Wednesday, December 26, 2012

Antara Aksara dan Warna


Ini perolehan saya sepanjang bulan November dan Disember. Tidak sempat ke The Big Bad Wolf Sales - sungguhpun bercuti, masa tidak lapang sepenuhnya. Juga belum menjengah DAWAMA. Dan pada hujung Januari nanti ada jualan buku (Wah! Seronoknya ada bonus!!) Masih juga ada beberapa novel yang diperolehi lebih awal yang belum lagi diselesaikan.

Saya kagumi mereka yang banyak membaca dan banyak pula karya yang terhasil - sesuatu yang tidak mampu saya lakukan. Antara pembacaan saya yang tersangkak-sangkak, merangkak jugalah saya serakkan warna pada wajah kanvas.

Dan sebagai wanita pula, masa harus berbahagi dengan kerja-kerja rumah tangga, walaupun saya akui, bahagian ini tidak juga sempurna!

Ya, menjadi suri sangat sibuk. Lebih-lebih lagi kesibukannya jika dalam masa yang sama mahu berkarya - menulis dan melukis. Catan-catan saya setakat ini tidak besar saiznya - sekitar tiga setengah hingga empat setengah kaki sahaja. Mendapat semangat daripada anak gadis saya yang sedang mengusahakan pameran bersama pelukis-pelukis muda wanita, saya juga mahu memulakan catan yang bersaiz besar. Allahuakbar! Banyaknya yang dimahukan oleh wanita tua ini!





Wednesday, November 28, 2012

Catatan Ibu

Tanyalah sesiapapun, saya sangat pasti bahawa semuanya akan mengalami setidak-tidaknya secebis perasaan sebak takala menghadiri majlis konvokesyen anak.

Dua puluh enam tahun yang lalu saya melangkah ke pentas menerima ijazah seni halus, kini anak kedua menapak pada jejak yang sama. Syukur ke hadrat Ilahi.


Dan yang lebih istimewa adalah kerana pada hari yang sama, anak sulung menyarung jubah berlainan warna di tempat yang berbeza. Ya, itu bererti dalam kedua-dua majlis ini kami tidak dapat berkumpul sebagai sebuah keluarga. Namun saya merasai limpahan rezeki daripadaNya. Itulah keistimewaan yang jarang-jarang sekali berlaku.


Puteri sulung dan puteri kedua kini melangkah ke alam kerjaya. Mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari.

Puteri ke tiga dan keempat juga melangkahi lawang rumah ibu sesudah menamatkan kursus persediaan dalam negara. Istimewa juga kerana juga berlaku dalam tahun yang sama, kerana si kakak menjalani kursus selama dua tahun, dan si adik pula setahun.



Manis kenangan kedua-dua majlis ini adalah kerana dapat dirai oleh kesemua ahli keluarga. Dan hal itu tidak mengurangkan keistimewaan majlis konvokesyen kedua-dua kakak mereka yang jatuhnya pada hari yang sama. Dan doa kami sebagai orang tua, tentu saja tidak berbeza dengan doa ibu bapa lain....

Wednesday, November 21, 2012

Cerita Puisi, Cerita Catan



Sewaktu mula 'gila' menulis puisi, saya fikir puisi adalah rangkaian kata-kata yang indah. Maka saya pun merangkailah kata demi kata. Hanya sesudah bacaan demi bacaan saya mesrai, saya mulai terasa betapa sukarnya menulis puisi.

Demikian juga dengan lukisan. Saya kira sekadar mencalit warna maka lengkaplah suatu ekspresi. hanya sesudah mengenali bahasa visual, barulah terasa melukis itu suatu kerja yang sukar.

Ya, sekadar jalinan kata belum lengkap sebagai puisi. Sekadar calitan warna tidak berdiri sebagai catan.

Dan sesudah dua minggu saya hanya merapi ruang studio, saya belum juga melakar sebarang getar warna.....

Wednesday, October 24, 2012

Yang Popular, yang Serius, yang Berseni....

Ada orang membaca novel kerana 'mahu dipukaukan' oleh keasyikan tragedi dalam jalinan plot. Mereka tenggelam dalam debaran yang ditimbulkan oleh pengarangnya. Dan golongan seperti ini ramai. Maka itu novel-novel popular; seperti istilahnya- kekal popular.

Novel-novel serius, yang membawa seni kepengarangan, yang menghidangkan buah fikiran, yang meninggalkan kesan terhadap pembacanya - jika dibandingkan dengan novel popular, khalayaknya tentu sekali tidak semeriah novel popular.

