Thursday, July 9, 2009

Puisi Pelukis

i
Telah kaubancuh warna
sepi meraung
di hujung berus.

Telah kauungkap tutur
laut deritamu mengering
dan memunculkan
segala khazanah
yang terpendam di dasarnya.

Telah kaususur
Galau dan galur peristiwa
Mematang denai usia.

ii.
Tentang sajakmu
Dari aksara garis
Dan gema warna
Telah kaulagukan
Pada nyanyian yang tersebar
Dari bibir cinta.

Tentang jerih pengalaman
Melalui detik berjingkat
Telah kautinggalkan
Pada jelaga kenangan.

Kau memacak keyakinan
Sinar cemerlang
Menugu arca
Pada cinta yang bergugus
Pada sela serakan warna.

Rositah Ibrahim
Gombak

Jelita.Dis 03

6 comments:

Adi Razmal bin Abd Rahim said...

Jelaga kenangan...
mengaburi warnaan
wajah catan kian
murung dan sepi

Hanya...

menunggu hamburan hujan
mengikis kekelabuan rupa
menerbitkan pancaran
juga kilau keceriaan

Lalu...

memberi sinar
terlukis kembali
senyuman
pada sang pelukis
Yang berpuisi

aTip said...

Waaa..you guys, aje yang pandei berpuisi yeee....

Rositah Ibrahim said...

Terima kasih Adi.
T kasih, atip. Saya tak pandai berpuisi sebenarnya. Kalau pandai dah terima hadiah sastera dah... Puisi seharusnya terbina dari pilihan diksi terbaik dalam susunan yang terbaik, dan harus juga berjiwa. Saya belum sampai ke tahap itu.

Adi Razmal bin Abd Rahim said...

Saya juga gitu. hentam jer. Tahniah Ita teruskan menulis untuk santapan mata, rasa kami semua.

Mohamad Aris said...

tahun 2003 ,terbit dalam jelita...lama tersimpan puisi ni...tahniah

Rositah Ibrahim said...

Terima kasih. Ruang ini antara lain untuk turut sama menyumbang apa yang boleh untuk kesusasteraan tanah air, meski sumbangannya sezarah cuma. Selebihnya berupa catatan peribadi. Sajak-sajak yang pernah tersiar akan saya abadikan sebagai suatu bentuk rakaman, boleh juga ditatap anak cucu! Jika tidak diabadikan bimbang pula kertas akhbar/ majalah menguning, garing dan kabur oleh mamahan usia. Kalau kawan-kawan sudi membacanya, aduh, besarnya rasa hati!