Wednesday, July 29, 2009

Tari dan Kucing

Ada dua perkara yang dekat dengan hati saya sedang berlangsung ketika ini - textile convention di UiTM, Shah Alam; dan Festival Tari Malaysia di Dewan Bandaraya KL. Antara kedua-duanya, textile convention agak 'jauh-jauh dekat'! Dijauhkan oleh kosnya! Maka saya memilih Festival Tari (Percuma!).

Dewan Bandaraya hampir penuh sewaktu kami (saya dan Uda) tiba. Saya sudahpun diberitahu oleh seorang teman penari akan kemungkinan hal ini. Sebelum memasuki dewan terjumpa teman-teman lama semasa di USM, selain rakan dan kenalan di Jabatan Kebudayaan yang sememangnya berkampung di sebuah hotel sepanjang festival berlangsung (27 - 31 Julai). Dan terserempak pula dengan Bro Fendi sekeluarga sesudah show.

Festival ini merupakan acara tahunan. Sebenarnya suatu pertandingan kumpulan-kumpulan kesenian yang mewakili zon masing-masing. Malam pertama menampilkan persembahan kumpulan dari Melaka dan Sabah. Malam kedua dengarnya dari Johor, manakala malam ke tiga dari Selangor. Menarik. Kalau boleh nak pergi tengok tiap-tiap malam....("Boleh tak kekandaku?")

Sepanjang menaip catatan ini saya diganggu oleh 'tangisan' si Te O yang kehilangan anak. Ini adalah kali ke tiga dia beranak. Batch pertama habis mati digigit kucing jantan. Dia beranak di celah-celah batu di hadapan rumah.

Sewaktu balik dari sekolah suatu hari, saya mengintai-ngintai celah-celah batu itu hanya untuk memastikan anak-anak kucing itu selamat. OK, mereka ok. Saya masuk ke rumah dan kembali keluar lima belas minit kemudian. Alangkah terkejutnya melihat tompokan darah di merata-rata tempat di hadapan pintu. Rupa-rupanya sudah dikerjakan oleh kucing jantan yang sempat saya lihat lari ke luar pagar.

Te O tak tentu arah jadinya. Kadang-kadang tidak semena-mena dia 'menampar' kaki kami atau mengiau kuat ke arah kami. Bagai mengisyaratkan kekecewaannya (atau kemarahannya?).

Kali kedua dia beranak di bawah katil. Anak-anaknya sempat membesar tetapi tidak berapa cergas. Seekor demi seekor mati. Kata abang mungkin jangkitan kuman.

Kali ketiga, kami sangat berhati-hati. Kami menutupi sangkarnya dengan lapisan kain agar suasananya lebih 'tersorok'. Sewaktu anak-anaknya masih berjalan terketar-ketar, ruang mereka hanya di sekitar bilik belakang yang kami jadikan bilik studi.

Bila mereka sudah pandai bermain-main, kami pindahkan ke court-yard. Jaringan gril kami tutup dengan ikatan dawai agar tiada lubang yang memboloskan mereka keluar ke halaman rumah.

Dari sebalik kaca pintu gelongsor, selalu saya berdiri saja memerhatikan mereka bermain kejar-mengejar ekor sesama sendiri. Kadang-kadang memanjat badan si ibu dan menggigit-gigit telinga ibu mereka. Ada masanya seekorpun tidak kelihatan, rupa-rupanya mereka tidur di dalam pasu yang bermulut kecil.

Te O mengajar mereka memanjat gril. Sesudah itu bermulalah dunia baru buat si kenit- si kenit ini. Mereka berkejar-kejaran di laman depan, atau bersembunyi di bawah rimbunan daun langsuyar dan batu-batu.

Sewaktu zaman anak-anak dulu saya memang penggemar makhluk comel ini. Pantang terjumpa kucing terbiar di tepi-tepi jalan, saya kutip dan bawa pulang untuk dibela. Kini anak-anak pula yang membela kucing, saya tumpang bermain... dan kehadiran mereka sebenarnya menjadi suatu bentuk terapi.

Apabila anak-anak membaca novel Zaharah Nawawi buat kali yang pertama, saya ceritakan perihal Zaharah Nawawi dengan kucing-kucingnya. Anak-anak jadi seronok kerana pengarang yang mereka minati juga merupakan penggemar kucing. Lalu cepatlah pula mereka menambah karya Zaharah ke dalam koleksi mereka.

Kini Te O menangis lagi... ketiga-tiga anaknya tiba tiba ghaib serentak. Hati kami kuat mengatakan mereka dicuri orang. Siapalah yang tidak geram melihat tiga ekor anak kucing comel yang lincah. Tapi pencuri kucing itu sepatutnya tahu bahawa tidak baik memisahkan ibu kucing dari anak-anaknya. Binatangpun mempunyai perasaan juga!

Kasihan Te O...

4 comments:

FaAtip said...

Kesiannya Te O!! She must be very tough, man!

Rositah Ibrahim said...

Te O, tiap kali nak beranak akan 'menjemput' saudaranya yang jantan untuk menemaninya. Cara dia memanggil saudaranya ialah dengan mengiau kuat dan bergerak beberapa langkah. Jika saudaranya tak paham, dia akan mendapatkan saudaranya dan'menampar' (tampar manja gitu)leher saudaranya itu.
Emaknya si Keini pun dah beberapa kali beranak. Semua survive.At on time anak Keini dan anak Te O membesar serentak sampai i naik confuse!Dah lah si Te O tu rupanya sebijik macam Keini. Tapi anak-anak cam je ....

FaAtip said...

Kak Eta,

Nanti masukkan gambar Te O dgn Keini...(ni nama Jepun ke? Macam cerita Oshin pulak...)

Ni nama2 kucing saya masa saya budak lagi. Last sekali bela kucing 9 years ago...

Fitzi, Panjang (sbb ekor dia panjang), Pendek (sbb ekor dia pendek), Jahat (sbb suka berak merata2), Fox (muka dia mcm musang), Black (ni kucing hutan ayah saya bawak balik dari hutan Grik masa kerja askar dulu, habis anak2 ayam kena makan)

Rositah Ibrahim said...

Ha ha.. budak-budak yang letak nama kucing! Apart from Keini, the rest are named after drinks - Pepsi, ABC, Kopi, Te O, Latte, Sarsi.... lain-lain dah lupa! Kalau hubby mintak kopi i letak je Kopi (meow...) atas riba dia!