Novel popular, oleh kerana sifatnya memang sudah popular, pada saya tidak perlulah dicanang-canangkan lagi. Tidak perlulah dibawa penulisnya ke institusi pendidikan untuk memperkatakan novelnya. Institusi pendidikan (sekolah atau universiti) seharusnya mendidik pelajarnya terhadap nilai seni dalam karya sastera. Maka wajarlah institusi pendidikan memilih dengan cermat siapa yang seharusnya diperkenalkan kepada pelajarnya.

Suatu ketika, sebuah unit di sekolah saya menjemput seorang pengarah yang menghasilkan filem-filem yang mendapat sambutan hebat, istilahnya box office; untuk menyampaikan ceramah tentang peluang melanjutkan pelajaran dan bidang kerjaya berkaitan dengan filem. Oleh kerana dia bertugas di IPT, maka skop itu memanglah sangat wajar. Dia juga bercakap tentang filem-filemnya mendapat sambutan hebat, juga bintang-bintang kelahirannya yang terkenal dan bergemerlapan dalam dunia seni (seni?). Dalam hal khalayak, filem samalah seperti novel - yang berseni khalayak pembaca/penontonnya lebih kecil. Kecil kerana khalayak ini bersifat selektf dan tidak mudah terpesona dengan kerlip bintang.

Filem popular -  seperti juga novel popular; oleh kerana sifatnya memang sudah popular, maka tidak perlulah dicanang-canangkan lagi!

Dalam sesi soal-jawab, saya mengambil kesempatan untuk menyatakan pendirian - filem yang baik bukan diukur dari segi berapa ramai penontonnya, tapi berapa kuat kesan yang ditinggalkan ke atas penontonnya. Untuk soalan saya jawapannya adalah sebagai pengajar perfileman, dan pembuat filem, dia bertanggung jawab untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajarnya. Saya jadi malas hendak berkata apa-apa lagi - seorang pengajar IPT lebih mementingkan nilai komerial untuk kelangsungan hidup. Hal inikah yang diajar di sebuah sekolah filem? Bagaimana dengan nilai? (Oh! Nilai hanyalah sebuah ungkapan yang tercetak pada halaman buku Pendidikan Moral!! Hah!)

Wednesday, October 17, 2012

Cerita Biasa Tentang Buku....

Saya tidak mampu hendak menempah rak buku pasang siap, jadi saya beli saja beberapa buah rak buku daripada kedai perabot dengan harga sekira-kira mampu, dan berharap dapatlah saya menyusun koleksi saya dengan kemas.


Rupa-rupanya rak saya tidak cukup kuat untuk menampung beban!


Juga tidak kecukupan ruang....



Bagaimana kalau saya jual buku anak-anak yang saya belikan untuk mereka sewaktu mereka kecil dahulu? (Oh! Tidak boleh, saya tetap sayang!)


Mmmm......



Sunday, October 7, 2012

Kembali ke Gema Dikir



Satu kejutan yang manis! Saya menerima jemputan ke majlis Penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Exxonmobil lewat telefon. Hanya sesudah menerima surat jemputan rasmi barulah tahu bahawa saya memenangi salah satu kategori hadiah sastera tersebut. Dan satu-satunya sajak saya yang tersiar di Mingguan Malaysia pada tahun 2011, "Kembali Ke Gema Dikir", kembali menggemakan getar makna dalam diri. Syukur, Alhamdulillah. 

Sungguh saya terasa kecil berada dalam kelompok penulis-penulis lain yang sememangnya telah berkali-kali menerima pengiktirafan. Jujur juga saya berasa takut dengan momentum menulis saya yang tidak konsisten ini....

Monday, September 17, 2012

kerja kursus


(Foto di atas adalah hasil kerja PEKA Sains seorang murid - saya ulang: SEORANG murid! Berapa jenis tulisan tangan yang dapat kita lihat?)

Guru-guru mata pelajaran yang terlibat dengan kerja kursus sebenarnya berhadapan dengan tekanan yang bukan sedikit. Jumlah murid besar. Murid corot, murid kaki tuang - adalah golongan yang memberi tekanan. Oh! Guru tidak boleh diberi tekanan? Guru tidak sanggup menghadapi cabaran? 

Bukan! 

