acara sastera kerana kebetulan kami berada dalam zon geografi yang sama - aku di Seri Gombak, dia di UIAM. Kini sama-sama menetap di Puncak Alam.

Foto di atas dirakam oleh Faizal Tehrani, dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera Julai 2002, mengiringi tulisan Zainal Rashid Ahmad yang berjudul Selembar Sejarah Sekretariat Penulis Muda GAPENA.

Catatan tentang Puisi

Bermula dengan kesenangan membentuk bunyi. Keghairahan terhadap kebolehan baru mencantum huruf demi huruf untuk membentuk bunyi - mulanya bunyi yang pendek-ringkas; yang biasa terlihat pada papan tanda-papan tanda di jalanan. Kemudian beralih kepada cerita. Inilah dunia baru untuk anak kecil yang tidak punya ramai teman bermain.

Bunyi menjadi semakin seronok kerana berasosiasi dengan turutan peristiwa terjalin lantas memunculkan kesan perasaan - ketegangan, tanda tanya dan kesudahan sama ada bahagia atau tragis.

Sesudah bunyi menemukan cerita, bunyi tampil dengan nada, irama dan rentak oleh permainan susunan bunyinya, barisnya dan rangkapnya. Sehingga timbul rasa keindahan menyebut-baca bunyi-bunyi itu. Tidak tahu apa yang dikatakan lirik, puitis, estetik atau istilah-istilah lain yang digunakan dalam kajian bahasa indah. Cuma tahu ia terasa, terdengar dan terlihat indah. Maka yang indah lalu dihafal, dibacakan kuat - sekurang-kurangnya terdengar oleh telinga sendiri. Kerap juga perdengarkan pada nenek yang sudi menelinga. Kesudian nenek barangkali juga diasak oleh himbauan rindu pada arwah datuk yang sering dijemput rata-riti untuk perdengarkan syair hikayat anak-anak raja mitos.

Susudah itu terbentuklah pula keghairahan baru - merangkai bunyi-bunyi yang kurasa indah daripada kata-kata yang dipilih. Kata-kata dianyam menjadi frasa. Frasa membentuk nada, lalu akhirnya terbentuklah puisi.

Tetapi puisi bukan sekadar menghantar keindahan bunyi yang terbentuk dari kata. Puisi harus mengandung makna untuk memiliki jiwa. Lalu peralihan usia membawa citra puisi yang mulai berbeza daripada puisi-puisi awal. Ada sesuatu yang terasa mendesak dari dalam diri. Ada sesuatu yang harus dimunculkan dalam patah demi patah kata.Hingga akhirnya puisi bagai suatu bentuk katarsis, walaupun mungkin tahapnya tidak tercapai. Tetapi itulah bentuk kesenangan yang paling mungkin untuk aku menyenangi puisi!

Monday, July 13, 2009


KELAHIRANMU
(Untuk Najaa Athirah)

Setitis embun bening
gugur
memantul sinar emas
ke hati
yang digenangi
harap dan cemas mimpi.

Engkaulah yang hadir
kehadiran yang membunga citra
oleh zarah cinta
mewangi dan menyegar
jalan ke rumah cinta.

Tika tangismu mula
mengetuk pintu penantian
ku mohon Illahi
titipkan buatmu
rasa insani.

Kelak nanti kau mengerti
cinta yang menghulur tangan
menyambut kedatanganmu di sini
amat mahal di negeri berdarah
seberang benua.
Tak bererti bagi manusia
yang kemabukan rasa
memancang kuasa.

Kelak nanti kau syukuri
damai yang membumbungi kita
tidak dimiliki
oleh anak-anak di negeri derita
di sana langitnya kelabu
oleh debu peluru
renung yang kelam
oleh nyala mesiu.

Kelak nanti
kau mengerti nikmat
memahami azab
dewasalah kau dalam kehalusan rasa
dan fikir yang bijaksana!

Rositah Hj Ibrahim
(Visi Suri Mei 2003)

Thursday, July 9, 2009

Puisi Pelukis

i
Telah kaubancuh warna
sepi meraung
di hujung berus.

Telah kauungkap tutur
laut deritamu mengering
dan memunculkan
segala khazanah
yang terpendam di dasarnya.

Telah kaususur
Galau dan galur peristiwa
Mematang denai usia.

ii.
Tentang sajakmu
Dari aksara garis
Dan gema warna
Telah kaulagukan
Pada nyanyian yang tersebar
Dari bibir cinta.

Tentang jerih pengalaman
Melalui detik berjingkat
Telah kautinggalkan
Pada jelaga kenangan.

Kau memacak keyakinan
Sinar cemerlang
Menugu arca
Pada cinta yang bergugus
Pada sela serakan warna.

Rositah Ibrahim
Gombak

Jelita.Dis 03