Sebenarnya apakah untungnya kerja kursus kepada murid corot dan kaki tuang? Untuk memenuhi kehendak sistem penilaian, guru harus memaksa murid jenis ini menyiapkan kerja kursus, walau dengan apa cara sekalipun . Maka terhasillah laporan yang disalin bulat-bulat dari kawan, dan lebih teruk lagi, kerja kursusnya adalah 'hasil kerja ko-operasi' rakan-rakan! Hal sebegini berlaku dalam semua mata pelajaran. Foto di atas hanyalah salah satu contoh. Nasib baik juga kes ini tidaklah mencecahpun 10 peratus.


Friday, September 7, 2012

Terbanglah rama-rama kecilku...


Dari ulat jadi kepompong
tidur lena dalam kelongsong
cukup masa kelongsong pecah
jadilah rama-rama yang indah!

Inilah antara dendangan anak-anak sewaktu mereka kecil dulu. Melodi mudah dan senang untuk memikat ibu mereka menyanyi bersama. Secara tidak langsung dendangan itu menjadi suatu bentuk pembelajaran tentang hidupan.

Ya, melodi ini terngiang-ngiang kembali sewaktu seorang demi seorang saya peluk dan cium untuk melepaskan mereka ke benua asing....

Monday, August 6, 2012

Lasykar Pelangi


Saya terlewat memiliki dan membaca buku ini. Awalnya saya fikir novel popular yang biasa, lalu tidak tertarik minat untuk memilihnya. Sesudah terlalu kerap diperkatakan, saya menyusur toko buku yang selalu saya kunjungi tapi novel ini sudah tidak berada di raknya lagi. Saya malah menonton filemnya terlebih dahulu. Filem yang baik dan cantik visualnya. Saya mencarinya lagi di toko buku, masih tidak menemuinya. Yang saya temui adalah dwiloginya, Cinta di Dalam Gelas-Padang Bulan.

Kebiasaannya saya kurang berminat membaca novel yang saya  telah tontoni sebagai filem. Membaca karya kreatif melibatkan pemikiran, juga daya visualisasi. Pembaca mencipta gambaran dalam bayangannya, dan pasti saja gambaran setiap pembaca itu berbeza-beza meski ayat yang dibaca adalah ayat yang sama. Menonton filem ibarat membaca ayat yang daya visualisasinya telah dibina, jadi saya selalu terganggu untuk mencipta visual sendiri. Tapi ternyata novel ini punya tarikan yang lain. Hati saya terlonjak apabila terlihat novel ini di sisi karya Andrea Hirata yang lain, iaitu dwiloginya yang telah saya milikinya. Tanpa berlengah, saya mencapainya - dan terasa puas! 

Thursday, July 12, 2012

Catatan Biasa


Sewaktu saya kanak-kanak, saya mengira-ngira hari hendak menyambut hari raya kerana terbayangkan baju dan sepatu baru. Tetapi Najaa, pada usia 11 tahun, tidak sabar hendak menyambut puasa kerana hendak bersama-sama menyediakan biskut (walaupun kerjanya hanyalah meletakkan 'perhiasan' sahaja). Dia sudah mengambil buku resipi kegemarannya dan sudah mula merengek-rengek agar saya segera membeli bahan-bahannya. Saya belum sempat melayani permintaannya. Saya lebih memikirkan keperluan dua orang anak yang akan berangkat untuk belajar di luar negara. Adibah, anak ke tiga saya akan bertolak ke US pada minggu ke tiga Ramadhan, dan adiknya, Fathanah, ke Kanada pada minggu kedua Syawal. Kedua-duanya akan berada di sana selama 4 tahun.

Saya sudah biasa dengan keberangkatan seorang demi seorang anak meninggalkan rumah kerana memasuki kolej atau universiti. Anak-anak saya rapat jarak umurnya, maka itu hampir setiap tahun kami menghantar mereka mendaftar di kolej atau universiti. Kecuali yang sulung, yang lain kesemuanya berhampiran, dan boleh dijengah hampir setiap minggu. Setakat ini, saya tidak merasakan perpisahan itu sesuatu yang berat untuk ditanggung. 

Sehingga ke saat ini saya agak kabur tentang bagaimanakah nanti saya hadapi perpisahan dalam jarak waktu yang panjang, dengan jarak geografi yang jauh. Mungkin kerana saya lebih sibuk bertanyakan anak-anak perkara yang harus mereka uruskan - paspot, visa, pemeriksaan kesihatan, pakaian, dan lain-lainnya. Barangkali saya juga seperti Najaa - belum mengalami perasaan sebenar sehingga waktunya nanti tiba. Sementara itu eloklah saya layani permintaan si kecil ini - diapun sudah sibuk mencatat bahan-bahan untuk resipi biskut pilihannya!

Thursday, June 28, 2012

Antologi puisi 56 Penyair

Terima kasih Pyan Habib, penyelenggara bersama antologi ini. 


Senandung Pagi di Lebuh Raya

Selamat pagi, lebuh raya
Aku membelah dadamu
Dalam dingin pagi
Sempat kukerling sinar matahari
di celah awan yang tersipu
kabut ungunya meminggir
Mengujar selamat datang
Untuk hari yang moga-moga cemerlang.

Antara deru mobil
Ingin kudengar pohon-pohon
Menyenandung lagu alam
Yang tenteram
dan memaafkan kami
Yang mengusir hijaumu
Demi memacak prasasti pembangunan.

Di kota sana, seinci tanahnya segenggam emas
Tidak mampu kupijak
Untuk membesarkan anak-anak
Maka aku memilih untuk ke pinggir
dan harus pula kusaksikan
sebatang demi sebatang
Pohonmu yang tumbang
Untuk mencacakkan tiang-tiang bangunan
Bagai terdengar
Suara penyair yang hampa
Oleh hijaumu yang berganti coklat tua.

Aku membelah dadamu
Di celah dingin kabus pagi
Antara deru mobil di lebuh raya
Kudengar degup nafas para warga
Yang tidak punya pilihan
Harus memugar kehidupan 
Antara raung kemusnahan!

Rositah Ibrahim
(Antologi Puisi 56 Penyair)


Monday, June 25, 2012

Gila kerja?

Pada lima enam tahun terawal dalam kerjaya saya, saya sering persoalkan diri -apakah saya benar-benar meminati bidang perguruan.....

Saranan arwah ayah agar saya mengambil bidang perguruan, awalnya saya tolak. Waktu itu berkobar-kobar hendak melukis dan menulis! Tetapi saya sebenarnya mengajar juga - kelas lukisan untuk kanak-kanak. Seronok, lalu akhirnya saya memohon kursus perguruan seni. Alhamdulillah, ada rezeki. Permohonan pertama kali terus diterima (ada kawan memberi amaran, permohonan kali kedua  atau  ketiga saja yang akan diluluskan!)

Barulah arwah ayah membuka cerita....dulu diapun ditawarkan untuk menjadi guru tetapi menolak. Ayah ditawarkan menjadi guru setelah membantu/menemani guru besar berkempen agar anak lelaki yang sudah besar dihantarkan ke sekolah. Ayah sendiri waktu itu sudahpun bersekolah. Satu kampung marahkan ayah! Orang tua di kampung mahukan anak lelaki mereka membantu kerja-kerja di bendang atau ke laut menangkap ikan, bukan ke sekolah!

Saya mengagumi arwah ayah kerana kerja kuatnya. Saya mendapat tahu dia berhenti sekolah untuk bekerja setelah saudara pupunya melanjutkan pelajaran ke England. Ayah dibela oleh ibu saudaranya, maka dia rasa bertanggung jawab untuk menyara keluarga ibu saudaranya pula. Zaman itu berapa keratlah anak Melayu daripada keluarga miskin melanjutkan pelajaran, ke luar negara pula.

Ayah tidak pernah menceritakan sejarah kesusahannya. Saya mendapat tahu kisah lampau itu dengan mencantumkan cerita daripada pelbagai sumber, arwah ibu, nenek, bapa saudara...bagai menyelesaikan jig-saw puzzle. Cerita-cerita yang disampaikan secara tidak langsung, barangkali untuk menyedarkan kami agar tidak terlena dengan kehidupan selesa yang kami nikmati.

Cerita arwah emak, bab kerja ayah tidak pernah main-main. Dia pekerja tekun, tegas, dan begitu disayangi pegawai atasannya. Membawa balik kerja ke rumah adalah perkara biasa. Hasil dedikasinya adalah pingat taat yang diterimanya (merasalah emak saya memasuki istana!).

Kegemaran ayah adalah membaca. Ayah memiliki koleksi buku yang banyak, sayangnya hilang sewaktu berpindah rumah. Yang saya ingat, ayah kalau membaca begitu asyik dan tidak boleh diganggu. Selain itu dia adalah ahli sukan. Kegemarannya badminton, dan dia memiliki sejumlah reket badminton yang bermutu tinggi, yang kami anak-anaknya boleh guna. Namun abang-abang saya yang bermain badminton sering berpesan agar jangan diusik reket kegemaran ayah (Sebagai anak yang 'self-declared daddy's favourite daughter', saya cuba menguji amaran abang dengan bermain badminton menggunakan reket tersebut - ya! Saya kena marah!).

Ahh!!! Berlarut-larut pula dengan kisah peribadi! Sebenarnya inilah cebisan kisah yang saya akan ingat apabila semangat kerja menurun oleh keletihan. Saya mahu mengambil semangat kerja keras ayah - tekun bekerja, tekun membaca, tekun bersukan.

Persoalan yang mendera saya pada awal kerjaya dulu sebenarnya tidak mengganggu saya lagi. Tetapi saya tiba pula pada suatu peringkat yang lebih mencabar - saya mempersoal diri apakah saya sudah melakukan yang sebaiknya. Dan mampukah saya untuk terus bekerja dengan ketekunan seperti yang ayah miliki.....


Thursday, May 17, 2012

GK

Ada orang gila kerja. Ada orang gila kuasa. Jenaka dalam kalangan rakan-rakan rapat adalah GK. Kebiasaannya orang yang gila kerja tak gila kuasa. Tapi orang yang gila kuasa tak suka kerja! Kalau ada dalam kalangan kami yang menyanggupi kerja yang yang bukan wajib (dan selalu saja ada!), maka digiat oleh yang lain sebagai gila kuasa (sebenarnya gila kerja).

Apabila ada seseorang yang bukan berada dalam organisasi, tetapi menyanggupi untuk turut serta konon untuk membantu, kami yang berada dalam sebuah jawatan kuasa ibarat menadah nyiru. 'Tokoh' tersebut ingin mengadakan perjumpaan dengan jawatan kuasa kami walaupun dia bukanpun AJK PIBG. Malangnya dalam  perjumpaan tersebut kami tidak dapat melihat bayangan sebarang bentuk bantuanpun. Tokoh tersebut hanya mencerca dengan bahasa yang berlapik, dan tidak memberi sebarang peluang untuk kami bersuara. Pada akhir perjumpaan dia meminta ketua AJK memberinya laporan tentang perkara yang konon akan dibantunya itu.

Saya kemudiannya mendapat tahu, tokoh tersebut adalah bekas pengurus sebuah organisasi besar. Kini bersara dan punya banyak masa senggang. Saya juga mendapat kabar bahawa dia tidak disenangi oleh AJK PIBG kerana beberapa sebab. Saya tergelak di dalam hati. Hah! Inilah sebenarnya GK (Gila Kuasa)!

Monday, May 7, 2012

buku...buku...

Seminggu-dua menjelang Pesta Buku di PWTC, saya berkata pada diri saya, jangan beli buku lagi, tunggu saja Pesta Buku! Tapi ternyata susah untuk tidak berhenti membelek-belek buku sesudah selesai mengerjakan urusan rutin di sebuah bank, yang berhadapan dengan pintu masuknya adalah sebuah gerai buku terpakai. Saya terjumpa sebuah buku yang tidak asing, tetapi sudah lama tidak terlihat. Memori zaman kanak-kanak lintas-melintas. Oh! Mana mungkin dibiarkan saja! Membelek harga, saya tahu pekedai ini tidak menjualnya sebagai sebuah buku terpakai. Namun saya rela. Ya, saya membawa pulang buku tulisan Hamka yang pernah saya baca (dan mungkin tidak diselesaikan) berpuluh tahun yang lalu, dengan harga berganda daripada harga asal.

Kesesakan di pesta buku usahlah diperkatakan lagi. Semua orang tahu. Barangkali dek tugas yang begitu banyak mendesak akhir-akhir ini, ditambah kesesakan sebegini, saya cepat ditewaskan oleh keletihan. Tidak mengapa, saya memujuk hati. Mungkin boleh datang lagi, kerana kebiasaannya saya berkunjung sebanyak dua kali.

Tetapi hasrat itu tidak kesampaian. Saya terpaksa berpuas hati dengan jumlah buku yang paling sedikit diperoleh pada tahun ini. Saya cuma mampu kunjungi tiga buah gerai penerbit....



Thursday, April 5, 2012

Kerja..kerja...kerja....

Tugas sedia ada tetaplah ada, tidak berkurang kerana memang tugas wajib. Tugas tambahan memang kerap juga menduga. Dan tugas tambahan kali ini hadirnya bertimpa-timpa, tapi saya bahagia. Dan saya mahu tanganinya dengan jaya. Doa saya pinta daripadaNya.

Sunday, April 1, 2012

Dari Warna ke Dapur....


Melihat-lihat balang di dapur, ada kisaran nestum bergula, baki saduran nestum gulung. Di dalam balang yang lain ada biskut marie yang hampir lemau. Di dalam fridge ada badam, dan cream cheese yang tinggal separuh. Di dalam freezer ada fresh cream.

Kalau dibiarkan, bahan-bahan yang ada ini akan rosak. Sayangnya. Kebetulan ada buah strawberi dan dadih strawberi. Lalu saya mengubah-suai resipi yang biasa. Biskut marie dan badam saya bakar seketika, kemudian dikisar halus, bersama-sama nestum. Oleh kerana nestum yang ada ini sudah bergula, saya kurangkan sukatannya. Akhirnya dibaur ke dalam mentega yang dicairkan, lalu ditekan-tekan ke dalam acuan sebagai bahan kulit kek keju.


Lapisan kek kejunya saya guna resipi kek keju bakar yang biasa, tetapi diambil sedikit untuk dicampur dengan dadih strawberi, dan dicampur bersama agar-agar yang masih hangat. Adunan ini dituang ke atas lapisan kek keju yang sudah dibakar.

Hmm....nampaknya azam untuk menyambung catan yang saya kerjakan semalam tidak menjadi!

Tuesday, March 27, 2012

Buat Puteri-puteriku


Puteri-puteriku yang tumbuh dari cinta kasih kami
doa yang terucap oleh ibumu
adalah harap dan pesan yang mekar dari
janji kami menyempurnakan mimpi
setelah mengait impian
kini kutahu, hanya kedewasaan yang mengajar kita
bahawa hidup bukan untuk memintal
mimpi di ranjangan mawar
tetapi 
meniti hakiki
kita harus bersedia
menyirat jala keberanian
keresahan hanyalah akar kegalauan
yang membatasi jalan kita
puteri-puteriku, harus kau sirati makna kejadian
hidup tidak sekadar mencipta impian.



Setiap kali menemani anak mengambil keputusan SPM, saya sentiasa terbayang wajah mereka sewaktu mendaftar tahun satu! Saya yakin setiap ibu-bapa sentiasa berperasaan demikian.

Dan setiap kali membawa mereka mendaftar IPT, saya teringatkan saat-saat saya sendiri, ditemani orang tua mendaftar di ITM Dungun.

Sewaktu membawa Amna, anak kedua kami, mendaftar sebagai pelajar Seni Halus di UiTM Melaka, kami tidak dapat berlama-lama. Kami harus bergegas ke Kuala Trengganu, kerana yang sulung, Ilham; setelah tamat matrikulasi di Kuala Pilah- diterima masuk ke UMT. Ilham sudah tamat belajar kini. Amna di semester akhir. Adibah dan Fathanah juga sedang bergelut dengan peperiksaan akhir kursus persediaan. Hanya doa yang mengiringimu, anak-anakku....

Friday, February 24, 2012

Kumpulan Wirama Tari

Memimpin pasukan tarian menuntut pengorbanan masa yang banyak. Namun saya gembira. Bidang ini merupakan bidang yang saya minati sejak zaman persekolahan. Kebetulan pula, sewaktu saya sibuk dengan pasukan tarian sekolah saya, anak saya juga turut aktif dengan pasukan tarian di sekolahnya.Apabila melihat mereka membuat persembahan terhimbaulah kenangan lalu sewaktu bersama rakan-rakan membuat persembahan dan menyertai pertandingan. Namun bukan soal nostalgia ini yang menjadi pertimbangan utama untuk memajukan pasukan tarian ini. Sebaliknya saya mahu anak-anak sekolah tahu menghargai keindahan gerak tari warisan. Hal ini sukar sebenarnya. Sesuatu yang berbentuk seni tradisi sering saja harus mendepani (dan menyaingi) unsur-unsur hiburan semasa.

Kelab kami adalah anggota Kelab Giat Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian. Dan sebagai ahli KGB, anak-anak ini bukan sahaja memahami lenggok dan gerak tarian Melayu, malah mampu mengajarnya.


Inilah wajah-wajah yang teguh bersama kelab kebudayaan sekolah sejak mula-mula penubuhannya. Wajah-wajah yang menyenangkan hati guru-guru kerana sahsiah yang terpuji. Saya bangga kerana mereka jugalah yang memijak pentas untuk menerima hadiah pencapaian akademik, walaupun saat-saat menjelang pertandingan, mereka harus meninggalkan kelas untuk mengikuti sesi latihan bersama koreografer.  Harapan saya, keputusan SPM mereka nanti tetap membanggakan. Dan ya...saya merindui mereka....



Sunday, February 12, 2012

Kenangan

Untuk rakan-rakan yang mengenali arwah Zizalina, inilah sajak saya buat kenang-kenangan terhadap Allahyarhamah.

Al fatihah buat sahabat.

Terima kasih, editor...


Sebaris Doa dalam Getar Hiba

Apakah yang dapat kubaca
Tentang sederet derita
Yang kau diamkan.

Kau bagai pemain watak
Meyakinkan dengan setiap laku dan tindak
Lembut mata yang melimpahkan ria
Sulam kata bertingkah tawa
Sering aku kalah menerka
Gelodak jiwamu.
Tidak tersingkap sengsara
Yang kaubenam jauh ke batas sukma
Jari-jari azab kanser yang mencengkam
Kautabir dengan lunak ucapan.

Akulah yang silap menafsir
Mencatat waja semangat pada relung harapan
Sebagai titik-titik cahaya
Menyuluhi lorong hayat.

Tapi laut masa akhirnya menyurut
Kasur rumah sakit yang tidak upaya menampung
Menyerah pada tabung oksigen
Mendenyutkan detak jantung
Dan usia bagai bertubir di juring derita.

Dinihari sunyi, gelita langit memanggung nestapa
Kau dipanggil Pencipta
Aku luluh menyeka hiba.

Takdir menuliskan riwayatmu
Dengan pena bertinta embun
dingin dan segar
Dalam ingatan merimbun.

Aku mengeja luka
Yang tidak dapat kubaca
Temaram oleh titis airmata.

Pertemuan, maut, rahsia Yang Maha Esa
Hanya ku kenangi
Pohon hayatmu merendang budi
Aku selami makna abadi
Dan sebaris doa, dengan getar hiba
Menggiring salam pamitan.




Wednesday, February 8, 2012

Sastera dan kita


Dua orang anak saya yang sedang mengikuti pengajian persediaan harus mengkaji beberapa novel, walaupun kursus yang akan mereka ikuti setelah tamat pengajian persediaan nanti bukannya kursus kesusasteraan.

Dalam sistem pendidikan kita, kesusasteraan terpinggir dan dan dipinggirkan....



Monday, February 6, 2012

Sajian -Apple crumble


Adibah, anak saya yang suka memasak itu, lebih suka menyebutnya sebagai 'deraian epal'. Hah! memang resipi saya kali ini berderai betul! Ya, saya lebih suka sukatan resipi yang pernah saya cuba sebelum ini, dengan sedikit ubah-suaian - saya tambahkan mentega. Jika sebelum ini saya saya sediakan epal dan nenas (tin) sebagai inti, kali ni saya cuba epal dan pic (tin) pula. 


Hasilnya tetap sedap di tekak anak-anak......

Sunday, February 5, 2012

terima kasih, editor....


Terima kasih, editor, kerana menyiarkan sajak saya.....

Ketika Mencatat Rindu Lalu di Perbukitan

Ketika rembes gerimis pantas melebat menjadi titis hujan
Ketika aku lalu terburu mencari teduhan
Mengecap enak strawberi dalam lemak coklat,
Apa lagi yang tinggal padamu, wahai perbukitan?
Dingin berakhir sehabis lebat hujan dan alammu
menghawakan tropika.

Ketika aku kenanaran mendongak pandang
Pada bangunan yang bercerancangan
Ketika sepatuku terpalit lumpur di bawah rumputan telanjang
Mencicipi teh di ladang saujana sambil menikmati mekar bunga,
Apa lagi yang tinggal padamu, wahai perbukitan?
Dingin meminggir di sebalik pohon-pohon yang terpongkah
Dan matahari tidak silu melontar sinar.

Ketika kujelujuri perbukitan
Dengan lukisan peta silam
Ketika kulafaz puisi dengan rindu berkecaian,
Apakah lagi yang ada padamu?
Daerahmu terpanggang oleh kehendak dagang
Dingin bayu tertewas oleh kehijauan yang menghilang
aku terluka dalam panas membahang.

Rositah Ibrahim
Tanah Tinggi Cameron

Saturday, February 4, 2012

Sebuah Catatan Biasa...

Hati kita boleh tersentuh dengan perkara-perkara yang kadang-kadang tidak diduga.

Hari saya bermula dengan  sakit kepala yang berdenyut-denyut.  Sebenarnya sudahpun berdenyut sejak semalam, tapi saya tidak endah untuk mengambil ubat.

Di sekolah, denyutannya semakin menjadi. Segera bersarapan dan mengambil ponstan, saya berharap sangat agar sempat lega sebelum kelas saya bermula. Malangnya hal itu tidak terjadi. Jadi saya berterus terang saja dengan  murid saya bahawa saya sedang melawan sakit kepala. Selepas memulakan sedikit tunjuk cara, saya minta mereka meneruskan latihan. Seorang murid berkata, "cikgu, cikgu rehat la, biar kita orang buat kerja," Aduh! tidak mampupun untuk menghadiahkannya senyuman buat murid itu. Saya membayangkan mana mungkin boleh rehat kalau kelas tidak dikawal!

Oh! Jujur rupanya pernyataan murid yang belum sempat saya kenali itu. Memang saya tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengawal kelas. Mereka tekun saja melukis. Tidak berbuat bisingpun. Begitu juga dengan kelas berikutnya.

Mungkin hal ini perkara kecil bagi kebanyakan orang, tapi saya tersentuh kerananya.

Friday, January 27, 2012

Angka

Arwah ayah suka angka 6 dan 9. Plet nombor keretanya DD6999 dan yang terkemudian DH 5999 (tapi yang ini tidak kekal).

6 angka kelahiran saya. 6 Januari lalu saya menerima banyak ucap selamat hari lahir - ya, zaman FB, begitulah! Sehari selepasnya, saya mengujarkan pada dinding FB rasa gembira saya (dan terima kasih) kerana menerima begitu banyak ucapan. Saya tidak nyatakan, apa yang saya simpan di dalam hati, yang saya pendamkan diam-diam, adalah kegundahan saya. Saya gundah kerana menerima kabar sahabat saya yang diuji kanser tiga tahun yang lalu, kini semakin kritikal. Seorang lagi sahabat baik pula dimasukkan ke hospital kerana stroke (Alhamdulillah, beberapa hari lepas dia telah boleh berjalan semula).

Pada 9 Januari, sahabat saya koma. Kali ini saya tidak lagi dapat membenam pedih dengan senyum tawa. Lebih-lebih lagi kerana kami telah terpisah sempadan geografi. Dan pada jam 2 pagi, saya dikejutkan dering telefon bimbit. Tertera nama adik ipar sahabat saya itu. Tidak ada orang yang akan menghubungi orang lain pada waktu begini jika tidak membawa kabar tertentu. Benar, sahabat baik saya , Zizalina Abu Bakar, telah berangkat pulang ke daerah keabadian, beberapa minit yang lalu.

Hanya doa mengingi perjalananmu sahabat...

Sehingga kini, mata saya masih basah jika terkenangkannya. Dua kali sudah saya cuba menulis tentangnya, tapi saya terhalang oleh sebak. Saya tidak pasti apakah tulisan ini mampu saya habiskan.

6 dan 9. Angka kegemaran arwah ayah kini menjadi angka suka dan luka.

Al Fatihah untuk orang tuaku, dan sahabat yang mendahului kami.

Tuesday, January 3, 2012

warna


Alhamdulillah....terlaksana sasaran lima buah catan mengisi cuti hujung tahun, walaupun kesemua catan tersebut masih memerlukan sentuhan dan kemasan akhir.

Wanita tidak mungkin memisahkan dirinya dengan tuntutan tradisional. Tuntutan ini sebenarnya datang dari dalam diri wanita itu sendiri yang berasa puas jika dapat menyediakan hidangan serta menyiapkan keperluan rumah tangga. Tapi dalam menekuni warna, saya akui tuntutan tradisional ini sesekali terabai jua...Terima kasih dan syukur saya kerana mereka yang mengelilingi saya faham, bahkan suka melihat saya kembali bermain warna.

Dengan beberapa catan yang terdahulu, dan bara bernyala untuk terus berkarya, mungkinkan buat saya mengangankan sebuah pameran....
Teringat pula sekumpulan sajak yang sudah saya serahkan kepada seorang rakan dengan hasrat yang hingga kini masih tertangguh untuk sebuah antologi...
Hmmm.....